Dua veteran KUFC mahu balas budi, janji aksi terbaik


  • Podium
  • Selasa, 07 Feb 2023

Kelantan United pasti bercita-cita besar untuk kekal dalam divisyen teratas bola sepak tempatan. — Facebook/Kelantan United FC

PERBELANJAAN besar yang dilakukan Kelantan United FC sepanjang jendela perpindahan menyaksikan mereka bakal berwajah baharu untuk musim 2023.

Usaha tersebut dibuat untuk memastikan mereka mampu berdepan cabaran besar dalam saingan Liga Super dengan lebih yakin dan bertenaga.

Manakan tidak, mereka bakal beraksi buat pertama kali dalam diviysen teratas bola sepak tempatan selepas bertahun-tahun berada di Liga Perdana.

Antara wajah baharu yang diperkenalkan skuad Kijang Hijau ialah penyerang legenda Liga Super, Indra Putra Mahayudin selepas kontraknya ditamatkan Perak FC.

Bagi segelintir penyokong Kelantan United, keputusan untuk mendapatkan pemain berusia 42 tahun tersebut bukanlah satu langkah yang terbaik untuk memacu jentera serangan pasukan.

Tetapi, bagi Indra, dia bercita-cita untuk terus membantu pasukan Pantai Timur itu bagi berentap di samping kelab-kelab elit tempatan.

"Saya hendak berterima kasih, khususnya kepada Kelantan United sebab masih lagi menerima dan masih ingin saya bertanggungjawab membawa pasukan lebih jauh.

327804638_1595914117511067_1296556903775828057_n

Indra Putra mahu membalas budi Kelantan United kerana menawarkan kontrak buatnya. Facebook/Kelantan United FC

"Apa yang diharapkan, mungkin kami pasukan yang kerdil dan kami di Liga Super bukan sekadar untuk melengkapi liga, tetapi kami akan buat yang terbaik untuk musim ini," katanya dalam satu sesi temu bual bersama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Musim lepas, pemain kelahiran Perak itu beraksi bersama skuad The Bos Gaurus (TBG), namun gagal memberi sebarang impak dengan pasukan mereka hanya menduduki tangga kedua tercorot.

Sementara itu, bagi seorang lagi pemain berusia Kelantan United, Morgaro Gomis, kepulangannya ke Pantai Timur disulami pelbagai perasaan.

"Dalam fikiran saya, saya tahu saya akan balik ke Kelantan, tetapi cuma tidak yakin ia akan menjadi kenyataan kerana semasa saya meninggalkan Kelantan FC, ia bukan pilihan saya.

326763119_516509967217474_5951380354966387615_n

Kelantan United pastinya mengharapkan sumbangan daripada Gomis. Facebook/Kelantan United FC

"Walaupun ia mengambil masa lebih panjang berbanding apa yang saya harapkan, saya cukup teruja untuk pulang dan berharap akan dapat bermain dengan baik sekali lagi," katanya.

Pemain antarabangsa Senegal itu pernah berkhidmat bersama skuad The Red Warrior (TRW) pada 2016 hingga 2018 ketika kelab itu pernah terlibat dengan masalah kewangan.

Selain Gomis dan Indra, skuad Kijang Hijau juga bakal diperkuatkan dengan kehadiran beberapa wajah-wajah baharu, seperti Yan Victor dan Jose Porteria. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram