JUARA Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur (KL) City FC bakal mengorak langkah baharu dalam arena bola sepak tempatan selepas mendapat penajaan dan pemilikan baharu daripada Rinani Group Berhad.
Perjanjian antara kedua-dua pihak ditandatangani ketika separuh masa perlawanan antara skuad Warga Kota dan Perak FC dalam final Piala Presiden Wilayah Persekutuan di Stadium Cheras, Kuala Lumpur.
Majlis tersebut dihadiri Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad dan Presiden Rinani Group Berhad, Noor Azri Noor Azerai yang turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Memetik laporan Flash Sukan, graduan dari London Institute Banking and Finance itu berkata, dia cukup berminat dengan dasar penswastaan yang diamalkan pasukan berkenaan menarik minatnya.
“Ketika saya sedang melanjutkan pelajaran di London, saya ada terbaca berita mengenai kelab bola sepak yang perlu menjalani proses penswataan dan ini menarik minat saya untuk mengembangkan perniagaan kami ke dalam industri sukan.
“Kami yakin untuk melabur selepas melihat semakin banyak syarikat korporat yang melabur dalam bola sepak tempatan dan selepas perbincangan bersama ahli-ahli korporat yang lain, Rinari memutuskan untuk menyertai keluarga bola sepak," katanya.
Tambah Azri, dia sebenarnya lebih berminat dengan sukan ragbi, namun percaya bahawa bola sepak menarik lebih ramai penonton di seluruh negara.
Sementara itu, bekas pelajar MRSM Alor Gajah, Melaka itu berpendapat ketua jurulatih, Bojan Hodak dan pihak pengurusan KL City FC memainkan peranan di sebalik pemilikan itu.
“Selain itu, saya juga memberikan kredit kepada DNA dan sikap yang disemai dan ditunjukkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Stanley Bernard dan Hodak,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram