Bukan ‘claim’, tapi pemilik kelab tuntut Liga 1 Indonesia perlu setaraf Liga Super


  • Podium
  • Rabu, 08 Feb 2023

Atta Halilintar berharap PSSI dapat mencontohi rakan serumpun termasuk Malaysia dalam mengelolakan liga bola sepak.

PEMEGANG saham FC Bekasi City, Atta Halilintar menyuarakan hasratnya untuk melihat Liga 1 Indonesia berada setaraf liga di rantau Asia Tenggara, termasuk Liga Super.

Dia mengakui bahawa liga di negara kelahirannya itu masih jauh ketinggalan, lalu mengharapkan satu perubahan positif dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

"Semoga ada satu gerakan baharu kerana saya ingin bola sepak di Indonesia boleh lihat Liga Thailand, Malaysia dan Singapura yang ters maju.

"Kenapa kita terus ke belakang? Jadi, ayuhlah sama-sama kita melangkah ke hadapan," katanya.

Atta berkata demikian dalam satu majlis penyerahan dokumen kepada Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) untuk mencalonkan usahawan ternama, Erick Thohir sebagai calon Presiden.

trofi-baru-liga-super-2017

Liga Super mempunyai reputasi sebagai salah satu liga terbaik di rantau Asia Tenggara.

Jelasnya, pendekatan itu harus dibuat apabila berasakan sukan tersebut berjaya menarik perhatian ramai pihak di dalam dan luar negara.

"Perkara yang penting untuk saya adalah kita berjuang demi kebaikan sendiri. Jadi, haraplah adanya perubahan terbaik tidak kiralah apa sahaja yang berlaku," katanya.

Sebelum ini, reputasi Liga Indonesia dicemari berikutan beberapa isu rusuhan di stadium, termasuk insiden di Stadium Kanjuruhan, Jawa Timur, Indonesia yang meragut 135 nyawa.

PSSI dijadualkan akan berdepan rombakan dan perubahan struktur dengan satu kongres bakal diadakan pada 16 Februari untuk membincangkan masa depan persatuan.

FC Bekasi City ketika ini sedang dalam usaha untuk melayakkan diri ke divisyen teratas domestik selepas menduduki tangga teratas Liga 2 Zon Tengah Indonesia dengan 16 mata berjaya dikumpulkan daripada tujuh perlawanan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram