Maestro Pahang sudah ada pengganti di Pantai Timur


  • Podium
  • Selasa, 07 Feb 2023

Antara aksi Azam Azih sewaktu kejohanan Piala Raja Thailand. — Instagram/Azam

APABILA bercakap mengenai pemain sensasi Sri Pahang, Muhammad Nor Azam Azih, ramai penyokong bersetuju bahawa tonggak Tok Gajah itu merupakan antara arkitek tengah terbaik dalam Malaysia.

Bukan hanya menjadi tulang belakang untuk mengemudi jentera tengah skuad Tok Gajah, malah Azam Azih juga diberi kepercayaan untuk menjadi perancang skuad kebangsaan.

Sejak melakukan debut bersama skuad senior Harimau Malaya pada 2017, pemain berusia 28 tahun itu sudah tampil dalam 21 perlawanan di peringkat kebangsaan.

Azam Azih yang sering memberikan persembahan terbaik ketika menyarung jersi Harimau Malaya telah membuatkan barisan kejurulatihan memilihnya ke kem kebangsaan meskipun banyak lambakan pemain tengah di Malaysia.

Antara pemain tengah yang sering mendapat perhatian pengendali kebangsaan ialah kapten Sabah FC, Baddrol Bakhtiar; pemain warisan, Brendan Gan dan Azam Azih sendiri.

WhatsApp Image 2023-02-07 at 19.21.01

Azam Azih wajah utama skuad Sri Pahang. — Instagram/Azam

Kehebatan pemain kelahiran Pahang itu juga pernah mendapat pujian dari bekas legenda bola sepak negara, Serbegeth Singh yang menegaskan bahawa Azam Azih merupakan tonggak tengah terbaik negara ketika ini.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini maestro Pahang itu dilihat kerap mengalami kecederaan sehingga menyukarkan pengendali kebangsaan untuk mencari penggantinya.

Misalnya, dalam kejohanan Piala AFF baru-baru ini, Azam Azih terpaksa menolak panggilan kebangsaan kerana kecederaan yang dihadapinya.

Kini, negara sudah tidak perlu risau untuk mencari pelapis Azam Azih kerana pemain muda dari Kelantan FC, Muhaimin Izuddin dilihat sesuai menggantikan tonggak Tok Gajah itu.

Izuddin yang dulunya beraksi bersama skuad Projek FAM-MSN berjaya membantu negeri kelahirannya kembali ke Liga Super, malah menjadi naib johan saingan Liga Perdana musim 2022.

WhatsApp Image 2023-02-07 at 19.20.52

Izuddin mula menyertai Sri Pahang pada 2022. — Agensi

Sejak menyertai skuad The Red Warrios (TRW), Muhaimin Izudin membantu Kelantan merekodkan empat kemenangan dari lapan perlawanan yang dia diturunkan.

Musim ini, di bawah kendalian pengendali baharu Kelantan, Choi Moon sik, pemain berusia 21 tahun itu dijangka mendapat lebih minit permainan dan sekali gus membantu mengeluarkan potensinya.

Bukan itu sahaja, ada juga yang mencadangkan agar bakat anak jati Kelantan itu disedari oleh Johor Darul Takzim (JDT) berikutan penyokong percaya hanya kem Harimau Selatan dapat membentuk pemain muda.

Di peringkat kebangsaan, Izudin kini difahamkan sedang berada dalam radar pengendali Malaysia Bawah-23 tahun (B-23).

Meskipun terdapat saingan hebat di posisi berkenaan, Muhaimin yang mula menunjukkan potensinya bakal terus berkembang, lebih-lebih lagi dengan kualiti rakan sepasukannya ketika ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram