Kerjasama JDT, syarikat Amerika jadikan SSI venue bersejarah


  • Podium
  • Jumaat, 03 Feb 2023

Teknologi Stadium Sultan Ibrahim meningkatkan reputasi JDT sebagai salah satu pasukan terbaik di Asia Tenggara.

CENGKAMAN Johor Darul Takzim (JDT) di persada bola sepak tanah air tidak boleh dinafikan apabila mereka terus menjuarai kejohanan demi kejohanan.

Namun, bagi pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim, masa depan skuad Harimau Selatan terus menjadi keutamaan buatnya.

Ini termasuk memastikan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu terus berada di mata dunia dengan menambah baik reputasi mereka di dalam dan luar padang.

WhatsApp Image 2023-02-03 at 17.41.17

TMJ (tengah) ketika bertemu wakil daripada HID Global. Facebook/HRH Crown Prince of Johor

Dalam menggapai hasrat itu, TMJ menjalinkan satu kerjasama syarikat pengurusan kawalan akses, HID Global bagi meningkatkan kualiti keselamatan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Perkara itu dikongsikan menerusi satu hantaran di Facebook Baginda pada Jumaat berserta gambar yang menunjukkan perjumpaan antara kedua-dua pihak.

"Kerjasama ini juga bagi memastikan 'Home of Southern Tigers' menjadi venue pertama di Malaysia yang menggunakan sistem yang sudah dikenali di peringkat antarabangsa ini untuk akses para penyokong.

"JDT juga akan dapat memperolehi lebih banyak informasi mengenai corak kemasukan penyokong untuk membolehkan perkhidmatan yang lebih selesa bagi para penyokong," katanya.

Ketika ini, stadium yang dirasmikan pada 2020 itu memiliki salah satu fasiliti terbaik dengan teknologi serba canggih dan ciri keselamatan lengkap.

HID Global merupakan salah satu syarikat ternama apabila mereka pernah terlibat dalam tiga kejohanan Piala Dunia, termasuk penganjuran pada 2022 di Qatar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram