Piala MFL bukan beban, platform terbaik pemain muda menyinar — Pakar


  • Podium
  • Khamis, 02 Feb 2023

Skuad Sang Kenari berada dalam Kumpulan A dalam kejohanan sulung Piala MFL musim ini. — Facebook/KDA FC

SAINGAN Liga Malaysia (Liga M) 2023 bakal menjanjikan aksi lebih menarik terutamanya selepas Malaysian Football League (MFL) memperkenalkan enam trofi kejuaraan akan menjadi rebutan setiap pasukan yang bertanding.

Antara pertandingan yang akan dipertandingkan Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Perlawanan Sumbangsih), Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, MFL Challenge Cup dan Piala MFL (Liga Simpanan B-23).

Piala MFL merupakan kejohanan terbaharu yang diperkenalkan MFL yang dikhususkan kepada pasukan bawah 23 tahun bagi setiap pasukan yang bertanding di Liga Super.

Undian Piala MFL yang berlangsung pada Selasa memperlihatkan peluang seimbang buat 15 pasukan bagi mencipta sejarah menjadi pasukan pertama menjuarai pertandingan yang julung kalinya diadakan musim ini.

Dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B, sebanyak 15 pasukan dari Liga Simpanan bawah 23 tahun bakal bersaing dalam memburu empat kedudukan teratas di peringkat kumpulan untuk mara ke pusingan akhir.

Ada yang menyambut baik, malah ada juga penyokong berpendapat penganjuran kejohanan tersebut hanya membawa beban kepada pemain berikutan kesibukan dengan saingan liga.

LOGO

Piala MFL antara kejohanan yang dipertandingkan musim ini.

Mengulas isu berkenaan, Datuk Dr Pekan Ramli berpendapat, format bagi kejohanan tersebut tidak akan mendatangkan masalah kepada pasukan kerana ia dilakukan secara kumpulan.

Jelasnya, jika saingan Piala MFL dilakukan secara liga boleh mendatangkan kesan negatif seperti mengganggu masalah bajet pasukan, sekali gus ia akan menjadi bebanan untuk kelab-kelab kecil.

"Tiada masalah Piala MFL dianjurkan sebab ia masih dalam try and error. Kita pun bukan tahu ia adalah kejohanan yang akan jadi tumpuan atau tidak. Mungkin nanti ada yang anggap Piala MFL bukan sasaran.

"Jika kejohanan dilakukan secara liga akan memenatkan. Saingan secara kumpulan, bilangan perlawanan tak banyak dan tak membebankan pasukan. Kos pun bertambah dan menyukarkan perjalanan liga," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya, penganjuran itu juga akan banyak memberi impak positif kepada pemain liga simpanan terutamanya untuk pemain muda mendapat lebih banyak minit permainan dan perhatian.

"Saya rasa itu adalah satu kaedah yang baik sebab ia (Piala MFL) bukan Piala Malaysia. Ia satu piala untuk beri peluang kepada pasukan lain menonjol dan dapat lebih ramai pemain muda untuk beraksi.

"Selain itu Piala MFL akan menjadi platform lebih banyak minit permainan untuk kebanyakan pasukan dan pemain. Kita dapat lihat pasukan yang beri peluang kepada pemain muda yang menyerlah untuk mendapat tempat dan perhatian.

Untuk rekod, sebanyak lapan pasukan telah diundi dalam Kumpulan A iaitu membabitkan Skuad Projek FAM-MSN, PDRM FC, Kedah Darul Aman FC, Penang FC, Johor Darul Takzim (JDT) II, Terengganu FC II, Sabah FC dan Kelantan United FC.

Manakala untuk Kumpulan B, sebanyak tujuh pasukan dengan membabitkan Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Perak FC II, Negeri Sembilan FC, Sri Pahang FC, Kuching City FC dan Kelantan FC.

Perlawanan pertama Piala MFL bakal bermula pada 2 dan 3 Mac dengan aksi terakhir peringkat kumpulan pada 23 dan 24 Julai.

Semua perlawanan bakal dijalankan mengikut format liga dua pusingan yang membabitkan aksi di laman sendiri dan lawan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram