TEKA-TEKI mengenai penyiar rasmi utama saingan Liga Malaysia (Liga M) 2023 akhirnya terjawab apabila Malaysian Football League (MFL) pada Rabu mengumumkan hak penyiaran diberikan kepada kepada dua stesen televisyen terkemuka tempatan, Astro dan RTM.
Gandingan kedua-dua stesyen televisyen berkenaan diyakini dapat memenuhi kehendak peminat-peminat tempatan yang mahukan satu liputan menyeluruh dan menarik.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam percaya RTM dan Astro akan membantu untuk membina semula jenama dan impak Liga Malaysia ke tahap lebih tinggi.
"MFL percaya dua rakan penyiar ini berkongsi objektif dan fokus mengenai kandungan yang penting jadi kami telah menemui rakan kongsi terbaik untuk membina semula jenama dan impak Liga Malaysia ke tahap lebih tinggi.
"Dengan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki Astro dan RTM dalam bidang penyiaran sukan, kami berharap ia dapat memenuhi jangkaan dan harapan semua peminat-peminat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Astro dan RTM terpilih sebagai stesyen penyiar rasmi saingan Liga M musim 2023.
Sementara itu, Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, kehadiran Astro dan RTM bakal menambah kemeriahan musim baharu Liga Malaysia 2023 yang akan bermula 24 Februari depan dengan aksi pembuka tirai Piala Sumbangsih di antara Johor Darul Takzim (JDT) menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim.
"Saya percaya, dengan sokongan dan komitmen rakan penyiar tempatan, ia bukan hanya demi kepuasan kualiti tontonan peminat-peminat tanah air malah ia dapat meningkatkan nilai komersial Liga Malaysia yang akhirnya akan memberikan pulangan besar buat pasukan serta pemain," jelasnya.
Semua perlawanan yang akan disiarkan oleh Astro dalam definisi tinggi (HD) meliputi Perlawanan Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia boleh di tonton di platform linear (TV), On Demand dan Astro GO.
Manakala RTM pula akan menyiarkan secara langsung 75 perlawanan Liga Malaysia 2023 merangkumi beberapa saingan termasuk Perlawanan Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia menerusi saluran TV2, Sukan RTM dan TV Okey serta penstriman langsung melalui aplikasi RTMKlik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram