TONGGAK sayap sensasi Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi mencuri tumpuan apabila meledak gol kemenangan ketika menentang Lokomotiv Moscow dalam aksi persahabatan di Stadium The Sevens, Dubai, pada Khamis.
Bintang muda yang dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia dua tahun berturut-turut bergandingan dengan Bergson Da Silva, Fernando Forestieri dan Juan Muniz bagi mengemudi jentera serangan JDT.
Namun begitu, jaringan Arif Aiman mencuri perhatian selepas dia membuat satu larian sebelum melepaskan rembatan yang mengelirukan lawan.
Gol jaringan pemain berusia 21 tahun itu pada awalnya kelihatan seperti tidak memasuki gawang kerana bola berhenti di bahagian luar namun hakikatnya terdapat kebocoran pada jaring gol tersebut.
Kemenangan itu adalah yang ketiga dilakar skuad Harimau Selatan selepas mengharungi empat perlawanan persahabatan sepanjang berada di Dubai.
Rata-rata penyokong menyatakan rasa kagum dengan aksi cemerlang yang ditunjukkan oleh Arif Aiman. Bahkan ramai menyifatkan bintang muda itu sebagai pemain 'another level' kerana ketajamannya di atas padang.
"Bila dia score lawan kelab Borussia Dortmund (ketika aksi persahabatan JDT musim lepas), dah rasa Arif Aiman ni another level.
"Kalau ada offer kelab luar, please accept JDT (kekal di JDT)," tulis seorang penyokong, Nurazhar Mohd Zin.
"Lincah betul Arif Aiman beraksi, berhadapan dengan dua defend lawan dan goalkeeper pun boleh jaringkan gol," komen Sfull Izanie pula.
Sementara itu Hanafiah Kahmis berpendapat, Arif Aiman membuktikan fizikal bukan alasan untuk bersaing dengan pemain lebih hebat.
"Terus berusaha dan jauhilah masalah-masalah peribadi. Semoga terus maju jaya Arif Aiman," ujarnya.
Sepanjang program pramusim JDT, skuad kendalian Estaban Solari menewaskan kelab UAE, Fursan Hispania 3-0 dan mendahului 1-0 ketika menentang kelab Bulgaria, FC Levski Sofia sebelum perlawanan ditamatkan lebih awal akibat pergaduhan.
JDT akan melengkapkan aksi pramusim dengan menentang juara Liga Rusia, FC Zenit St Petersburg pada 6 Februari.
Kemudian skuad Harimau Selatan akan pulang ke tanah air membuat persiapan terakhir sebelum memulakan kempen Liga Super 2023 bertemu Terengganu FC untuk perlawanan Piala Sultan Ahmad Shah pada 24 Februari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram