‘Selangor kena WhatsApp minta izin JDT? Jangan masuk campur rumah tangga orang’


  • Podium
  • Khamis, 02 Feb 2023

Perdebatan antara JDT dan Selangor di luar padang bukanlah satu perkara baharu. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

PELAN pembinaan stadium baharu untuk Selangor FC bakal menyaksikan kelab tersebut mempunyai salah satu fasiliti terbaik di rantau Asia Tenggara.

Berdasarkan perancangan yang dikongsikan baru-baru ini, pembinaan yang dijangka bermula tahun ini menelan kos melebihi RM700 juta.

Pengumuman itu menarik perhatian ramai pihak dan ada yang mula tertanya-tanya mengenai sumber kewangan dan kos perbelanjaan secara keseluruhan.

Antara pihak yang lantang mempersoalkan hal itu ialah pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim.

Bagaimanapun, isu yang dibangkitkan adalah berkenaan kebenaran di sebalik anggaran kos perancangan pembinaan fasiliti serba canggih yang dikatakan tidak 'masuk akal' itu.

sts_1664539696

Stadium baharu Selangor FC bakal dipenuhi fasiliti serba canggih.

Kata TMJ, pihak pengurusan Selangor FC memerlukan modal kira-kira RM2 bilion untuk kerja-kerja pembangunan yang dijangka selesai pada 2026 itu.

Hal itu seolah-olah memecahbelahkan pendirian penyokong bola sepak tempatan apabila ada yang berpendapat pandangan yang disuarakan itu perlu diterima dengan hati terbuka.

Pemerhati sukan, Zuraimi Zukri menjadi antara pihak yang lantang berkongsi idea menerusi satu hantaran berbaur sinikal yang berasakan Selangor perlu meminta izin JDT sebelum membuat sebarang keputusan.

"Silap Selangor ini satu sahaja kerana mereka tidak wasap (WhatsApp) JDT sebelum membuat apa-apa keputusan. Kalau tak, semua masalah yang timbul tidak timbul, termasuk isu kos stadium," katanya.

Perkara itu dikongsikan Zuraimi menerusi satu hantaran di laman Facebook peribadinya, namun ia sudah ditarik balik bagi menghormati sensitiviti kesemua pihak.

1512161

Stadium Shah Alam terpaksa dirobohkan dengan keadaannya semakin uzur.

Bagaimanapun hasil pemerhatian lebih teliti mendapati, postingi itu sudah dikongsi sekali lagi dengan beberapa perkara dan perkataan lebih mesra digunakan.

Malah, isu berkenaan terus menjadi topik perbincangan dengan penyokong bola sepak tempatan, Nurazhar Mohd Zin yang menyatakan pendiriannya akan konflik terbabit.

"Dulu, katanya nak jadikan JDT sebagai benchmark (penanda aras) kepada kelab lain yang memerlukan dasar penswastaan, padang latihan dan stadium sendiri.

"Banyak juga kelab dalam proses untuk complete tiga benda ni dan Selangor antara pasukan yang ke arah perkara positif. Jadi, bersangka baik dan percaya sahajalah kepada pelan dan bajet skuad yang lain demi persaingan sihat," katanya.

Hantaran yang dibuat pada Selasa itu berjaya menarik perhatian ramai dengan ruangan komen terus dibanjiri luahan perasaan orang ramai.

"Ini aku setuju, jangan masuk campur hal rumahtangga orang. Lepas kahwin, orang bahagia atau tidak, nanti kita tahulah ceritanya, mudah sahaja," kata Muss Dabomb.

"Semoga Selangor FC dapat menelan ego JDT musim ni dengan muncul sebagai juara Liga Super," kata Azmir Zamri.

Stadium baharu skuad Gergasi Merah itu merupakan perancangan untuk menggantikan Stadium Shah Alam, Selangor yang bakal dirobohkan berikutan keadaannya yang semakin uzur.

Juara Piala Malaysia 33 kali itu dijangka menggunkan beberapa arena lain, seperti Stadium Petaling Jaya atau Stadium UiTM yang pernah digunakan beberapa tahun kebelakangan ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram