Selain Daryl Sham, anak Orang Asli antara penyerang muda bakal gegarkan Liga Super 2023


  • Podium
  • Jumaat, 03 Feb 2023

Daryl Sham merupakan antara prospek terbaik dimiliki ketika ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

LIGA Super 2023 menjanjikan satu kelainan buat penyokong tegar bola sepak tempatan dengan pertambahan pasukan yang berentap daripada 12 kepada 14 kelab secara keseluruhan.

Di samping peningkatan jumlah perlawanan, perubahan format itu juga menyaksikan pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi ruang untuk menurunkan lebih banyak pemain import.

Pendekatan itu pastinya memberikan perasaan berbeza buat penonton antara kualiti import dan pemain tempatan cukup ketara, lebih-lebih lagi dari segi fizikal.

Namun, di sebalik keriangan itu, terselit sedikit perasaan gusar apabila dikhuatiri lambakan wajah-wajah import akan menyekat peluang bakat-bakat muda.

Hal tersebut bukanlah sesuatu yang baharu dan ia dapat disaksikan dalam arena bola sepak tanah air apabila barisan kejurulatihan lebih gemar dengan pendekatan itu.

Bagaimanapun, bagi beberapa ubi muda, keazaman dan kesungguhan yang ditonjolkan mampu menjadi sebab untuk diturunkan dengan lebih kerap.

Perkara berkenaan dapat disaksikan dalam tiga penyerang yang baru sahaja berkhidmat buat pasukan masing-masing, namun sudah dapat membuktikan kualiti tersendiri.

1. Lokman Bah Din (Sri Pahang)

Sepanjang jendela perpindahan Liga Malaysia, Sri Pahang terus membuktikan visi dan misi tersendiri dengan melakukan rombakan terhadap pasukan.

Antara wajah-wajah baharu yang diperkenalkan ialah bekas penyerang Terengganu FC, Kpah Sherman dan penggempur Penang FC, Lucas Silva bagi menerajui jentera serangan pasukan.

Namun, di sebalik nama-nama besar itu, penyerang muda, Lokman Bah Din menjadi sebutan ramai apabila sah menyertai skuad Tok Gajah untuk musim 2023.

1919013

Bakat Lokman diharapakan terus bersinar bersama skuad Tok Gajah. Facebook/Sri Pahang FC

Pemain berusia 20 tahun itu mencatatkan sejarah tersendiri apabila menjadi Orang Asli pertama dalam sejarah kelab untuk menyarung jersi Sri Pahang FC.

Tidak cukup dengan itu, pengalamannya ketika bersama skuad Projek FAM-MSN turut digunakan sebaik mungkin apabila menyerlah ketika aksi pra-musim.

Perlawanan persahabatan antara Sri Pahang dan YPM FC pada 12 Januari lalu menyaksikan Lokman menjaringkan satu gol selain beraksi dengan cukup baik.

Jadi, prestasi itu pasti akan membuka mata ketua jurulatih, Fandi Ahmad untuk menurunkannya dengan lebih kerap bagi membolehkan anak muda ini memperolehi minit-minit permainan yang diperlukan.

2. Daryl Sham (JDT)

Tidak boleh dinafikan bahawa Johor Darul Takzim (JDT) kerap melahirkan bakat-bakat muda dengan kelengkapan dan fasiliti serba canggih di samping pihak kejurulatihan yang cukup berwibawa.

Perkara itu dapat disaksikan apabila skuad simpanan mereka berjaya mengungguli carta Liga Perdana 2022 dengan pasukan itu dibarisi bakat-bakat tempatan.

Namun, penyerang berusia 20 tahun, Daryl Sham KK George merupakan tonggak di sebalik keutuhan pasukan kendalian Mariano Echeverría tersebut.

WhatsApp Image 2023-02-02 at 22.29.47

Daryl Sham menjaringkan sembilan gol dalam kesemua penampilan Liga Perdana. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Dalam kesemua penampilan yang dicatatkan, pemain tersebut berjaya menjaringkan sembilan gol, sekali gus menyaksikannya memperolehi anugerah penjaring terbanyak tempatan.

Oleh itu, dengan Liga Perdana sudah dibubarkan, Daryl Sham dijangka terus diserap ke dalam skuad senior untuk membantu mereka meneruskan kecemerlangan di atas padang.

Di samping itu, pertambahan jumlah perlawanan pasti memaksa pihak kejurulatihan untuk memberi peluang kepadanya turun dengan lebih kerap bagi memastikan pemain sedia ada berada di tahap terbaik.

Persoalannya, adakah pemain berdarah kacukan Malaysia-Filipina itu dapat menembusi kesebelasan utama apabila skuad Harimau Selatan dibarisi penyerang berkualiti, termasuk Bergson da Silva dan Syafiq Ahmad.

3. Aliff Izwan Yuslan (Selangor FC)

Selepas menduduki tangga kelima Liga Super, Selangor FC bergiat aktif sepanjang jendela perpindahan dengan membawa masuk pemain import dan tempatan.

Antara posisi yang ditambah baik adalah jentera serangan dengan dua penyerang luar negara, Ayron del Valle dan Rauf Salifu menjadi rekrut baharu.

Tetapi, bagi penyokong skuad Gergasi Merah, mereka berhasrat untuk menyaksikan penyerang berusia 18 tahun, Aliff Izwan Yuslan diturunkan dengan lebih kerap.

Final-3-1024x683-1

Aliff Izwan terus bersinar setiap kali beraksi bersama skuad kebangsaan. Facebook/FAMAlaysia Official

Meskipun usianya boleh disifatkan sebagai terlalu muda, ia tidak menghalang barisan kejurulatihan untuk membolehkannya menyertai sesi latihan skuad senior.

Selain itu, bakatnya juga menyerlah ketika beraksi bersama skuad kebangsaan bawah 23 (B-23) sehingga memaksa ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk memberikannya peluang menyertai kem latihan.

Namun, timbul tanda tanya mengenai peluangnya bersama pasukan utama Selangor FC apabila masih tidak berada dalam keadaan fizikal terbaik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram