KEJAYAAN Sabah FC melayakkan diri ke kejohanan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2023 telah membuka mata semua pihak dengan kejayaan pasukan itu diyakini mampu memberikan saingan di peringkat tertinggi.
Sabah FC akan mengiringi naib juara Liga Super Terengganu susulan kekalahan Selangor FC di pentas final Piala Malaysia 2022 pada musim lepas.
Skuad The Rhinos bimbingan Datuk Ong Kim Swee sebelum ini menamatkan saingan Liga Super musim lepas di tangga ketiga dengan mengumpul keseluruhan 42 mata daripada 22 perlawanan.
Antara tonggak utama yang sering mendapat perhatian dalam skuad Sabah adalah penyerang berpengalaman Amri Yahya dan Baddrol Bakhtiar.
Kehadiran dua pemain sensasi itu nyata membawa banyak kejayaan buat Sabah dengan rekod peribadi mereka cukup untuk membuktikan mengapa nama mereka wajar dikekalkan untuk musim-musim akan datang.
Dalam pada itu, harapan peminat terhadap kedua pemain itu bukan hanya terbatas di atas padang, malah khidmat mereka juga ditagih untuk diserap hingga ke barisan kejurulatihan Sabah pada satu hari nanti.
Walaupun baru sahaja bersama Kim Swee dalam masa setahun, pemain telah menunjukkan prestasi yang cukup membanggakan dengan kejayaan ditempa pasukan itu dalam saingan domestik mahupun di peringkat Asia.
Bagi mengekalkan persembahan cemerlang untuk jangka masa panjang, penyokong Sabah sudah mula membayangkan Amri dan Baddrol menamatkan karier mereka di bumi Borneo.
Amri Yahya
Sentuhan Amri atau lebih mesra disapa dengan gelaran 'Wak Am' sentiasa ditagih dan dinanti-nantikan oleh penyokong skuad The Rhinos yang dilihat semakin meminati gaya permainan pemain itu.
Harapan peminat terhadap Amri kini lebih tertumpu sebagai seorang jurulatih kerana ilmu serta pengalaman pemain itu dilihat lebih sesuai sekiranya dicurahkan kepada pelapis-pelapis muda skuad tersebut.
Mengulas lanjut mengenai karier kejurulatihannya di Sabah, Amri juga merupakan antara pemain yang disanjung jurulatih Kim Swee dengan harapan besar disandarkan kepada pemain itu sebagai tokoh kepada pemain-pemain lain.
Pengendali berusia 52 tahun itu juga turut menghamburkan pujian pada Amri susulan aksi cemerlang yang ditampilkan pada saingan musim lepas.
Untuk rekod, sepanjang bersama Sabah, Amri telah membuat sebanyak 40 penampilan dan 9 jaringan gol.
Baddrol Bakhtiar
Baddrol yang terkenal dengan jolokan 'Kapten Marvel' bersama Sabah menjadi antara watak penting dalam pasukan hingga membantu Sabah memanjat tangga carta Liga Super di kedudukan ketiga dengan 42 mata.
Pemain berketinggian 1.74 meter itu mengemudi bahagian tengah Sabah dengan membantu pasukan menghasilkan gerakan-gerakan berbahaya untuk mencipta serangan ke gawang lawan.
Bijak membaca gerakan rakan sepasukan, hantaran jauh serta lorongan bola yang dihantar sering mengenai tepat ke sasaran yang sekali gus menjadi lubuk gol buat Sabah.
Meskipun jasanya bersama bekas pasukannya, Kedah FC dilihat lebih menyinar namun rata-rata penyokong Sabah sudah mula meminati corak permainan yang diterapkan pemain kelahiran Sungai Petani, Kedah itu.
Untuk rekod, Baddrol bermain untuk pasukan Kedah Darul Aman FC sejak 2006 dan pernah membantu Harimau Muda memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan SEA sebanyak dua kali iaitu pada 2009 dan 2011.
Justeru, kemasukan dua pemain tersebut ke dalam barisan kejurulatihan Sabah diyakini mampu membuahkan hasil lumayan dan kejayaan yang lebih memuncak buat pemain pelapis kelak.
Kini, Amri dan Baddrol sah bakal kekal beraksi di Sabah pada musim 2023 dengan harapan peminat semestinya mahu menyaksikan gandingan dua veteran itu menjulang pasukan tersebut di Piala AFC nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram