SUSULAN kekalahan Kelantan FC dalam dua aksi persahabatan sebelum ini, rata-rata penyokong kian gusar akan prestasi serta persembahan dipamerkan anak-anak buah Choi Moon-sik menjelang beberapa minggu sahaja lagi saingan Liga 2023 bakal bermula.
Tumpas di tangan Buriram United dengan keputusan 0-7, skuad The Red Warriors (TRW) sekali lagi ditundukkan Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan skor 0-2 yang nyata mengundang seribu satu kerisauan pada penyokong.
Aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah pada Jumaat itu menyaksikan benteng pertahanan Kelantan FC gagal menyekat asakan bertali arus pihak lawan selain jentera serangan juga dikatakan gagal menyempurnakan peluang terhidang di hadapan pintu gol.
Pemilik kelab, Norizam Tukiman dikhabarkan akan membawa beberapa lagi import baharu bagi memperkuat barisan pemainnya sebelum saingan liga musim depan bermula.
Terbaharu, Norizam atau mesra dengan panggilan Zamsaham baru sahaja mengumumkan pemain import baharu mereka yang akan menguatkan barisan serangan TRW iaitu Nuha Marong.
Dalam pada itu, penyokong Kelantan dilihat semakin bernafsu untuk menyaksikan pasukan negerinya memperoleh kejayaan pada musim depan dengan seorang lagi nama mula menjadi sebutan untuk digandingkan dengan penyerang Gambia tersebut.
Ismahil Akinade dikatakan antara calon terbaik bagi membentuk gandingan mantap bersama Nuha di barisan serangan pasukan. — Agensi
Terbaharu, pemain kelahiran Nigeria, Ismahil Akinade mula meniti di bibir peminat dengan harapan agar penyerang berkaliber itu dibawa masuk oleh Zamsaham bagi memperkukuhkan lagi jentera serangan pasukan yang ketika ini dilihat masih pincang dari segi keserasian pemain serta penyudah tajam.
Berketinggian 1.90 meter, pemain yang beraksi di posisi penyerang ini telah membantu kelab Sheikh Russel FC menduduki tempat ke enam di Liga Bangladesh dengan enam gol serta 10 penampilan berjaya dicatatkan pemain tersebut pada musim lepas.
Akinade dilahirkan di Nigeria pada tahun 1994 sebelum tiba di Ireland ketika berusia tujuh tahun pada 2001. Mendapat kerakyatan melalui program naturalisasi pemain, beliau memulakan karier bola sepaknya bersama St. Pat's FC ketika berusia 18 tahun sebelum mula mengorak langkah bersama beberapa lagi pasukan lain.
Berpengalaman luas di Liga Ireland, Ismahil sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa pasukan dari negara terbabit iaitu, Waterford FC, Bohemian FC dan Bray Wanderers FC dengan jumlah keseluruhan 35 gol serta 25 bantuan jaringan berjaya dicatatkan pemain itu sejak mula bertapak di Ireland pada tahun 2012 hingga 2019.
Turut berkebolehan beraksi di posisi sayap kanan, kontrak pemain berusia 28 tahun itu bersama pasukan Sheikh Russel FC di Liga Bangladesh kini sudah di penghujung musim dan berdasarkan laporan transfer market, Ismahil masih belum dimiliki mana-mana kelab bagi saingan musim depan.
Untuk rekod, bola sepak Asia bukan asing bagi pemain itu kerana sudah mempunyai pengalaman beraksi bersama tiga kelab di liga Vietnam iaitu Ha Tinh FC, Da Nang FC, Ho Chi Minh City FC dan sebuah kelab dari Liga Iran iaitu Al Etisalat FC sebelum ini.
Antara jaringan gol dihasilkan Ismahil di liga Vietnam bersama pasukan Ha Tinh FC.
Ismahil mencatatkan persembahan cemerlang sepanjang beraksi bersama pasukan Ho Chi Minh City apabila berjaya membantu kelab itu menduduki tangga kedua Liga Vietnam dengan empat jaringan berjaya dihasilkan penyerang tinggi lampai itu.
Sekiranya perpindahan Ismahil direalisasikan, penyokong ada sebab untuk teruja dengan kehadirannya ke Kota Bharu atas dua faktor yang ada dalam dirinya.
Seperti yang diakui sendiri oleh bekas majikannya, Waterford FC menerusi pengurus kelab terbabit, Alan Reynolds yang menyifatkan Ismahil sebagai seorang yang berpengaruh dan mudah berdampingan dengan rakan sepasukan.
Ketika perpindahan Ismahil ke Liga Vietnam, Alan pernah mengakui bahawa pemain itu telah bekerja keras dan berjasa kepada pasukannya.
"Kami menandatanganinya selepas mendapat promosi dua musim lalu dan dia menjaringkan beberapa gol penting.
“Kami berterima kasih kepadanya atas kerja keras dan usaha sepanjang 18 bulan beliau beraksi di atas padang.
“Dia akan dirindui di dalam dan di luar padang kerana merupakan pemain yang sangat popular dalam skuad," katanya seperti dilaporkan media sebelum ini.
Satu lagi sifat positif dalam diri Ismahil adalah semangatnya untuk berbakti kepada pasukan yang diwakilinya.
Sebelum ini pernah berhadapan detik hitam dalam kariernya apabila disahkan menghidapi penyakit platelet darah rendah ketika bersama pasukan Bohemians FC pada 2018.
Namun dalam keadaan kesihatannya yang terjejas, dia masih berkeras mahu beraksi di atas padang sementara menanti tarikh rawatan dari pihak hospital.
Namun atas nasihat doktor, dia dinasihatkan untuk melupakan seketika aksi dalam perlawanan liga dan pakar perubatan menyarankannya dia agar tidak mengambil risiko dengan memaksa diri untuk terus bermain dalam kesakitan.
Justeru, keazaman tinggi serta kekuatan mental dan fizikal pemain itu juga merupakan antara taruhan utama untuk dia diserap masuk ke skuad Kelantan pada musim depan dengan setakat ini, TRW masih boleh membawa sekurang-kurangnya tiga lagi pemain import ke pasukan itu.
Mengulas lanjut mengenai prestasi dipamerkan dalam dua persahabatan terdahulu, masih terlalu awal untuk menghukum kekalahan dialami Kelantan memandangkan skuad itu dalam proses peralihan pengurusan dan percubaan pemain-pemain baharu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram