Diramal musim sukar buat JDT, 3 kelab elit dijangka pamer ‘taring’ sebenar musim 2023


  • Podium
  • Ahad, 29 Jan 2023

JDT dijangka bakal disaingi rapat beberapa pasukan lain pada musim 2023. — Facebook/JDT

MENJELANG aksi saingan Liga Super 2023 yang bakal membuka tirai tidak lama lagi, peminat sukan bola sepak tanah air semestinya sudah tidak sabar untuk menyaksikan pasukan kegemaran masing-masing beraksi di atas padang.

Kini, setiap pasukan dilihat sedang sibuk mempersiapkan barisan terbaik dengan kemasukan beberapa pemain baharu serta perlawanan pra musim yang dijalankan, ia semestinya sesuatu yang menarik untuk dipertontonkan kelak.

Dalam pada itu, rekod cemerlang dimiliki Johor Darul Takzim (JDT) di liga domestik semestinya mahu dicabar oleh pasukan-pasukan lain.

Merupakan juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut, JDT telah memenagi 11 trofi pada tahun 2022 termasuk Piala Presiden oleh skuad JDT III, serta beberapa kejuaraan yang dimenangi oleh pasukan akademi mereka seperti MSSM(JDT U17 dan JDT U12), Milo Challenger Cup & Laliga Youth Tournament (JDT U14), Yakult-Aidil Zafuan Cup & JSSL International (JDT U13).

Gagal disaingi oleh mana-mana pasukan lain sebelum ini, kejuaraan yang dikecapi pasukan Harimau Selatan itu dijangka akan diberikan tentangan sengit oleh beberapa pasukan lain yang kini sedang 'simpan kuku' sebelum bermulanya saingan musim 2023.

Berikut merupakan tiga kelab yang dikatakan sudah bersedia dan dijangka akan mengekori rapat pasukan JDT.

selangor

Selangor FC

Memegang rekod kejuaran Piala Malaysia sebanyak 33 kali, Selangor FC dikhabarkan bercita-cita mahu menambah lagi koleksi itu ke angka 34 pada musim ini.

Ditambah pula dengan kemasukan tiga pemain kebangsaan iaitu Faisal Halim, V. Ruventhiran dan Ahmad Khuzaimi Piee, situasi itu dilihat antara keyakinan yang cuba dilaungkan oleh pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe.

Dalam pada itu, Selangor pada Sabtu mengumumkan kemasukan penyerang Colombia, Ayron Del Valle sebagai pemain import ketiga skuad Gergasi Merah.

Pernah beraksi di saingan yang lebih kompetitif iaitu Liga Colombia, kehadiran penyerang berusia 35 tahun itu dilihat bakal membentuk satu gandingan mantap bersama Faisal dan seorang lagi import, Rauf Salifu di bahagian serangan.

kedah

Kedah FC

Jika di Selangor ada Faisal Halim, Kedah juga dikhabarkan mempunyai seorang permata dalam pembikinan yang boleh dikatakan mirip pemain kebangsaan itu iaitu Fayadh Zulkifli.

Menurut perkongsian di salah sebuah akaun penyokong rasmi skuad Sang Kenari, jurulatih pasukan itu, Nafuzi Zain meletakkan kepercayaannya kepada seorang lagi pemain muda berpotensi, Fayadh yang dikatakan bakal meningkat naik sama seperti Faisal.

Tidak dinafikan sepanjang di bawah kendalian Nafuzi, Faisal banyak mempamerkan aksi memukau dan ada pihak turut meminta agar pengurusan Sang Kenari membawa pemain itu ke Kedah.

Ketika ditanya soal desas desus Faisal dibawa ke Darul Aman, Nafuzi berkata, dia kini lebih memfokuskan kepada Fayadh yang dilihat turut berpotensi untuk menyinar.

Kepantasan dan kelicikan pemain lincah itu menjadi taruhan utama penyokong Kedah dengan harapan pemain berusia 25 tahun tersebut mampu menjulang nama pasukan sebagai juara pada musim ini nanti.

ganu

Terengganu FC

Turut tidak ketinggalan, pasukan dari Pantai Timur, Terengganu FC terlebih dahulu sudah mempersiapkan pasukan terbaiknya bagi musim ini dengan berita kemasukan penyerang Thailand, Adisak Kraisorn sudah memadai untuk mendatangkan gerun pada pihak lawan.

Pemain berusia 31 tahun dari kelab Muangthong United itu diumumkan TFC dengan kontrak selama dua tahun sehingga penghujung musim 2024 sekali gus mengisi kekosongan kuota import ASEAN peninggalan pemain tengah Filipina, Manuel Ott yang menyertai Kedah Darul Aman (KDA).

Dalam pada itu, skuad Sang Penyu juga difahamkan akan menjalani beberapa perlawanan persahabatan siri jelajah di Thailand dengan pemilihan itu dilihat sebagai medan terbaik bagi menguji keserasian pemain.

Selain Adisak, empat lagi tonggak import baharu iaitu Ivan Mamut dan Damagoj Pusic dari Croatia, Sony Norde dari Haiti dan Surdor Kulmatov dari Uzbekistan bakal menggalas tugas pasukan bagi merebut kejuaaan liga M.

Tidak meletakkan harapan menggunung kepada pasukan berkenaan, apa yang diharapkan oleh penyokong semestinya persaingan sihat yang boleh merancakkan lagi kancah liga bola sepak tanah air pada musim ini.

Justeru, dengan segala persiapan yang sedang dijalankan ketika ini, tiga pasukan di atas diharap mampu menunjukkan persembahan memukau sekali gus meruntuhkan ego JDT yang selama ini dilihat terlampau selesa di puncak liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram