Sentuhan veteran masih ditagih? 3 faktor Wak Am akan kekal di Sabah


  • Podium
  • Ahad, 22 Jan 2023

Amri sentiasa mempamerkan aksi cemerlang dalam setiap perlawanan diturunkan. — Facebook/ Sabah FC

PASUKAN Sabah FC bakal membuat penampilan sulung mereka dalam kejohanan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2023 selepas berjaya mengisi slot kedua bersama Terengganu FC pada musim depan.

Ia berdasarkan peraturan ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) iaitu, jika juara Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia adalah kelab sama, atau Piala Malaysia dimenangi pasukan naib juara Liga Super, maka slot kedua ke Piala AFC akan diberikan kepada pasukan di tempat ketiga Liga Super.

Untuk rekod, skuad The Rhinos bimbingan Datuk Ong Kim Swee berjaya menamatkan saingan Liga Super musim lepas di tangga ketiga dengan mengumpul sebanyak 42 mata keseluruhan daripada 22 perlawanan.

Meskipun terpaksa mengharapkan Selangor tewas untuk menyambar tiket ke pentas Asia, pencapaian itu masih boleh dibanggakan susulan persembahan bermutu tinggi yang dipamerkan pasukan itu dalam saingan musim lepas.

Ketika ini, Sabah dikhabarkan sudah mula membawa masuk beberapa muka baharu dalam skuadnya untuk saingan 2023 dengan terbaharu, tiga pemain import disahkan akan menyarung jersi pasukan itu nanti.

Namun, tumpuan peminat kini terarah kepada status penyerang berpengalaman negara, Amri Yahya yang masih belum diketahui nasibnya sama ada akan kekal bersama Sabah ataupun tidak pada musim depan.

MAS

Amri ketika beraksi mewakili skuad kebangsaan satu ketika dahulu — FAM

Berbekalkan rekod cemerlang serta pengalaman luasnya dalam karier bola sepak, kehadiran pemain yang lebih mesra disapa 'Wak Am' itu semestinya ditagih oleh ribuan penyokong Sabah menjelang beberapa minggu sahaja lagi musim baharu akan bermula.

Dalam pada itu, ada beberapa faktor boleh diambil kira sebagai pendorong utama pemain itu dikekalkan semusim lagi bersama skuad The Rhinos walaupun usianya sudah mencecah 42 tahun.

Meskipun boleh dianggap antara pemain 'nakal' yang sering terpalit dengan pelbagai isu kontroversi di atas padang, sentuhan Amri masih diperlukan di Sabah lebih-lebih lagi sebagai idola kepada barisan pemain muda.

Berikut merupakan tiga faktor utama yang menjadi taruhan penyokong untuk menyaksikan Amri dikekalkan bersama Sabah pada saingan musim depan.

1. Hubungan baik dengan OKS dan peminat

Prestasi luar biasa yang sering dipamerkan Amri dalam setiap perlawanan yang diturunkan sentiasa mendapat pujian OKS.

Kim Swee sentiasa menjadikan pemain itu sebagai contoh kepada generasi pemain muda dalam skuadnya dan turut percaya bahawa rekod jaringan hatrik yang dilakar Amri selaku pemain paling berusia di Liga Malaysia, tidak mampu dipecahkan oleh mana-mana pemain lain pada masa akan datang.

Luahan itu disuarakan ketika Amri berjaya meledak hatrik ketika membenam Kedah Darul Aman (KDA) FC, 4-0 di Stadium Likas pada saingan liga musim lepas.

2. Masih bertenaga, tindakan penyudah tajam

Meskipun sudah bergelar pemain veteran, beliau masih mampu beraksi 90 minit permainan dengan rekod penampilan bersama Sabah sebelum ini menyaksikan 18 penampilan dan lima jaringan berjaya dihasilkan oleh penyerang kelahiran Tanjung Karang, Selangor ini.

Selain memiliki corak permainan lincah dan tindakan penyudah yang tajam di hadapan gawang gol, Amri juga boleh bermain di bahagian sayap yang melihatkan hantaran jauh beliau sering kali mampu mendatangkan masalah buat benteng pertahanan lawan sekiranya berjaya disudahkan dengan baik oleh rakan sepasukan.

Ada pihak turut berpendapat bahawa, pemain itu lebih layak sekiranya digantikan tempatnya dengan penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula yang kerap disenaraikan oleh jurulatih Kim Pan-gon sebelum ini.

Berdasarkan pada corak permainan yang diterapkan oleh Pan-gon dalam skuad kebangsaan, pengendali tersebut jelas amat mementingkan pemain yang mempunyai kepantasan dan bagus dari segi kawalan bola di atas padang dan Amri selayaknya diberikan peluang untuk kembali menyarung jersi skuad kebangsaan berbanding De Paula.

Meskipun semakin dimamah usia, beliau masih memiliki teknik kawalan bola serta skil individu yang menarik jika dibandingkan dengan penyerang JDT itu.

3. Pengalaman luas

Kelebihan Amri di atas padang sering diakui oleh rakan sepasukan mahupun pemerhati bola sepak susulan rekod konsisten yang ditampilkan selaku pemain serangan di pelbagai peringkat kejohanan.

Berpengalaman luas dalam saingan di peringkat domestik mahupun antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya, Amri sebelum ini pernah menyarung jersi pasukan Selangor, JDT, Melaka United dan Sarawak United pada musim-musim lepas.

Selain itu, Amri merupakan pemegang rekod jaringan hatrik bagi pemain tempatan bersama seorang lagi penyerang berkaliber, Darren Lok pada saingan Liga Super pada musim lepas.

amri 2

Amri ketika berjaya meledak hatrik dalam saingan musim lepas. — Facebook/SabahFC

Terkenal dengan kelicikan memperdayakan barisan pertahanan mahupun penjaga gol pasukan lawan, pergerakan lincah Amri sehingga kini masih gagal digugat oleh mana-mana pemain seusianya.

Dalam pada itu, sebelum ini timbul dakwaan dalam kalangan penyokong Gergasi Merah yang mahu menyaksikan pemain itu kembali ke Selangor sebagai jurulatih.

Harapan peminat terhadap Amri kini lebih tertumpu sebagai seorang jurulatih kerana ilmu serta pengalaman pemain itu dilihat lebih sesuai sekiranya dicurahkan kepada pelapis-pelapis muda skuad tersebut.

Namun, sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan dibuat oleh kedua-dua belah pihak dengan masa depan Amri masih lagi menjadi tanda tanya peminat sukan bola sepak tanah air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram