KEMASUKAN Syihan Hazmi ke pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pada musim depan nyata menerima pelbagai reaksi dan pendapat daripada peminat sukan bola sepak tanah air.
Ada yang menyokong dan ada juga yang turut meluahkan kerisauan terhadap prestasi pemain itu yang dibimbangi akan merosot jika gagal merebut kesebelasan utama dalam perlawanan.
Berjaya menempa nama sebagai salah seorang penjaga gawang tempatan terbaik selepas membantu Negeri Sembilan FC menduduki tangga keempat Liga Super musim lepas, prestasi cemerlang dipamerkan bersama skuad Harimau Malaya sebelum ini turut melonjak namanya ketika membantu skuad kebangsaan layak ke Piala Asia 2023.
Susulan itu, rata-rata penyokong sudah mula membayangkan pemain kelahiran Kelantan tersebut bakal merampas takhta penjaga gol terbaik negara yang sebelum ini banyak didominasi seorang lagi pemain JDT, Farizal Marlias.
Antara aksi cemerlang Syihan Hazmi dalam saingan liga musim lepas.
Dalam pada itu, takhta penjaga gawang terbaik Liga Malaysia ketika ini dilihat bakal dimeriahkan lagi dengan beberapa nama pemain yang turut mempamerkan persembahan bermutu pada musim lalu.
Meskipun kurang mendapat pendedahan di laman media mahupun panggilan skuad kebangsaan, prestasi yang ditunjukkan bersama pasukan masing-masing nyata mencuri tumpuan pemerhati bola tanah air.
Enggan menaruh harapan tinggi kepada hanya seorang ataupun dua pemain, penyokong mahu menyaksikan tiga lagi nama ini turut menjadi sebutan pada musim depan dengan harapan mampu memberi saingan sihat kepada Syihan Hazmi.
Rahadiazli Rahalim
Mula melakukan debut bersama skuad senior Terengganu FC pada perlawanan pertama Liga Super 2020 ketika menentang Perak, Rahadiazli kini merupakan antara pilihan utama jurulatih pasukan itu dengan 19 penampilan berjaya dicatatkan pada musim lepas.
Pemain berusia 21 tahun ini antara aset jangka masa panjang skuad Terengganu dengan ketinggiannya melebihi 1.90 meter membuktikan mengapa namanya disebut antara yang bakal menyinar dalam saingan 2023.
Pernah tersenarai dalam skuad kebangsaan di kejohanan Piala Raja Thailand tahun lalu, persembahan cemerlang bersama Terengganu nyata mendapat pujian jurulatih Kim Pang-gon yang sekali gus menyaksikan pemain itu membuat debut pertamanya bersama Harimau Malaya.
Meskipun namanya sebelum ini pernah dikecam kerana gagal mempamer aksi terbaik pada perlawanan akhir Piala FA 2022 menentang JDT, Rahadiazli dikhabarkan enggan menoleh lagi sebaliknya mahu menjadikan kesilapan tersebut sebagai pengajaran berharga buat dirinya.
Khairulazhan Khalid
Satu ketika dahulu, Khairulazhan pernah menggegar kancah bola sepak tanah air dengan kehadirannya di Selangor FC pada tahun 2020 berjaya membuka mata penyokong terhadap persembahannya.
Namun, musim lepas menyaksikan peluang Khairulazhan sedikit terjejas apabila barisan kejurulatihan dilihat lebih percaya dengan khidmat penjaga gol kelahiran England, Sam Sommervile meskipun pemain itu baru sahaja menyertai The Red Giants.
Walaupun begitu, minit-minit permainan yang dimilikinya ketika bersama skuad kebangsaan tidak boleh dipandang rendah, lebih-lebih lagi dengan persaingan hebat untuk posisi itu dengan Farizal Marlias sebelum ini.
Untuk rekod, aksinya bersama skuad kebangsaan mendapat pujian selepas berjaya mengawal gawang negara yang menyaksikan Malaysia menang 1-0 ke atas Thailand dalam aksi terakhir kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Sejak bersama Selangor pada musim 2016, bekas penjaga gol Pahang ini belum pernah merasai sebarang kejuaraan bersama skuad Gergasi Merah dan sekali gus menyaksikan impiannya itu dijangka bakal menjadi realisasi untuk musim ini.
Kalamullah Al Hafiz
Bakal beraksi bersama pasukan Kedah FC pada saingan musim 2023, Kalamullah juga dijangka memberikan saingan sengit terhadap takhta penjaga gawang utama negara nanti.
Mencatatkan rekod sembilan kali tanpa bolos daripada keseluruhan 21 bersama bekas pasukannya, PJ City FC dalam perlawanan Liga Super musim lepas, pemindahan pemain itu ke Darul Aman nyata meraih sokongan padu penyokong.
Menurut beberapa laporan media, Kalamullah menyimpan impian besar untuk membawa skuad Sang Kenari ke pentas akhir pada musim depan dengan sandaran peminat menjadi dorongan utama beliau mempamerkan aksi berkelas 'A' dalam setiap perlawanan.
Selain Kalamullah, KDA FC juga dibarisi penjaga gawang berpengalaman Ifwat Akmal dan juga bekas penjaga gol Kelantan United, Fikri Che Soh.
Enggan meletakkan harapan menggunung terhadap pemain-pemain di atas, namun melihatkan rekod cemerlang dimiliki serta kepercayaan penyokong tempatan menguatkan lagi stigma berkaitan perebutan posisi utama penjaga gawang negara musim depan.
Berbaki beberapa minggu sahaja lagi, tirai saingan musim 2023 akan bermula dan semestinya posisi penjaga gawang antara yang bakal diberikan tumpuan oleh peminat sukan tanah air dengan sandaran diletakkan terhadap tiga nama tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram