Bukan membazir tapi ada 2 kelebihan kelab Liga M jalani pra-musim di luar negara


  • Podium
  • Rabu, 25 Jan 2023

Zulakbal bersetuju dengan keputusan beberapa pasukan Liga Malaysia yang mengadakan aksi persahabatan di luar negara.

JADUAL persahabatan Liga Malaysia pada tahun ini dilihat cukup berbeza apabila beberapa pasukan memilih untuk mengadakan aksi persahabatan di luar negara.

Seperti kebiasaan, Johor Darul Takzim (JDT) merupakan antara pasukan terawal yang mengambil langkah berkenaan dengan mengadakan latihan pusat di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Tidak cukup dengan itu, mereka turut melakukan aksi persahabatan bersama beberapa kelab gergasi Rusia, termasuk Lokomotiv Moscow dan Zenit St Petersburg pada Februari depan.

Selain itu, Kedah Darul Aman (KDA) FC turut bercita-cita besar untuk musim ini dengan mengadakan sesi latihan pra-musim di Turkiye dengan menyahut cabaran daripada beberapa kelab Eropah dan Asia Tengah.

Perancangan itu serba sedikit menyuntik keterujaan dalam kalangan penyokong pasukan masing-masing apabila pihak pengurusan semakin bercita-cita besar untuk melangkah ke hadapan.

Namun, persoalannya, adakah ia merupakan satu tindakan yang wajar untuk pasukan-pasukan Liga Malaysia menguji kemampuan masing-masing dengan mengadakan sesi latihan pra-musim di luar negara?

Malah ada kalangan penyokong mempersoalkan keperluan untuk berlatih di luar negara yang dilihat sebagai satu pembaziran tenaga, masa dan wang ringgit, lebih-lebih lagi apabila hujung musim nanti hanya menduduki tangga tercorot.

Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim, dia berpendapat ia adalah satu keputusan yang dapat meningkatkan imej dan reputasi mereka.

"Apabila pemain yang dikumpulkan ini, ramai daripada mereka yang bukanlah pemain tempatan. Yang pertama, kita akan dapat tubuhkan proses untuk mengadakan sesi team building.

327345744_3481476282122718_4335287084205493051_n

JDT merupakan antara pasukan pertama untuk mengadakan sesi latihan di luar negara. Facebook/JOHOR Southern Tigers

"Bukan ketika bermain sahaja, tetapi ketika berada di hotel, semasa mereka makan bersama-sama, beriadah bersama-sama, mereka akan berada dalam suasana yang berbeza," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, latihan berpusat itu akan membolehkan pemain untuk mencipta keserasian antara satu sama lain, sekali gus membolehkan mereka untuk beraksi dengan lebih cemerlang ketika musim akan datang.

Dalam pada itu, Zulakbal turut berkata, aksi persahabatan di luar negara juga akan membolehkan pasukan-pasukan untuk melakukan pendedahan dari segi pemasaran.

"Bola sepak pada hari ini sepertinya satu perniagaan. Mungkin dengan aksi persahabatan itu kita akan dapat peluang perniagaan baharu untuk mengembangkan pasukan.

"Di samping itu, apabila kita dapat bermain di Liga Juara-juara AFC (ACL) atau Piala AFC, mereka akan lebih mengenali pasukan-pasukan tempatan," katanya.

Selain JDT dan KDA FC, beberapa pasukan lain juga mengambil peluang untuk mengadakan aksi persahabatan, termasuk Sabah FC dan Terengganu FC yang mengadakan latihan berpusat di Thailand. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram