ANTARA pasukan Liga Malaysia, Kedah Darul Aman (KDA) FC dilihat sebagai kelab yang paling bersemangat dalam melakukan rombakan sejak awal Disember lalu.
Kejayaan membawa masuk ketua jurulatih berpotensi, Nafuzi Zain merupakan antara langkah awal diatur skuad Sang Kenari untuk mengembalikan zaman kegemilangan mereka.
Tidak cukup dengan itu, pasukan tersebut juga berbelanja dengan mewah sepanjang jendela perpindahan dengan menandatangani beberapa pemain tempatan dan import.
Pemain kebangsaan, Lee Tuck dan penyerang sayap kelahiran Argentina, Manuel Hidalgo adalah antara nama-nama besar yang dibawa masuk dengan potensi mereka sudah dibuktikan dalam arena bola sepak tempatan.
Oleh itu, bagi membolehkan mereka menguji keupayaan dan keserasian antara pemain, beberapa siri aksi persahabatan sudah diadakan bermula pertengahan Januari lalu.
Seperti yang dijangkakan, KDA FC mudah menundukkan lawan yang dihadapi dengan pemain-pemain baharu berjaya membuktikan nilai tambah yang dimiliki masing-masing.
Kemenangan 4-0 yang dicatatkan ketika berdepan Perlis United merupakan antara langkah kanan dibuat skuad Sang Kenari sebelum satu lagi aksi terdahulu yang menyaksikan mereka menundukkan Kelantan FC dengan skor 2-0.
Langkah mereka dilihat tidak terhenti di situ apabila KDA FC sekali lagi mencatatkan kemenangan selesa ketika berdepan pasukan tercorot Liga Perdana 2022, Projek FAM-MSN.
Dua gol berjaya disumbang Lee Tuck ketika membenam Projek FAM-MSN 6-0. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Perlawanan yang diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim, Kedah pada Selasa itu menyaksikan anak-anak buah Nafuzi membenam pihak lawan dengan skor 6-0.
Keputusan itu seolah-olah membuktikan bahawa pasukan Utara tanah air tersebut sebagai salah satu pasukan pilihan untuk mencabar kejuaraan Liga Super 2023.
Tetapi, bagi seorang penyokong menerusi akaun Facebook Pena Bola Kedah, dia berpendapat persembahan itu tidak boleh dipandang tinggi oleh peminat setia Hijau Kuning.
"Coach Nafuzi mahu melihat pemahaman taktikal pemain dan keserasian antara pemain. Fans tak perlu bersorak sangat untuk kemenangan malam ini (Selasa).
"Pada saya, perlawanan itu adalah lebih kepada aksi persahabatan, perlawanan untuk bakar semangat para pemain. Maksud saya, boleh bersorak tetapi tidak perlu puji melambung," katanya.
Meskipun pendirian itu seakan-akan bersifat negatif, beberapa penyokong turut berkongsi pendapat yang sama, namun tidak menolak perlunya bergembira atas prestasi pasukan ketika ini.
"Bersorak sangat tidak apa, tetapi jangan terlalu seronok," kata Md Bj.
"Setuju, pada saya, ia seperti satu perlawanan pemanas badan," kata Shah Budin Ismail.
Berdasarkan perancangan yang dikongsikan pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar, KDA FC bakal berkunjung ke Turkiye untuk mengadakan sesi latihan pra-musim berpusat.
Selain itu, beberapa laporan turut menyebut bahawa skuad Sang Kenari bakal berdepan kelab di Eropah dan Asia Tengah dengan wakil dari Kazakhstan, Shakhter Karagandy mula disebut-sebut sebagai lawan mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram