DI samping melakukan aktiviti perpindahan, pasukan-pasukan Liga Malaysia juga dilihat tidak henti-henti melakukan persiapan sebelum musim baharu membuka tirainya.
Antara langkah lain yang dilakukan majoriti kelab-kelab tempatan adalah dengan mengadakan perlawanan persahabatan untuk menguji kebolehan skuad sedia ada.
Selain itu, aksi tersebut juga membolehkan lebih ramai penyokong untuk hadir menyaksikan pasukan masing-masing beraksi secara langsung di tempat sendiri.
Tetapi, ada di antara kelab Liga Malaysia yang menggunakan ruang dan waktu sepanjang tempoh pra-musim dengan mengadakan aksi persahabatan bersama kelab-kelab serata Eropah dan Asia.
Antaranya, juara Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) yang sememangnya menjadi kebiasaan buat mereka untuk berkunjung ke negara-negara luar bagi meningkatkan lagi daya tarikan pasukan di mata dunia.
Di samping itu, kelab yang bercita-cita untuk bangkit selepas menempuhi tempoh yang sukar, Kedah Darul Aman (KDA) FC juga difahamkan bakal mengadakan sesi latihan di Turkiye.
Lain-lain pasukan yang juga dilaporkan bersedia untuk menguji kebolehan pasukan ialah Sri Pahang FC, Terengganu FC, Sabah FC serta naib juara Liga Perdana 2022, Kelantan FC.
Meskipun ada yang di antara mereka yang sudah mengumumkan lawan masing-masing, jadual Liga Super yang hanya akan bermula pada 24 Februari memberi ruang kepada kelab-kelab tersebut untuk terus berada di seberang.
Tetapi, sekiranya melihat kepada kenyataan setakat ini, keenam-enam pasukan itu dilihat bakal berdepan cabaran getir berdasarkan latar belakang kelab dan pemain yang dimiliki.
Bagi merancakkan lagi perlawanan persahabatan itu, Majoriti memilih untuk menyenaraikan pemain yang dianggap sebagai bintang buat pasukan yang bakal dihadapi kelab-kelab Liga Malaysia dalam masa terdekat ini.
1. Roman Murtazayev (Shakhter Karagandy)
Selepas mengadakan dua aksi persahabatan menentang Perlis United dan Kelantan FC, KDA FC dikhabarkan bakal dibawa ke Turkiye bagi sesi latihan pra-musim.
Tidak cukup dengan itu, pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar mengumumkan empat aksi persahabatan akan turut diadakan bersama beberapa pasukan dari Eropah dan Asia.
Namun, sehingga kini, tiada informasi lanjut akan lawan yang bakal dihadapi skuad Sang Kenari, kecuali berita tidak rasmi yang mengatakan kelab Kazakhstan, Shakhter Karagandy bakal menjadi medan percubaan mereka.
Ketika ini, pasukan yang berpangkalan di pusat negara itu sedang menduduki tangga ketujuh selepas merekodkan 12 kekalahan daripada 26 aksi Liga Perdana Kazakhstan.
Murtazayev bakal menguji kebolehan benteng pertahanan KDA FC. — Agensi
Oleh itu, mereka tidak boleh dianggap sebagai sebuah kelab yang boleh dianggap sebagai lawan yang sukar, lebih-lebih lagi sekiranya KDA FC berharap untuk menilai kemampuan ketika ini.
Tetapi, dengan anak-anak buah Nafuzi Zain juga masih berada di peringkat awal, tidak salah sekiranya mereka memilih untuk menjadikan kelab berkenaan sebagai medan percubaan.
Persoalannya, siapakah di antara pemain Shakhter Karagandy yang boleh dianggap sebagai tonggak pasukan dan perlu diberi perhatian skuad Sang Kenari ketika aksi persahabatan itu?
Penyerang kelahiran Kazakhstan, Roman Murtazayev merupakan jawapan terhadap hal itu apabila pengalaman dan kebolehannya membolehkannya bergelar penjaring terbanyak pasukan dengan enam gol.
Walaupun statistik itu tidaklah terlalu membanggakan, perlu diingatkan bahawa pemain berusia 29 tahun itu pernah beraksi bersama kelab terbesar di negara tersebut, Astana buat beberapa musim.
Jadi, benteng pertahanan Sang Kenari pastinya perlu memberi penekanan terhadap Murtazayev sekiranya mereka berhasrat untuk mencatatkan sesuatu yang positif dalam perlawanan tersebut.
2. Malcom (Zenit St. Petersburg)
Sejak pembukaan jendela perpindahan Liga Malaysia, JDT difahamkan akan berkunjung ke negara luar bagi mengadakan sesi latihan dan perlawanan persahabatan.
Berdasarkan perkongsian baru-baru ini, kenyataan itu seakan-akan disahkan apabila skuad Harimau Selatan memilih untuk ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu bagi mengadakan sesi latihan pra-musim.
Namun, langkah mereka dilihat tidak terhenti di situ apabila pengumuman setakat ini menyatakan mereka bakal berdepan beberapa kelab Rusia bagi menilai kemampuan pasukan.
Antara kelab yang dipilih ialah pendahulu liga di negara berkenaan, Zenit St Petersburg yang boleh dianggap sebagai pasukan terbaik pernah mewaranai bola sepak Rusia.
Malah, reputasi pasukan itu juga meningkatkan lagi tarikan ramai dengan pasukan itu apabila mereka berkali-kali mencipta nama dalam pentas Liga Juara-juara UEFA (UCL).
Malcom merupakan antara pemain sayap terbaik di Rusia. — Agensi
Berdasarkan jadual yang dikongsikan menerusi laman media sosial rasmi JDT, perlawanan tersebut bakal berlangsung pada 6 Februari dengan lokasinya masih belum diumumkan.
Oleh itu, pertembungan dua juara liga domestik masing-masing itu pastinya hangat, lebih-lebih lagi dengan skuad Harimau Selatan berhasrat untuk melangkah lebih jauh dalam Liga Juara-juara AFC (ACL) 2023.
Lebih menarik lagi, perlawanan tersebut dijangka akan menyaksikan bekas pemain sayap Barcelona, Malcom diturunkan untuk memastikan tahap kecergasannya berada di tahap terbaik.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan, penyerang kelahiran Brazil itu merupakan antara pemain paling prolifik selepas memperolehi 12 jaringan peribadi di samping merekodkan lima bantuan gol.
Kelincahannya itu sebelum ini pernah menggegarkan Eropah sehingga membolehkannya berhijrah ke Barcelona, namun gagal menyesuaikan diri dengan perubahan suasana dan taktikal pasukan.
Jadi, perlawanan antara Zenit St Petersburg dan JDT itu pastinya menyajikan penyokong bola sepak tempatan dengan kelincahan Malcom bakal menguji kualiti pertahanan yang dimiliki skuad Harimau Selatan.
3. Boadu Acosty (Anyang FC)
Baru-baru ini, kecoh di media sosial apabila Sri Pahang FC memilih untuk mengadakan sesi latihan di Thailand bagi membolehkan pemain berada di tahap kecergasan terbaik.
Perkara tersebut mencuri perhatian selepas terdapat laporan tidak rasmi yang mengatakan keputusan itu dibuat berikutan ketiadaan fasiliti latihan tersendiri milik Tok Gajah.
Selain itu, berita mengenai pemilihan destinasi sesi pra-musim berkenaan mencuri perhatian ramai apabila terdapat ura-ura yang mengatakan aksi persahabatan bakal diadakan tanpa siaran langsung.
Hal itu akhirnya dibuktikan selepas anak-anak buah Fandi Ahmad berdepan salah satu gergasi Korea Selatan, FC Seoul pada Isnin dengan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.
Meskipun ia serba sedikit membuktikan bahawa sentuhan ketua jurulatih kelahiran Singapura itu semakin terbukti, penyokong masih berasa kecewa selepas mereka tidak berpeluang untuk menyaksikan kebolehan pemain.
Perasaan itu seolah-olah bakal berterusan apabila satu lagi aksi persahabatan bakal menyaksikan skuad Tok Gajah berdepan cabaran sebuah lagi kelab Korea Selatan, Anyang FC.
Acosty merupakan ancaman kepada pihak lawan dengan struktur fizikalnya. — Twitter/@acosty7
Meskipun mereka menghabiskan musim 2022 di divisyen bawahan, keberadaan pemain yang berkualiti dalam pasukan itu pastinya dapat menguji kualiti yang dimiliki Sri Pahang FC.
Antara pemain yang pastinya mencuri tumpuan ialah pemain kelahiran Ghana, Boadu Maxwell Acosty dengan prestasi cemerlangnya serba sedikit membantu pasukannya.
Dalam kesemua penampilan Liga K2, penyerang berusia 31 tahun itu menduduki carta teratas dari segi bantuan gol dengan 11 berjaya dihasilkan sepanjang musim.
Di samping itu, pengalaman yang pernah diperolehinya bersama beberapa kelab Itali, termasuk Fiorentina turut menambah lagi sebab untuk benteng pertahanan Tok Gajah bagi mengawal kelibatnya sepanjang tempoh permainan.
4. Danilo Alves (Chonburi FC)
Kejayaan Terengganu FC untuk melangkah ke pentas Asia musim ini memaksa mereka untuk melakukan persiapan rapi dengan mempersiapkan skuad menerusi aktiviti perpindahan.
Kehilangan beberapa tonggak, termasuk Faisal Halim dan Tchetche Kipre seakan-akan sudah berjaya digantikan dengan kehadiran wajah-wajah baharu seperti Adisak Kraisorn dan Ivan Mamut.
Bagaimanapun, ia dilihat masih belum cukup untuk menguji kemampuan pasukan apabila setakat ini, pasukan Pantai Timur itu hanya mengadakan satu perlawanan persahabatan.
Tetapi, aksi pada Isnin itu sepertinya membuktikan skuad Sang Penyu masih memiliki peluang untuk merebut gelaran Liga Super apabila mereka menundukkan Kelantan United FC dengan skor 2-1.
Danilo Alves merupakan penjaring terbanyak Liga Thailand ketika ini. — Agensi
Walaupun ia boleh dikatakan sebagai kemenangan tipis, langkah yang direncanakan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu tidak terhenti dengan beberapa lagi aksi persahabatan bakal diadakan.
Berdasarkan jadual tidak rasmi yang dikongsikan, naib juara Liga Super 2022 itu bakal berdepan kelab Thailand, Chonburi FC sebelum tirai musim ini dibuka.
Aksi tersebut pastinya menarik perhatian ramai, apatah lagi dengan pasukan yang diberi jolokan Sang Jerung itu pernah beberapa kali layak ke pentas ACL.
Selain itu, kelab yang berada di tangga kedua Liga 1 Thailand itu memiliki penjaring terbanyak setakat ini, Danilo Alves yang berjaya menjaringkan 12 gol setakat ini.
Ketinggiannya yang mencecah 1.87m itu semestinya menjadi satu ujian terhadap benteng Sang Penyu yang sudah kehilangan tonggak import mereka, Pape Diakite.
Oleh itu, dengan kedua-dua pasukan bakal berentap, Danilo dilihat sebagai satu ancaman yang perlu dibendung sekiranya Terengganu FC mahu mencatatkan keputusan yang lebih positif.
5. Ki Sung-yeung (FC Seoul)
Selain Terengganu FC, Sabah FC juga merupakan wakil tempatan yang bakal bersaing dalam Piala AFC musim ini selepas menamatkan kempen Liga Super di tangga ketiga.
Ketika ini, skuad Sang Badak dilihat masih tidak terlibat dengan sebarang aksi persahabatan dengan hanya pertemuan antara skuad diadakan di Stadium Likas, Sabah.
Bagaimanapun, mereka yang dijangka bakal berwajah baharu pada 2023 difahamkan tidak akan terlepas dengan menguji kemampuan pasukan bersama kelab luar negara.
Menerusi tinjauan di media sosial, anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee dilaporkan akan menerima cabaran daripada kelab Denmark, Odense Boldklub di Thailand.
Kapten FC Seoul ini memiliki pelbagai pengalaman sepanjang kariernya. — Agensi
Tidak cukup dengan itu, beberapa laporan tidak rasmi juga menyebut pasukan tersebut akan turut berdepan FC Seoul yang baru sahaja menguji kemampuan Sri Pahang FC.
Lambakan pemain antarabangsa dan import pastinya menyukarkan penyokong Sang Badak dan barisan kejurulatihan untuk memilih ancaman terbesar dalam perlawanan itu.
Namun, berdasarkan pemerhatian, kapten pasukan, Ki Sung-yeung boleh dianggap sebagai bintang paling bersinar dengan pengalaman diperolehinya sepanjang karier.
Di samping pernah mewakili pasukan kebangsaannya sebanyak 110 kali, pemain tengah itu berusia 34 tahun itu juga pernah beraksi di Eropah, termasuk beberapa kelab di England.
Perkara itu pastinya membawa perbezaan kepada FC Seoul yang masih mengharapkan pemainnya dapat mempamerkan aksi terbaik dalam usaha mereka mendaki carta liga.
Tetapi, persoalannya, adakah Sung-yeung akan diturunkan dalam aksi persahabatan itu selepas dia pastinya memerlukan tempoh rehat yang lebih panjang melihat kepada usianya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram