JENDELA perpindahan sebelum Liga Super membuka padang pada Februari depan menyaksikan beberapa tonggak pasukan sebelum ini berhijrah bersama pasukan baharu.
Perkara ini secara jelas boleh mengganggu perancangan sedia ada yang sudah dirangka kelab masing-masing dan pemilihan baharu perlu dibuat dengan teliti supaya beban kehilangan itu dapat ditampung pasukan.
Kehilangan tonggak utama pasukan ini pastinya menjadi sesuatu yang ditakuti penyokong kerana risau aksi pasukan secara keseluruhan akan terjejas.
Namun, musim ini juga menyaksikan beberapa kelab yang kehilangan tonggak utama berjaya mendapat pemain yang boleh dikatakan memiliki kemampuan yang seiring dengan bekas pemain mereka.
Perkara ini sudah pasti akan mengubati kerinduan penyokong terhadap pemain tonggak utama mereka yang memilih untuk bersama dengan pasukan baharu.
Berikut adalah tiga pemain kelab yang kehilangan tonggak utama pasukan, tetapi berjaya diganti dengan bintang baharu yang bakal menyinar dalam saingan liga musim depan.
KDA FC (Pak Ngah diganti Willian Lira)
Pemain penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Ronald Ngah Wanja pada awal saingan liga musim lalu dilihat tidak konsisten sehingga mendapat kritikan penyokong.
Namun, menjelang pertengahan liga, pemain berasal dari Cameroon ini mula mendapat rentak dan akhirnya menjadi tonggak utama pasukan.
Pemain itu bagaimanapun tidak bersama KDA FC musim depan apabila kontraknya ditamatkan dan tugas menggempur kubu lawan kini digantikan dengan pemain dari Brazil, Willian Lira.
Menerusi dua aksi persahabatan, pemain berusia 29 tahun itu menjaringkan dua gol dan satu bantuan jaringan. Perkara ini disifatkan sebagai satu pembelian yang berbaloi buat Sang Kenari.
Ditambah pula dengan kehadiran seorang lagi penyerang dari Nigeria, Ebenizer Assifuah, sudah pasti kehilangan Wanja atau lebih dikenali dengan gelaran Pak Ngah tidak akan dirasakan oleh penyokong.
Terengganu FC (Faisal Halim diganti Ivan Mamut)
Tidak perlu diperkenalkan lagi berkenaan Faisal Halim yang sebelum ini menjadi tonggak utama Terengganu FC (TFC) dengan jumlah jaringan enam gol dan sembilan bantuan jaringan menerusi 20 penampilan.
Selain itu, Faisal juga memainkan watak penting dalam skuad kebangsaan tatkala Johor Darul Takzim (JDT) tidak melepaskan pemain mereka dalam aksi bersama skuad kebangsaan.
Namun, satu kejutan buat TFC apabila pemain ini memilih untuk bersama Selangor FC pada musim 2023 walaupun hangat dikatakan akan berhijrah ke utara tanah air.
Penyokong bagaimanapun dapat menarik nafas lega apabila kehilangan Faisal itu digantikan dengan pemain dari Croatia, Ivan Mamut.
Menerusi aksi persahabatan bersama Kelantan United pada Isnin, Mamut menunjukkan taring sebenarnya dengan membantu Terengganu meraih kemenangan 2-1.
Satu daripada gol tersebut, dijaringkan Mamut. Menerusi perlawanan itu, pemain berusia 25 tahun ini memiliki kelajuan dan ketajaman di bahagian serangan.
Semestinya, Mamut akan menjadi seorang daripada pemain yang patut diawasi pasukan lain dalam saingan Liga Super musim depan.
Pahang (Steven Rodriguez kepada Lucas Silva)
Ketika Sri Pahang berdepan dengan prestasi tidak menentu pada musim lalu, kehadiran Steven Rodriguez membawa sinar baharu kepada penyokong.
Menjaringkan sembilan gol dalam 13 penampilan berjaya membuktikan kehebatan pemain dari Colombia ini bersama Tok Gajah.
Namun, ketika harapan menggunung diberikan kepada pemain muda berusia 24 tahun ini untuk lebih bersinar pada musim 2023, dia memilih untuk kembali ke kelab lamanya iaitu Independente Medellin di Colombia atas faktor statusnya sebagai pemain pinjaman.
Kehilangan itu mengecewakan penyokong sehinggalah Tok Gajah menandatangani bekas ketua pasukan Penang FC, Lucas Silva untuk saingan musim depan.
Mengimbas kembali aksi Silva bersama Harimau Kumbang, pemain berusia 32 tahun ini merekodkan enam jaringan. Pemain ini cukup cukup bagus di depan pintu gol namun dia tidak mempunyai sokongan yang padu daripada rakan sepasukan yang lain.
Perkara itu membuatkan Penang FC terperosok di kedudukan bawah liga walaupun mempunyai Silva, pemain yang cukup berbisa. Bersama Tok Gajah pada musim depan, sudah pasti aksinya akan lebih ganas bersama dengan barisan pemain yang lebih berpengalaman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram