Bakal berentap 3 hari lagi, fans Perak ikrar kasi gegar Penang FC


  • Podium
  • Rabu, 25 Jan 2023

Skuad TBG bakal berdepan Penang FC dalam aksi persahabatan Sabtu ini. — Facebook/Perak Football Club

PERUBAHAN format dan struktur yang dirangka pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membolehkan pasukan kedua tercorot Liga Perdana, Perak FC untuk mendapatkan slot automatik ke divisyen teratas liga tempatan.

Peluang tersebut dilihat digunakan pihak pengurusan dengan baik, apatah lagi ia merupakan kepulangan skuad The Bos Gaurus (TBG) selepas tersingkir pada 2021.

Oleh itu, melihat kepada situasi ketika ini, kualiti skuad mereka sudah diperkuatkan dengan kehadiran beberapa wajah baharu, termasuk bekas penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Hadi Fayyadh.

Walaupun ada suara sumbang yang mempersoalkan pendekatan pasukan sepanjang jendela perpindahan, ia dilihat bersesuaian dengan taktikal ketua jurulatih, Lim Teong Kim.

Pengalamannya melatih pasukan remaja Bayern Munich dan skuad kebangsaan Bawah 17 (B-17) membuktikan lambakan pemain muda dalam skuad TBG bersesuaian dengan keselesaannya.

325397454_763331672172549_1803980506008803874_n

Perak FC berwajah baharu selepas jendela perpindahan Liga Malaysia. Facebook/Perak Football Club

Pembelian itu juga dilihat berjaya menambat hati pihak pengurusan yang sedia memberi masa kepada pengendali sensasi itu untuk membuktikan sentuhannya bersama pasukan.

Jadi, dalam usaha untuk meneruskan langkah, Perak FC mengambil kesempatan pra-musim dengan mengadakan aksi persahabatan bersama beberapa pasukan Liga Malaysia.

Baru-baru ini, kelab yang dipilih untuk menguji kemampuan skuad sedia ada ialah pasukan amatur tempatan, ATM FC yang berakhir dengan kemenangan berpihak kepada TBG.

Jaringan yang dihasilkan rekrut baharu, Harith Naem Jaineh sedikit sebanyak membuktikan aura Teong Kim semakin dirasai menerusi hantaran dan gerakan di atas padang.

Namun, kemaraan mereka seperti tidak terhenti di situ apabila mereka dijadualkan bakal menerima pasukan Liga Super, Penang FC pada Sabtu di Stadium Perak, Ipoh.

Menariknya, pertembungan itu akan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi pasukan bagi membolehkan lebih ramai penyokong menyaksikan kebolehan Perak FC.

Seruan itu seakan-akan diterima peminat setia TBG yang membanjiri ruangan komen dengan kata-kata semangat untuk menyaksikan aksi tersebut walaupun perlu membayar caj yang dikenakan.

"Awak semua perlulah beri peluang dan keyakinan kepada Perak FC yang baru sahaja hendak bangkit ini dan janganlah mengharapakan kesempurnaan kerana masih dalam proses memperbaiki prestasi.

"Bersyukurlah kerana ada pihak yang rela mengambil risiko untuk pulihkan semula pasukan kesayangan kita dan tolonglah, menang atau kalah, kita tetap tulang belakang Perak FC," kata Mohd Zul Fahmi Hamdi.

"Saya sokong dari jauh sahaja, tengok siaran secara langsunglah nampaknya. Terima kasih kerana sudah menyelamatkan bola sepak Perak tanpa bantuan dan subsidi kerajaan, terbaik XOX," kata Tajul Ikhwan.

Pada pertengahan tahun lalu, XOX Berhad menerusi anak syarikatnya, XOX Pro Sport Sdn Bhd sah menjadi pemilik Perak FC yang masih bergelut dengan isu pengurusan.

Tetapi, sejak kehadiran syarikat telekomunikasi itu, skuad TBG boleh dikatakan menerima nafas baharu, baik di dalam dan luar padang seperti mana yang dapat disaksikan ketika ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram