Operasi SAR kapal kargo dihentikan, nasib 3 warga tempatan tidak pasti


  • 112
  • Isnin, 16 Jan 2023

Kapal yang dinaiki tiga warga tempatan bersama dua warga Indonesia dilaporkan hilang sejak 9 Januari lepas.

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) kapal kargo MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang sejak 9 Januari lepas, ditamatkan oleh Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia, Sabtu lepas.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan maritim Malaysia (APMM), Laksamana maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, operasi itu dihentikan selepas semua usaha yang dilaksanakan tidak menemui sebarang petunjuk.

"Meskipun koordinasi antara negara yang dibuat BASARNAS ditamatkan, pemantauan oleh aset maritim Malaysia yang beroperasi di lapangan, terutama di perairan Malaysia berdasarkan posisi terakhir, akan tetap diteruskan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Mohd Zubil, BASARNAS juga akan mengaktifkan kembali pencarian sekiranya terdapat petunjuk baharu berkaitan MV Dai Cat 06 yang hilang di perairan Indonesia.

Dalam operasi itu BASARNAS telah menggerakkan empat aset terdiri daripada sebuah kapal, dua bot dan sebuah pesawat, melibatkan kawasan pencarian seluas kira-kira 800 batu nautika persegi di perairan Natuna, Indonesia, katanya.

Jelasnya, aset Maritim Malaysia dari maritim Negeri Sarawak juga membuat pencarian di sempadan Malaysia-Indonesia di perairan Tanjung Datu hingga ke perairan Kuching, namun tiada sebarang petunjuk.

"Maritim Malaysia buat masa ini masih meneruskan siasatan berhubung kehilangan kapal MV Dai Cat 06 dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Pada 9 Januari lalu, kapal kargo yang didaftarkan di Malaysia dan membawa muatan 527 batang paip bernilai RM726,205 berserta lima kru itu dipercayai hilang di perairan Indonesia, manakala laporan berhubung kejadian dibuat ejen kapal tersebut hari yang sama.

Dilaporkan MV Dai Cat 06 keluar dari Kampung Acheh, Perak pada 23 Disember tahun lalu menuju ke Kuching, Sarawak dan sepatutnya tiba pada 31 Disember.

Pada 10 Januari lalu, media melaporkan kehilangan kapal MV Dai Cat 06 yang didedahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Lima kru kapal kargo MV Dai Cat 06 membabitkan tiga warga tempatan serta dua warga Indonesia.

Nakhoda kapal dikenali sebagai Adi, 43, dan berasal dari Indonesia.

Jurutera kanan kapal juga adalah warga Indonesia iaitu Damai Papane Ole, 57, manakala Ketua Operasi kapal ialah Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24, yang juga warga tempatan.

Dua lagi warga tempatan ialah Mohammad Sudeh Sudin, berusia 20 tahun dan Derrent Littor, berumur 22 tahun merupakan warga tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram