KEHADIRAN XOX Berhad sebagai pemilik baharu Perak FC berjaya membawa perubahan kepada reputasi dan nasib pasukan yang sebelum ini terpalit dengan isu kewangan.
Meskipun menamatkan saingan Liga Perdana di kedudukan kesembilan musim lepas, perubahan format oleh pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membolehkan mereka layak ke divisyen teratas bola sepak tempatan.
Oleh itu, bagi membolehkan mereka bersaing dengan lebih baik, persiapan demi persiapan sudah dirancang termasuk mendapatkan khidmat ketua jurulatih sensasi, Lim Teong Kim.
Tidak cukup dengan itu, pihak pengurusan juga dilihat tidak henti-henti melakukan aktiviti pemindahan pemain dengan membawa masuk wajah-wajah baharu ketika jendela perpindahan kali ini.
Ini termasuk keputusan untuk menyambar khidmat bekas penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Hadi Fayyadh yang sebelum ini berkelana selama lima tahun di Jepun.
Hadi Fayyadh diumumkan sebagai rekrut baharu Perak FC. — Facebook/Perak FC
Namun, meskipun sudah melakukan pelbagai perubahan ketara, masih terdapat suara-suara sumbang yang berasakan skuad The Bos Gaurus (TBG) akan bergelut musim depan.
Hal tersebut dikatakan kerana pasukan tersebut enggan mendapatkan sentuhan pemain senior yang mempunyai kebolehan untuk berkongsi pengalaman kepada bakat-bakat muda.
Tetapi, bagi Keita Mandjou, sebagai legenda Perak FA, dia berharap pasukan itu mampu menjadi salah satu pesaing terbaik dalam merebut kesemua kejuaraan yang ditawarkan pada 2023.
"Impian saya kepada pasukan ialah untuk berjuang bersungguh-sungguh untuk Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA dalam satu tempoh yang dekat.
"Ini kerana Perak dan kesemua penyokong berhak mendapatkan sebuah pasukan yang hebat dan saya yakin pihak pengurusan akan mendirikan sebuah pasukan yang mampu berjuang untuk memastikan ramai pihak bergembira," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya, perbezaan dari segi bahasa serba sedikit menyukarkannya untuk terus mengikuti perkembangan pasukan selain kurang mengenali wajah-wajah dalam pengurusan ketika ini.
Keita sebelum ini pernah membantu TBG menjadi salah satu pasukan terbaik dalam Liga Malaysia dengan muncul sebagai penjaring terbanyak pada 2006.
Keita (bawah) ketika mewakili Kelantan FA pada 2013.
Selain itu, kesungguhan yang dipamerkan penyerang kelahiran Guinea itu sepanjang tiga tahun berkhidmat bersama pasukan itu turut membantu Perak FA membawa pulang trofi Piala FA pada 2004.
Dalam masa sama, ketika ditanya mengenai momen terbaiknya ketika mewakili pasukan tersebut, Keita berkata, dia sangat mengagumi penyokong di samping memberi pujian menggunung terhadap pihak pengurusan sebelum ini.
"Pada saya, penyokong Perak merupakan antara yang terbaik di Malaysia kerana mereka sangat bersemangat dan kadang kala, boleh berada di tahap yang cukup mengejutkan.
"Bagi pihak pengurusan pula, hubungan antara saya dan mereka cukup baik terutamanya ketika berada di bawah kendalian Datuk Jamal Nasir Rasdi," katanya.
Selain pernah mewakili Perak FA, Keita juga pernah mewarnai arena bola sepak tempatan dengan menyertai Kelantan FA pada 2013 yang mana dia berjaya menjaringkan lima gol dalam 11 penampilan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram