Gagal dapatkan Syafiq Ahmad, Kedah pantas 'sign' plan B dari Selangor FC?


  • Podium
  • Sabtu, 14 Jan 2023

Siapakah di antara 'ubi muda' Selangor FC II yang bakal disambar KDA FC musim depan? — Selangor FC

MESKIPUN sudah melakukan pelaburan secara besar-besaran, Kedah Darul Aman (KDA) FC dikatakan akan terus berbelanja bagi mempersiapkan pasukan.

Ketika ini, khabar angin kuat bertiup mengaitkan kepulangan bekas penyerang Syafiq Ahmad yang sedang berdepan ketidaktentuan bersama Johor Darul Takzim (JDT).

Hal itu adalah kerana kehadiran pemain kelahiran Brazil, Bergson da Silva menyebabkan penyerang berusia 27 tahun itu kerap disisihkan dari kesebelasan utama.

Selain itu, ura-ura tersebut dikhabarkan timbul berikutan pertemuan antara pemilik kedua-dua pasukan, iaitu Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim dan Tan Sri Mohd Daud Bakar.

Lebih menarik lagi, baru-baru ini, heboh di media sosial apabila pemain kebangsaan itu kerap kelihatan berada di kampung halamannya selain dilihat sempat bergambar bersama pemilik kelab Utara tanah air itu.

Bagaimanapun, setakat ini, masih tiada pengesahan daripada mana-mana pihak dengan Syafiq turut bertegas bahawa keberadaannya di Kedah tidak mempunyai sebarang perkaitan dengan kariernya.

Kegagalan untuk mendapatkan pemain itu pastinya serba sedikit mengganggu perancangan ketua jurulatih, Nafuzi Zain yang ketika ini hanya memiliki Willian Lira sebagai penyerang.

Walaupun penggempur kelahiran Brazil tersebut berjaya membuktikan sentuhannya ketika perlawanan pra-musim, jadual yang padat pasti akan mengundang isu dari segi kecergasan pemain.

118112564_1209315802751580_2557348794305398976_n

Nazrin dianggap sebagai permata baharu buat Selangor FC II.

Namun, KDA FC dilihat sudah mempunyai rancangan berbeza untuk mengurangkan beban yang dipikul Willian apabila mereka difahamkan memilih untuk menyambar bakat muda Selangor FC, Nazrin Nasir.

Musim lepas, pemain berusia 20 tahun itu pernah mencuri perhatian ramai apabila membantu skuad Piala Emas Raja-Raja menamatkan penantian 25 tahun untuk menjuarai kejohanan tersebut.

Selain itu, penyerang kelahiran Kuala Kangsar, Perak tersebut juga pernah meraih pengalaman bersama skuad kebangsaan Bawah 19 (B-19) ketika Kejohanan Bolasepak Thanh Nien Antarabangsa B-19.

Tetapi, dengan Nazrin seakan-akan tiada dalam percaturan pengendali Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe bagi musim 2023, keputusannya untuk berhijrah ke KDA FC pastinya direstui.

WhatsApp Image 2023-01-14 at 18.32.24

Hantaran Nazrin seakan-akan mengesahkan penghijrahannya ke KDA FC. Instagram/nzrinnsr

Perkara tersebut dikongsikan menerusi Instagram peribadi pemain itu yang berkongsi ucapan selamat maju jaya daripada rakan-rakannya, sekali gus seolah-olah mengesahkan perpindahannya ke Stadium Darul Aman.

"Good luck Cong," kata mhdnhfiz.

"Good luck Chong, elok-elok di Kedah," kata zimmieyyz.

Meskipun Nazrin dikatakan lebih sesuai untuk terlebih dulu menimba pengalaman bersama skuad Bawah 23 (B-23) Kedah, keupayaan Nafuzi untuk mengembangkan bakat muda pasti akan memberi peluang kepadanya bersama pasukan senior tanpa perlu menunggu lama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram