Nasib semakin samar, Perak FC antara 2 kelab kena selamatkan karier Luqman Hakim


  • Podium
  • Isnin, 16 Jan 2023

Luqman Hakim banyak mendapat minit permainan ketika beraksi bersama skuad kebangsaan. — Twitter

SEJAK menyertai kelab Belgium, KV Kortrijk pada 2020, minit permainan Luqman Hakim Shamsudin menjadi perbualan hangat dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan yang mengikuti rapat kerier bola sepak anak Kelantan itu di bumi Eropah.

Pemain muda berusia 20 tahun itu tidak banyak mendapat tempat dalam kesebelasan utama kelab yang berpangkalan di Belgium tersebut.

Dia pernah diturunkan sekali dalam perlawanan kompetitif ketika dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-74 menentang Aderlecht pada musim 2020.

Gol Luqman Hakim bersama skuad KV Kortrijk B21 menentang Zulte Waregem B21. — Facebook

Bagi musim 2021, statistik Luqman Hakim terus suram tanpa sebarang minit permainan dan hanya tampil beraksi dalam skuad kebangsaan di Sukan Asia Tenggara dan perlawanan persahabatan antarabangsa.

Kehadiran musim 2022 juga tidak banyak memperbaiki statistik Luqman Hakim yang mana dia hanya memperoleh dua minit permainan ketika saingan Divisyen Pertama A Belgium dalam aksi menentang KVC Westerlo pada 22 Oktober 2022.

Luqman Hakim juga hanya dapat bermain seminit ketika aksi menentang OH Leuven dalam kejohanan Beker Van Belgie pada 20 Disember lepas.

Nasib pemain muda itu dengan KV Kortrijk bagi musim 2023 semakin samar tatkala kelab tersebut rancak merekrut pemain-pemain muda baharu berbakat luar biasa dari seluruh dunia.

Aksi Luqman Hakim menjaringkan gol ketika beraksi menentang skuad Virton B21. — Facebook

Meskipun ada laporan mengatakan Luqman Hakim bakal dipinjamkan ke salah satu kelab di Liga Eropah pada jendela perpindahan kedua Januari ini, namun nasib anak muda kelahiran Kota Bharu terus menjadi tanda tanya.

Penyokong khuatir dengan saingan yang sangat kompetitif di Liga Eropah, nama Luqman Hakim akan terus karam jika menerima nasib sama seperti di KV Kortrijk.

Mereka tidak mahu Luqman Hakim sekadar memanaskan bangku simpanan sedangkan dia memiliki ketajaman untuk mencetak gol. Malah dia pernah mencetak nama sebagai penjaring bersama skuad KV Kortrijk B21.

Sebagai prospek masa depan negara, ramai berpendapat Luqman Hakim boleh kembali ke tanah air untuk merancakkan Liga Malaysia dan menyertai kelab seperti Perak FC yang kini menjalani satu revolusi di bawah kendalian Lim Teong Kim.

Masih di fasa golden age, Luqman Hakim boleh memperbaiki tahap permainan dan mengasah ketajaman serangan dengan tunjuk ajar daripada bekas jurulatih skuad remaja Bayern Munich itu.

IPOH, 13 Jan --- Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC Bobie Farid Shamsudin (kiri) bercakap pada sidang media pengumuman penyerang skuad bawah 23 (B-23) kebangsaan Hadi Fayyadh Abdul Razak (kanan) yang secara rasmi menyertai Perak FC dengan kontrak selama dua tahun secara pilihan semasa sidang media Majlis Pelancaran Jersi Baharu Perak FC 2023 di Stadium Perak Ipoh hari ini.

--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA


Hadi Fayyadh diperkenalkan sebagai penyerang Perak FC. — Bernama

Bahkan dia boleh bergandingan dengan Hadi Fayyadh Abdul Razak yang sudah diperkenalkan skuad Seladang sebagai penyerang terbaharu mereka.

Jika tidak ke Perak FC, skuad The Red Warriors juga boleh mendapatkan khidmat Luqman Hakim. Kemampuan dan kelajuan yang dimiliki pemain muda sebagai penyerang mampu menambah baik jentera pasukan yang bakal menempa nama di Liga Super musim ini.

Ramai peminat bola sepak tempatan beranggapan kelab The Bos Gaurus dan Kelantan FC boleh menjadi destinasi Luqman Hakim menyelamatkan kariernya daripada disia-siakan begitu sahaja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram