Hadi Fayyadh akui 2 faktor utama sertai Perak FC


  • Podium
  • Jumaat, 13 Jan 2023

Hadi Fayyadh akhirnya menjadi milik Perak FC.

BEKAS penyerang skuad Harimau Muda, Hadi Fayyadh Abdul Razak, yang beraksi di Liga Jepun (J-League) selama tiga musim sejak 2019, ibarat sirih pulang ke ganggang apabila menyertai negeri kelahirannya bagi menghadapi kempen Liga Super 2023.

Hadi Fayyadh, 22, bekas penyerang pasukan Azul Claro Numazu dalam divisyen tiga J-League, itu mengikat kontrak selama dua tahun dengan pilihan setahun bersama Perak FC.

Namun perpindahan itu bukan usaha yang mudah memandangkan Perak FC sudah merancang sejak tahun lepas.

Perkara itu diakui sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin pada sidang media pengumuman jersi baharu pasukan itu pada Jumaat.

"Proses untuk memujuk beliau (Hadi) untuk menyertai Perak mengambil masa yang lama sebelum pemain kelahiran Ulu Bernam (Perak) itu bersetuju pulang ke tanah air daripada kelab Jepun.

"Hadi Fayyadh kita cuba tidak dapat pada awalnya sebelum ini namun akhirnya rezeki dia setuju datang ke Perak dan kita harapkan beliau dapat perkuatkan jentera serangan kita dan mampu memberi impak kepada pasukan,” katanya menerusi siaran langsung di media sosial Perak FC.

Bagi Hadi Fayyadh sendiri, dia akui amat teruja menyarung jersi Perak FC di bawah kendalian Lim Teong Kim dan menyifatkan penyertaannya ke kelab itu ibarat sirih pulang ke gagang.

"Perak sentiasa berada di hati saya, saya lahir dan membesar di sini jadi harapan saya musim 2023 akan menjadi detik istimewa bagi membantu Perak kembali menyinar di pentas saingan domestik.

"Sudah pasti saya bangga dan gembira kerana berpeluang menggalas tanggungjawab ini, apatah lagi pasukan ini antara pasukan yang digeruni malah saya percaya Perak mampu memberi cabaran kepada pasukan lain di Liga Super kelak," katanya.

Malah Hadi Fayyadh juga mengakui Teong Kim dan Bobie menjadi faktor dia bersetuju untuk menyertai Perak FC bagi memastikan pasukan itu kembali ke era kegemilangan yang pernah dicapai sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram