KEPUTUSAN pemain tengah, Lee Tuck untuk menyertai Kedah Darul Aman (KDA) FC membangkitkan api kemarahan penyokong Tok Gajah yang rasa dikhianati olehnya.
Hal itu adalah kerana pihak pengurusan Sri Pahang FC sudah membantunya mendapatkan status naturalisasi yang membolehkannya diturunkan dalam skuad Harimau Malaya.
Lebih teruk lagi, keputusan untuk berhijrah ke Utara tanah air difahamkan berpunca daripada permintaan gaji terlalu tinggi dengan laporan menyebut Lee Tuck mahu RM114,000 sebulan.
Bagaimanapun, dengan persiapan sedang dilakukan untuk musim 2023, Sri Pahang FC pasti mahu memberi sepenuh perhatian terhadap barisan pemain yang dimiliki.
Ketika ini, empat pemain sudah berjaya dibawa masuk, iaitu Fadhli Shas, Azrif Nasrulhaq, Syazwan Andik dan Ilham Tarmizi dengan kesemua mereka semakin disisihkan di Johor Darul Takzim (JDT).
Lee Tuck memilih untuk menyertai KDA FC selepas tidak menyambung kontrak bersama Sri Pahang FC. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Meskipun angka tersebut dilihat mencukupi untuk menggantikan pemain yang meninggalkan pasukan, pengganti bersesuaian kepada Lee Tuck pasti menjadi agenda utama pihak pengurusan.
Hal tersebut adalah kerana pemain kelahiran England itu cukup penting buat skuad Tok Gajah sejak menyertai pasukan itu pada 2021 dengan larian serta hantarannya yang sangat berkualiti.
Meskipun dia tidak dapat diturunkan dalam saingan Liga Super yang lalu, kelibatnya masih dapat disaksikan ketika aksi Piala Malaysia bertemu Terengganu FC dengan penyokong cukup berpuas hati akan kebolehannya.
Melihat kepada situasi bola sepak tanah air ketika ini, ia bukanlah satu perkara yang mudah untuk menggantikan Lee Tuck dengan pengalaman dan kemampuannya setiap kali beraksi.
Bagaimanapun, terdapat tiga pemain tengah yang dilepaskan kelab masing-masing dengan mempunyai kualiti tersendiri dalam usaha membantu mengubati kerinduan Sri Pahang FC terhadap Lee Tuck musim depan.
1. Petrus Shitembi (Terengganu FC)
Selepas berjaya melayakkan diri ke Piala AFC 2023, Terengganu FC gagal untuk mengekalkan hampir keseluruhan daripada tulang belakang pasukan termasuk pemain dan staf kejurulatihan.
Ketua jurulatih, Nafuzi Zain menjadi watak utama yang meninggalkan skuad Sang Penyu selepas laporan menyebut terhadap konflik antaranya dengan pihak pengurusan.
Selain itu, Terengganu FC juga kehilangan tonggak pasukan termasuk beberapa import, termasuk pemain tengah kelahiran Namibia, Petrus Shitembi.
Dalam saingan Liga Super musim lalu, pemain tersebut muncul sebagai antara watak penting apabila dia diturunkan sebanyak 14 kali dengan 10 bantuan gol berjaya direkodkan.
Hal itu membuktikan bahawa dia mempunyai kualiti untuk menyuntik perbezaan kepada mana-mana pasukan dengan kemahiran untuk melakukan hantaran tepat kepada rakan sepasukan.
10 bantuan gol berjaya dihasilkan Shitembi dalam 14 penampilan Liga Super. — Facebook/Terengganu FC
Bagaimanapun, dengan ketua jurulatih baharu Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner berasakan Shitembi tidak berada dalam perancangannya, sekali gus dibenarkan untuk meninggalkan pasukan.
Ketika ini, tiada khabar angin yang menyebut mana-mana kelab Liga Malaysia bersedia untuk mendapatkan khidmatnya apabila dia sudah berusia 30 tahun.
Jadi, dengan Sri Pahang FC melihat untuk mencari pengganti kepada Lee Tuck, bekas pemain Sabah FC itu boleh menjadi pilihan dengan dia mempunyai kemahiran tersendiri di hadapan pintu gol lawan.
Tetapi, adakah pihak pengurusan Tok Gajah akan terbuka untuk membawanya ke Stadium Darul Makmur musim depan dengan tahap kecergasannya akan merosot pada masa akan datang.
2. Mahmoud Al-Mardi (Kedah Darul Aman FC)
Perancang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mahmoud Al-Mardi merupakan antara pemain terbaik dalam skuad yang sedikit bergelut dengan kepadatan jadual.
Meskipun hanya menyertai skuad Sang Kenari ketika jendela perpindahan kedua pada Jun 2022, pemain antarabangsa Jordan itu tidak menunggu lama untuk membuktikan kebolehannya.
Dalam 12 penampilan Liga Super, Al-Mardi berjaya mencetak lima gol peribadi di samping mencipta tujuh bantuan jaringan dalam membantu pasukan itu menduduki tangga kelapan.
Selain itu, dalam empat aksi Piala AFC, pemain itu turut meneruskan prestasi cemerlangnya apabila menjaringkan empat gol, termasuk jaringan hatrik ketika berdepan kelab Kemboja, Visakha FC.
Namun, kehadiran Nafuzi dalam pasukan mengubah nasib perancang tengah itu selepas dia digugurkan daripada skuad dengan digantikan bekas pemain Terengganu FC, Manuel Ott.
Ke manakah hala tuju Al-Mardi selepas tidak akan lagi bersama skuad Sang Kenari musim depan? — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Berdasarkan khabar angin ketika ini, Negeri Sembilan FC menjadi antara calon untuk mendapatkan Al-Mardi, namun tiada pengesahan daripada mana-mana pihak sejak pembukaan jendela perpindahan awal bulan lalu.
Tetapi, dengan Sri Pahang FC masih berusaha untuk mendapatkan pemain tengah menyerang baharu, pemain berusia 29 tahun itu perlu diambil kira apabila memiliki kualiti yang tidak boleh dipandang rendah.
Sekiranya Lee Tuck dilihat sebagai satu ancaman ketika sepakan penjuru dan sepakan percuma, Al-Mardi boleh menggalas tanggungjawab berkenaan seperti mana yang dilakukan ketika bersama KDA FC.
Di samping itu, statistik jaringan dihasilkan jeneral tengah itu juga bukanlah sesuatu yang boleh dipandang rendah, lebih-lebih lagi apabila dia tidak perlu menunggu lama untuk menyesuaikan diri.
3. Wan Zack Haikal Wan Noor (Perak FC)
Kehadiran ketua jurulatih sensasi, Lim Teong Kim bersama Perak FC membawa perubahan ketara buat pasukan yang sebelum ini hanya memberi aura negatif kepada penyokong bola sepak tanah air.
Dalam sesi latihan ketika ini, pengendali kelahiran Melaka itu difahamkan cuba menanamkan semangat kepada anak-anak buahnya untuk terus subur dan membuktikan kebolehan masing-masing.
Selain itu, antara pendekatan lain yang dibuat Teong Kim adalah dengan memastikan pasukan itu dibarisi pemain muda yang bersesuaian dengan taktikal dipilihnya.
Sejak jendela perpindahan dibuka awal bulan lalu, Perak FC mengambil keputusan untuk menuruti kehendaknya dengan membawa masuk pemain muda, termasuk Ilham Aqil dan Harith Naem.
Namun, di sebalik aktiviti itu, pihak pengurusan juga terpaksa menyingkirkan beberapa nama yang dirasakan tidak berada dalam perancangan Teong Kim untuk musim depan.
Wan Zack tidak akan berkhidmat bersama Perak FC pada 2023. — Facebook/Perak Football Club
Antara pemain itu ialah pemain tengah, Wan Zack Haikal Wan Noor yang cukup dikenali dengan kemampuannya untuk menggelecek bola serta melakukan larian deras.
Meskipun usianya sudah mencecah 31 tahun, pengalaman yang dimiliki ketika bersama kelab Jepun, FC Ryukyu perlu diberikan perhatian dengan ia boleh memberi kelebihan kepada pasukan.
Jadi, dengan dia tidak berada bersama mana-mana pasukan ketika ini, Sri Pahang FC boleh mengambil keputusan untuk mendapatkannya, apatah lagi dengan statusnya sebagai anak jati Maran, Pahang.
Walaupun hanya berjaya menjaringkan dua gol dalam tujuh penampilan Liga Perdana musim lepas, Wan Zack masih mampu memberi kelebihan Sri Pahang yang memerlukan seorang pemain tengah berkaliber.
Persoalannya, adakah pemain itu mampu mendapatkan semula tahap kecergasannya selepas pernah dilanda kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) sebanyak dua kali. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram