Status naturalisasi Lee Tuck boleh terbatal


  • Podium
  • Sabtu, 31 Dis 2022

Lee Tuck bukan orang asing di sisi pengendali KDA FC, Nafuzi Zain kerana kedua-duanya pernah bekerjasama di Terengganu FC dari 2018 hingga 2020. — Facebook/ TFC

NAMA tonggak naturalisasi negara, Lee Andrew Tuck menjadi bualan hangat penyokong bola sepak tempatan sejak kebelakangan ini berikutan keputusannya mengucapkan selamat tinggal kepada Sri Pahang FC.

Selepas seminggu pengumuman tersebut dibuat, pemain kelahiran Halifax, England itu diperkenalkan sebagai pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) musim depan.

Lee Tuck yang diikat selama setahun bersama skuad Sang Kenari mengisi slot kuota pemain tempatan terakhir pasukan Hijau Kuning bagi musim 2023.

Ternyata perkhabaran itu tidak menggembirakan penyokong skuad Tok Gajah yang berpendapat pemain itu seolah-olah tidak menghargai pihak pengurusan Sri Pahang FC yang membantu mendapatkan taraf naturalisasinya pada 31 Ogos lalu.

320695911_869008044526943_6334556388138320495_n

Lee Tuck melakukan debut bersama skuad Harimau Malaya selepas bergelar naturalisasi pada 31 Ogos lalu. — Facebook

Laman Facebook Hogoh Pahang Hogoh turut melahirkan rasa kecewa dengan menganggap Tuck sebagai pemain yang tidak mengenang budi.

Malah, laman Facebook penyokong itu berharap Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dapat berbuat sesuatu terhadap Lee Tuck.

"Sila aktifkan semula klausa lima tahun selepas naturalisasi barulah boleh bermain Liga Malaysia ke atas Lee Tuck.

"Ini kerana rayuan kebenaran bermain semasa kejohanan Piala Malaysia dibuat oleh Sri Pahang dan hanya untuk pemain naturalisasi Tok Gajah, bukan dari pasukan baharunya.

"Pembaharuan rayuan oleh pasukan yang punyai pemain yang baru dinaturalisasi atas tiket kelab diwakili adalah sebagai langkah kawalan dan syarat rukun kesetiaan," katanya.

PUTRAJAYA 06 NOVEMBER 2019. Ketua Penolong Setiausaha Kanan Unit Sukan Bahagian Perancangan dan Penyelarasan Dasar Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr Pekan Ramli pada sidang media Kejohanan Silat Antarabangsa dan Kejuaraan Silat Seni Asli Terbuka Edisi Ke-10, di Kementerian Pendidikan Putrajaya. NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR.

Pekan berkata, MFL boleh mengambil tindakan dan meletakkan syarat-syarat lebih ketat sebelum meluluskan pemain naturalisasi bagi mengelakkan ia dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

Mengulas mengenai perkara tersebut, penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan situasi membabitkan Lee Tuck, Sri Pahang FC dan KDA FC itu menimbulkan persoalan berbangkit tentang isu naturalisasi yang perlu dirungkaikan.

"Kena tengok balik pertamanya, siapa atau pihak manakah yang memohon untuk menaturalisasikan pemain tersebut? Kedua, selepas proses itu berjaya, adakah pemohon itu (pasukan atau kelab atau negeri) mempunyai hak ke atas pemain itu?

"Ketiga, adakah terdapat syarat-syarat khusus yang mengikat atau hal berkaitan dengan 'bonding' antara pemohon dan pemain naturalisasi itu?

"Ini kerana pemohon boleh dianggap sebagai pemilik yang berhak ke atas pemain berkenaan yang sepatutnya menurut perintah, secara kontrak atau yang termaktub sebagai peraturan atau undang-undang yang perlu dituruti atau dipatuhi," katanya kepada Majoriti.

321370930_531042995738195_224116977264897021_n

Lee Tuck mengucapkan selamat tinggal kepada skuad Tok Gajah yang membantunya untuk memperoleh taraf naturalisasi pada 31 Ogos lalu.

Pekan berkata, sekiranya memang terdapat perkara-perkara seperti demikian, maka status naturalisasi pemain itu yang dimohon oleh kelab, persatuan atau negeri tersebut sepatutnya boleh terbatal.

Menurut beliau, dengan mengambil kira persoalan tersebut sambil merujuk kes Lee Tuck, permohonan baharu mungkin perlu dibuat oleh KDA FC untuk menaturalisasikan pemain tersebut.

"Jadi kena teliti semula persoalan yang timbul itu supaya tidak timbul isu berbangkit. Tapi jika tiada 'klausa-klausa' seumpama itu maka peraturan naturalisasi yang dimohon oleh kelab, persatuan atau negeri perlu diperkemaskan lagi pada masa depan.

"Ini bagi mengelakkan situasi 'orang lain yang susah payah berkebun, orang lain yang mencuri hasilnya' seperti apa yang berlaku dalam kes Lee Tuck," kata Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Justeru, Pekan berpendapat, dalam situasi yang menghimpit Sri Pahang FC, MFL dan pihak berkuasa berkaitan dirasakan boleh mengambil tindakan dan meletakkan syarat-syarat lebih ketat sebelum meluluskan pemain naturalisasi bagi mengelakkan ia dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

"Bagi saya kes Lee Tuck yang diusahakan untuk dinaturalisasi oleh Sri Pahang FC, tetapi sebaliknya disambar oleh KDA FC merupakan satu 'ralat' yang tidak sepatutnya berlaku kecuali jika Sri Pahang FC sendiri yang tidak lagi berminat dengan pemain tersebut," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram