REKRUT baharu Sri Pahang FC, Fadhli Shas menegaskan bahawa dia bertekad untuk mengembalikan semula reputasi serta maruah pasukan ke tahap terbaik untuk musim 2023.
Tegasnya, skuad Tok Gajah sememangnya memiliki ramuan yang mencukupi bagi memberikan saingan sengit kepada kelab-kelab lain setelah mengenal pasti barisan pemain yang bakal meningkatkan kualiti pasukan.
“Memang saya ada menerima beberapa tawaran lain tetapi akhirnya saya buat keputusan bersama Sri Pahang kerana yakin pasukan dilihat cukup serius untuk kembali bangkit menjadi pencabar.
“Saya teruja dengan perancangan pasukan dengan melihatkan kehadiran muka-muka baharu, saya rasa Sri Pahang mampu menjadi salah satu pencabar kejuaraan," katanya kepada MFL.
Fadhli yang pernah menyertai beberapa pasukan Liga Malaysia, termasuk Harimau Muda itu sebelum ini berkhidmat selama lapan musim bersama Johor Darul Takzim (JDT) iaitu sejak 2014 hingga 2021.
Fadhli merupakan antara pemain paling setia bersama skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Namun, bagi mendapatkan minit permainan musim lalu, pemain berusia 31 itu berkelana ke Melaka United FC dengan menjadi antara watak penting di sebalik kelab yang berdepan isu pengurusan itu.
Tambahnya, terdapat segelintir wajah-wajah yang pernah beraksi di sampingnya, sekali gus memudahkan usaha dalam menyesuaikan diri dalam suasana Sri Pahang FC.
“Malah, ada beberapa pemain di sini saya turut kenali seperti Muslim Ahmad, yang merupakan gandingan saya ketika memenangi pingat emas Sukan SEA dan Piala AFF,” katanya.
Ketika bersama skuad Hang Tuah, dia menjadi antara pilihan utama dalam pasukan apabila dari 22 perlawanan liga, Fadhli diturunkan sebanyak 15 kali dengan hanya satu daripadanya merupakan penampilan dari bangku simpanan.
Selain Fadhli, Sri Pahang turut mengumumkan tiga lagi pemain yang dibawa masuk dari JDT, iaitu penjaga gol skuad simpanan, Izham Tarmizi dan duo pertahanan sayap, Syazwan Andik serta Azrif Nasrulhaq.
Sementara itu, Fadhli berkata, dia berharap Sri Pahang mampu kembali melonjakkan kembali kariernya selepas melalui detik pahit bersama Melaka United musim lalu.
“Apa yang terjadi di Melaka musim lalu sememangnya satu pengalaman yang mahu segera dilupakan apabila kami berdepan krisis kewangan yang melemahkan semangat pasukan.
“Namun, hikmah buat saya ialah sekurang-kurangnya berjaya mendapatkan banyak minit permainan dan harap boleh kekalkan rentak sama apabila dengan Sri Pahang.
“Sudah tentu bersama Sri Pahang, saya harap boleh naikkan kembali karier sama seperti dahulu dan mana tahu, satu hari nanti saya boleh mengetuk kembali pintu dalam skuad kebangsaan,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram