Jodoh tak panjang, 'fans' Sabah FC doakan yang terbaik jika bintang pilih berhijrah ke NSFC


  • Podium
  • Khamis, 29 Dis 2022

Sabah FC sedang dalam usaha mempersiapkan pasukan untuk menghadapi cabaran musim depan. — Facebook/Sabah FC

KETIKA pertengahan musim Liga Malaysia yang lalu, Sabah FC mengejutkan ramai pihak selepas mengumumkan bahawa kontrak pemain sayap, Tommy Mawat Bada dibatalkan serta merta.

Hal itu sememangnya menimbulkan pelbagai tanda tanya dalam kalangan penyokong dengan pemain tersebut merupakan antara wajah penting dalam usaha pasukan tersebut untuk layak ke Piala AFC 2023.

Meskipun tiada sebarang kenyataan rasmi daripada kelab Borneo itu, pelbagai khabar angin menyebut bahawa situasi itu berlaku berikutan isu displin pemain tersebut.

Sehingga kini, Tommy tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas ramai pihak berasakan ia merupakan satu perjudian yang besar untuk mendapatkannya.

Namun, berdasarkan tinjauan di media sosial, timbul pula khabar angin yang menyatakan pemain kelahiran Belaga, Sarawak itu mula dirisik sebuah kelab Liga Super.

318338424_695580052179249_1216533369474420903_n

Tommy dilepaskan Sabah FC berikutan isu disiplin di luar padang. Agensi

Bagaimanapun, identiti kelab tersebut masih tidak disahkan bagi menghormati keputusan kesemua pihak walaupun ada yang menyatakan pasukan itu ialah Negeri Sembilan FC.

Musim lepas, skuad Jang merekodkan satu tahun yang cukup bermakna apabila menamatkan saingan liga di kedudukan keempat di samping meneruskan kemaraan ke suku akhir Piala Malaysia.

Kejayaan itu difahamkan berpunca daripada ketegasan ketua jurulatih, K Devan di samping keserasian barisan pemain yang menampilkan wajah-wajah muda serta senior.

Tetapi, melihat kepada kualiti skuad untuk tahun-tahun akan datang, penambahan baharu adalah sangat diperlukan sekiranya mereka berhasrat untuk mengulangi prestasi kali ini, lebih-lebih lagi dari segi serangan.

Jadi, tidak timbul sebarang persoalan jika pihak pengurusan Negeri Sembilan FC mula merisik khidmat Tommy bagi mempersiapkan skuad untuk musim 2023.

Berita itu sepertinya berjaya menarik perhatian penyokong skuad Jang serta Sang Badak yang bercita-cita untuk menyaksikan Tommy untuk kembali ke tahap terbaik.

"Pada saya, dia ini sememangnya cukup baik bermain sebagai penyerang sayap kiri, pasti tidak akan menyesal mana-mana pasukan yang berjaya mendapatkan dia. Semoga berjaya Tommy," kata Ronzy Bulating.

"Good luck Tommy di tempat baharu, mungkin tiada rezeki dan jodoh anda bersama Sabah FC kerana terlalu singkat. Apa-apa pun, semoga terus maju jaya," kata Karim Al-Maliki.

Ketika berada di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee, pemain berusia 27 tahun itu diberikan pelbagai tanggungjawab berbeza, termasuk beraksi sebagai pertahanan kiri.

Selain itu, ketika terikat dengan pasukan itu, dia diturunkan sebanyak 10 kali di samping berjaya merekodkan satu bantuan gol ketika bertemu Sri Pahang FC Jun lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram