'Ada udang di sebalik batu', sistem barter pemain JDT-Pahang ada makna tersirat?


  • Podium
  • Khamis, 29 Dis 2022

Syazwan (kiri) dan Fadhli Shas menjadi rekrut baharu untuk memperkukuhkan benteng pertahanan Tok Gajah. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

DALAM usaha memperkukuhkan lagi skuad musim depan, Sri Pahang FC mengumumkan kehadiran dua pemain baharu, Fadhli Shas dan Syazwan Andik yang dibawa masuk dari Johor Darul Takzim (JDT).

Kedua-dua pemain itu dilihat satu keputusan yang bijak selepas rekod pertahanan skuad Tok Gajah dilihat kurang memberangsangkan dalam saingan Liga Super 2022.

Dalam 22 perlawanan, pasukan tersebut dibolosi sebanyak 31 kali yang menyebabkan mereka menduduki tangga keenam dengan hanya 28 mata berjaya dibawa pulang.

Selain itu, masalah dari segi individu dapat disaksikan dalam setiap pertembungan, terutamanya duo bek tengah, Muslim Ahmad dan Ashar Al Aafiz yang kerap merugikan pasukan.

Oleh itu, keputusan untuk menyambar khidmat Fadhli dan Syazwan sewajarnya diberikan pujian, lebih-lebih lagi dengan Sri Pahang dikatakan mula memasang cita-cita tinggi untuk berada di platform terbaik tahun depan.

Baru-baru ini, khabar angin turut menyebut beberapa pemain lagi bakal diperkenalkan sebagai rekrut baharu skuad Tok Gajah, iaitu penjaga gol, Izham Tarmizi dan pertahanan kanan, Azrif Nasrulhaq.

Menariknya, kedua-dua pemain tersebut ketika ini masih berada di JDT meskipun mereka boleh dikatakan sebagai antara wajah-wajah yang kian dilupakan dalam skuad Harimau Selatan.

Walaupun ia dilihat sebagai satu langkah untuk memperkukuhkan lagi benteng pertahanan, timbul tanda tanya dalam kalangan penyokong bola sepak Sri Pahang mengenai ura-ura tersebut.

Hal tersebut adalah kerana juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu dilihat terlalu mudah untuk melepaskan pemain mereka ke kelab Pantai Timur itu.

Bagi seorang penyokong bola sepak tempatan, Mohd Azrul Othman, dia berpendapat 'sikap murah hati' JDT berpunca daripada harapan mereka untuk mendapatkan penyerang import Tok Gajah, Manuel Hidalgo.

1872421

Hidalgo dikatakan mula menarik minat JDT selepas musim yang sukses bersama Sri Pahang FC.Facebook/Sri Pahang FC

"Itu sememangnya salah satu daripada perancangan awal mereka, beri empat tetapi ambil satu. Mereka seakan-akan tidak mengizinkan sekiranya ada mana-mana pasukan yang lebih hebat dari mereka," katanya.

Pendapat itu juga dirasakan Ternakan Ruminan yang juga kurang berpuas hati dengan pihak pengurusan Sri Pahang yang terbuka untuk mendapatkan seseorang yang sudah berusia.

"Mereka (JDT) hanya bagi sesiapa yang sudah tua, tetapi mereka ambil pemain yang muda," katanya.

Sebelum ini, kuat khabar angin mengatakan pemain berasal dari Argentina itu mula dirisik JDT selepas dikatakan sebagai antara pemain terbaik skuad Tok Gajah musim lepas.

Dalam 20 penampilan Liga Super, Hidalgo menjadi antara watak penting dalam pasukan dengan mencatatkan tujuh jaringan peribadi di samping melakukan 10 hantaran gol.

Bagaimanapun, sumber dalam sebelum ini mengatakan penyerang sayap lincah itu masih terikat bersama pasukannya untuk semusim lagi dengan Hidalgo juga difahamkan masih bersemangat untuk menabur bakti bersama Sri Pahang FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram