SELEPAS bermusim-musim berkhidmat bersama Johor Darul Takzim (JDT), pertahanan veteran, Fadhli Shas memilih untuk meninggalkan kelab Selatan tanah air itu pada jendela perpindahan kali ini.
Pemain yang pada musim lepas itu menyertai Melaka United FC secara pinjaman diumumkan bakal menyarung jersi Sri Pahang FC bagi menghidupkan semula kariernya.
Hal itu adalah kerana dia terlalu kerap disisihkan daripada pasukan utama sehingga menyaksikan pemain tersebut beraksi bersama JDT II di Liga Perdana pada 2021.
Selain itu, lambakan pemain pertahanan yang lebih muda dan berkualiti menyaksikan Fadhli berhijrah secara pinjaman ke skuad Hang Tuah bagi mendapatkan minit-minit permainan.
Oleh itu, dengan Sri Pahang juga berhasrat untuk menambah baik reputasi serta prestasi pasukan, pihak pengurusan mengambil keputusan untuk mendapatkan pemain kelahiran Lumut, Perak itu.
Bagaimanapun, melihat kepada ruangan komen di media sosial kelab, rata-rata penyokong seolah-olah tidak bergembira dengan kehadiran bekas tonggak Harimau Malaya itu.
Perkara itu dilihat berpunca daripada usia Fadhli yang sudah menjangkau 30-an dengan ramai melabel pemain itu sebagai 'kuda tua' di samping tidak akan memberi sebarang kelebihan buat skuad Tok Gajah.
Namun, terdapat tiga sebab yang perlu difahami penyokong bahawa kehadiran tonggak pertahanan tersebut bakal menyuntik perubahan buat Sri Pahang FC untuk tahun-tahun akan datang.
1. Kegoyahan benteng pertahanan Sri Pahang FC
Musim lalu, skuad Tok Gajah memiliki antara rekod pertahanan tercorot dalam Liga Super sejak beberapa tahun ini selepas dibolosi 31 kali dalam 22 perlawanan.
Rekod mengecewakan itu menyaksikan pasukan tersebut hanya perlu berpuas hati di tangga ketujuh dalam carta liga dengan 28 mata berjaya dikumpul sepanjang musim.
Oleh itu, kehadiran Fadhli Shas dirasakan mampu mengubah nasib benteng pertahanan pasukan yang terlalu mudah dirobek pihak lawan setiap kali beraksi.
Di samping boleh diturunkan di posisi tengah, dia juga kerap diberikan kepercayaan untuk beraksi sebagai pertahanan kanan seperti mana yang dilakukan bersama skuad Hang Tuah musim lepas.
Sri Pahang dilihat terlalu mudah untuk dibolosi dalam saingan Liga Super musim lalu. — Facebook/Sri Pahang FC
Keputusan untuk membawa masuk Fadhli juga wajar diberi pujian dengan pemain berkenaan masih boleh mengekalkan tahap kecergasannya dalam setiap perlawanan.
Ketika berkhidmat buat Melaka United, dia diturunkan sebanyak 16 kali dengan dua daripadanya berjaya memastikan gawang pasukan tidak dibolosi.
Pengalaman Fadhli sepanjang kariernya juga tidak boleh dipandang rendah apabila dia pernah memikul tanggungjawab sebagai antara bek tengah terbaik dimiliki skuad Harimau Malaya.
Jadi, keputusan pihak pengurusan untuk mendapatkan pemain veteran itu wajar dipuji, apatah lagi dengan skuad Tok Gajah pasti memasang hasrat untuk melupakan episod gelap musim 2022.
2. Semangat berpasukan
Selepas bertahun-tahun kerap disisihkan, Fadhli mengambil keputusan untuk meninggalkan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut walaupun memahami bahawa kejayaan yang diraih tidak dapat diulangi.
Perkara itu semestinya berpunca daripada keengganan pemain itu untuk terus memanaskan bangku simpanan atau diletakkan bersama pasukan simpanan.
Oleh itu, Fadhli dijangka akan terus memberikan persembahan terbaik bagi membuktikan bahawa dia masih boleh memberi sumbangan terbaik demi kelangsungan pasukan.
Tidak cukup dengan itu, reputasi yang dimiliki, baik dari peringkat kelab mahupun bersama skuad kebangsaan pasti membolehkannya untuk terus dihormati dalam kalangan pemain.
Fadhli pernah dilihat sebagai antara pertahanan terbaik dimiliki JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Berdasarkan pemerhatian skuad musim lepas, Sri Pahang FC kerap dibarisi pemain muda apabila tidak memiliki tonggak pasukan berikutan isu kecederaan serta beberapa masalah lain.
Kehadiran Fadhli dilihat mampu membawa perubahan, lebih-lebih lagi dari aspek mentaliti sekiranya pasukan tersebut bercita-cita untuk kembali berentap dalam kalangan pasukan Liga Super.
Persoalannya, adakah terdapat ruang kepada pemain berkenaan untuk mempamerkan kualiti kempimpinannya apabila terdapat beberapa pemain berpengaruh, termasuk kapten pasukan, Muslim Ahmad.
Selain itu, mampukah barisan kejurulatihan memberikannya minit-minit permainan yang dikehendaki apabila difahamkan skuad Tok Gajah bakal membawa beberapa wajah baharu?
3. Kerjasama bersama Fandi Ahmad & Dollah Salleh
Tidak boleh dinafikan bahawa kerjasama bersama ketua jurulatih mempunyai pengaruh besar di sebalik kemampuan seseorang pemain untuk membuktikan kebolehannya setiap kali beraksi.
Perkara itu pastinya dinilai Fadhli Shas sebelum mengambil keputusan menyertai Sri Pahang FC dengan pasukan itu ketika ini dibimbing dua jurulatih ternama, Fandi Ahmad dan Datuk Dollah Salleh.
Ketika berada di JDT, Fadhli pernah bekerjasama bersama Fandi yang ketika itu dilantik sebagai pengendali berikutan reputasinya dalam mengemudi beberapa pasukan dari Singapura.
Fandi (kiri) dan Dollah difahamkan akan kekal bersama Sri Pahang dengan peranan masing-masing. — Facebook/Sri Pahang FC
Oleh itu, kedua-dua mereka pastinya memahami akan kelebihan dan kekurangan masing-masing, sekali gus membolehkan juara Piala Malaysia empat kali tersebut untuk kembali ke persada liga.
Berdasarkan laporan tidak rasmi ketika ini, jawatan ketua jurulatih skuad Tok Gajah bakal diisi Fandi selepas dia hanya bergelar Penasihat Teknikal pada musim lepas.
Selain itu, Fadhli juga pernah berada di bawah bimbingan Dollah Salleh yang pernah menjadi ketua jurulatih skuad Harimau Malaya dari 2014 hingga 2015.
Pada tempoh itu, pemain berkenaan masih bergiat secara aktif bersama pasukan kebangsaan yang mana dia kerap diberi tanggungjawab bersama rakan sepasukan untuk mengawal benteng pertahanan.
Dollah difahamkan bakal kekal bersama Sri Pahang FC dengan khabar angin menyebut jurulatih berusia 59 tahun itu akan dilantik sebagai pengurus pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram