LIGA Super 2022 boleh dianggap sebagai 'mimpi ngeri' buat penyokong Penang FC selepas mereka menamatkan saingan di tangga tercorot dengan hanya dua kemenangan mampu dicatatkan.
Kejayaan pasukan Utara tanah air itu ketika tahun sebelumnya memberi cita-cita menggunung, apatah lagi dengan ketua jurulatih, Tomas Trucha mengesahkan dia akan kekal dengan jawatan tersebut.
Bagaimanapun, prestasi goyah pada awal musim menyaksikan pengendali kelahiran Republik Czech itu digugurkan untuk memberi ruang kepada legenda bola sepak tanah air, Datuk Zainal Abidin Hassan.
Malangnya, percaturan itu seakan-akan gagal untuk mengubah nasib pasukan walaupun pada awalnya skuad Harimau Kumbang mempamerkan perbezaan dari segi semangat dan persembahan di atas padang.
Perkara itu diburukkan dengan penyingkiran awal ketika kempen Piala Malaysia di tangan pasukan Liga Perdana, Kuching City FC, sekali gus mengundang lebih banyak kritikan daripada orang ramai.
Oleh itu, bagi memulihkan semula reputasi kelab, persediaan dan perancangan perlu dilakukan ketika jendela perpindahan dengan melakukan rombakan secara menyeluruh terhadap skuad sedia ada.
Langkah tersebut seakan-akan sudah dilakukan dengan beberapa tonggak pasukan disahkan tidak akan lagi bersama kelab, termasuk penyerang import, Lucas Silva dan penjaga gawang, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.
Soony dibawa masuk dengan status pemain import dari Lubnan. — Facebook/Penang FC
Bagaimanapun, bagi menggantikan pemergian pemain-pemain tersebut, pihak pengurusan melakukan pembelian bijak dengan membawa masuk wajah-wajah baharu.
Antaranya, dua bekas pemain Melaka United FC, Adriano Narcizo dan Giovane Gomes menjadi rekrut baharu dengan sentuhan mereka dipercayai boleh melonjakkan lagi kebolehan pasukan.
Selain itu, beberapa lagi nama-nama import turut berjaya disambar, termasuk penyerang sayap kelahiran Lubnan, Soony Saad dan pemain berdarah kacukan Jepun-Malaysia, Ryu Yamaguchi.
Kesemua pemain itu dilihat sesuai dengan perancangan ketua jurulatih akan datang, Manzoor Azwira Abd Wahid yang pernah memegang tampuk kejurulatihan ketika Penang FC berada di Liga Perdana 2020.
Oleh itu, semangat pastinya mula membara dalam segelintir penyokong skuad Harimau Kumbang yang berhasrat untuk melupakan episod tragedi kelab tersebut musim ini.
Bagaimanapun, timbul juga persoalan dalam kalangan mereka yang kurang yakin akan percaturan pasukan dengan ramai daripada mereka bersikap skeptikal terhadap kemampuan mereka.
Tetapi, bagi seorang penyokong tegar menerusi laman Facebook Penang Brotherhood, dia tidak mahu memasang cita-cita terlalu tinggi untuk kempen Liga Super akan datang.
"Pada saya, untuk jadi pasukan kecil sudah cukup kerana kalau kita mahu menyasarkan terlalu hebat agak susah. Jadi, untuk menduduki tangga ketujuh hingga ke-10 sudah mencukupi," katanya kepada Majoriti.
Laman Facebook tersebut sememangnya cukup dikenali dalam kalangan penyokong tegar bola sepak tempatan dengan luahan dan perkongsian daripada mereka sering mencerminkan pendirian majoriti daripada mereka.
Selain itu, akaun tersebut juga pernah mengeluarkan kenyataan mengenai isu pengurusan Penang FC sehingga berjaya menarik perhatian pihak pentadbiran yang hanya mampu membidas akan hal itu.
Dalam masa sama, ketika ditanya mengenai kemampuan Manzoor untuk membimbing pasukan, dia tidak mahu dibayangi pencapaian pengendali itu sebelum ini apabila ura-ura mengatakan hasratnya untuk membina pasukan berkualiti sering diberi halangan.
"Boleh untuk dia mengulangi kejayaan terdahulu jika dia dapat semua perkara yang dikehendakinya. Sekarang ni, ada beberapa pemain yang bukan mengikut acuan dia.
"Ini kerana pihak pengurusan mahu berjimat dan contohnya, Manzoor mahu mengekalkan Lucas tapi tidak dapat. Dengarnya, dia juga mahu ambil import dari Indonesia, itu pun tidak dapat lagi," katanya.
Manzoor dilantik sebagai ketua jurulatih Penang FC untuk musim 2023. — Facebook/Penang FC
Ketika bergelar ketua jurulatih Penang FC, Manzoor berjaya membawa pasukan itu ke divisyen teratas bola sepak tempatan meskipun ia merupakan pengalaman pertamanya dalam bidang tersebut.
Bagaimanapun, dia terpaksa melepaskan jawatan itu apabila pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menegaskan pengendali pasukan Liga Super perlu mempunyai lesen kejurulatihan Pro A.
Oleh itu, dengan dia sudah mendapatkan kelayakan itu pada pertengahan musim lalu, ia memberi ruang kepada jurulatih berusia 46 tahun tersebut untuk mengendalikan pasukan pada 2023.
Sementara itu, Penang Brotherhood turut berkata, ia adalah perkara yang sukar untuk menilai pemain-pemain baharu yang dibawa masuk dengan reputasi masing-masing sukar untuk diperhatikan.
"Berdasarkan rekod, kesemua import baharu tidak begitu memberangsangkan. Mungkin Adriano OK sikit, cuma Yamaguchi, Soony dan (Curt) Dizon tidak terlalu baik.
"Cuma, kita boleh tengok apabila liga bermula adakah mereka ini mampu membawa impak positif terhadap pasukan atau sebaliknya. Jadi, itu sebabnya kami melabel diri kami sebagai pasukan underdog," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram