KEMASUKAN pemain import di sesebuah pasukan sememangnya ditagih oleh peminat mahupun pengurusan kelab khususnya di bahagian serangan yang kian didominasi oleh kuota import.
Tanpa mengira soal negara mahupun kelab yang diwakili, keutamaan lebih tertumpu kepada skil serta kebolehan sesorang individu tersebut dalam mencatat nama sebagai penjaring bagi menjulang pasukan yang bakal diwakili.
Dalam pada itu, beberapa bintang dari benua Afrika Utara kian menyerlah kebelakangan ini seiring dengan kejayaan pasukan Maghribi yang tampil memberikan persembahan cukup cemerlang sehingga menjadi pasukan Afrika pertama yang berjaya menempah slot ke pusingan separuh akhir Piala Dunia.
Susulan itu, beberapa pemain skuad The Atlas Lions kian menjadi sebutan sehingga difahamkan banyak kelab gergasi Eropah semakin menunjukkan minat untuk merekrut bintang dari negara tersebut.
Tidak terkecuali, Kedah FC juga dikhabarkan sedang mengintai beberapa pemain dari Afrika Utara yang layak untuk mengemudi barisan serangan skuad Sang Kenari pada musim depan.
Berita itu disokong kuat selepas pemilik saham terbesar Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar di laman sosial peribadinya berkata, beliau sedang memantau seorang pemain Maghribi bagi memperkasa skuad Kenari.
Pemilik utama Kedah Darul Aman FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar. — Facebook/Kedah Darul Aman
Sementara itu, penyokong setia pasukan Kedah kian menunjukkan minat serta pelbagai spekulasi berhubung perkara tersebut dan antara nama yang disebut-sebut bakal mengemudi jentera serangan pasukan itu adalah Abderrazak Hamdallah.
Pemain berusia 32 tahun itu kini mewakili kelab Al Ittihad dan telah menjaringkan sebanyak empat gol dalam enam penampilannya bersama kelab terbabit.
Bertubuh sasa dan berketinggian 1.82 meter merupakan antara kepentingan utama bagi seseorang pemain import di Liga Malaysia dengan perkara itu menjadi penanda aras terhadap pemilihan pemain tersebut.
Selain itu, Abderrazak juga merupakan 'mesin gol' bagi kelab yang pernah diwakilinya sebelum ini, pemain ini pernah menyarung jersi beberapa pasukan terkemuka antaranya Al-Nassr FC, Al-Rayyan SC dan Guangzhou RF.
Pengalamannya beraksi di pentas antarabangsa dan juga di Piala Dunia 2022 Qatar baru-baru ini menjadi medan serta taruhan utama peminat yang mahukan pemain itu menjejak kaki ke bilik persalinan pemain musim depan.
Ewan SempoiShot berpendapat, isu pemain bukan keutamaan dan usia muda juga tidak menjanjikan sebarang kemenangan kepada pasukan.
"Yang penting berkualiti, kalau datang yang muda-muda tapi tahan bola pun tak reti baik tak payah," katanya.
"Berapa gol anda mahu, tunggu dan lihat sahaja musim depan," ujar Amirul Affendy.
Dalam pada itu, ada juga penyokong yang seolah-olah tidak percaya bahawa pengurusan Kedah mampu untuk mengikat pemain sensasi dari benua Afrika itu kerana umum mengetahui bahawa saham pemain dari negara tersebut kian melonjak selepas kejayaannya di Piala Dunia baru-baru ini.
"Bukan main harapan, sekali yang datang main nanti dari liga divisyen dua negara Afrika je, nak bayar dengan apa pemain itu nanti," jelas Fazly Ezwan.
"Aku takut indah khabar dari rupa sahaja, harap-harap tahun depan tak jadi macam itu la," tambah Abdul Ghani.
Bagaimanapun, setakat ini masih belum ada sebarang pengumuman rasmi dibuat pasukan Kedah dan Mohd Daud menjelaskan, keputusan untuk mendapatkan khidmat pemain itu perlu diteliti sebaik mungkin bagi memastikan pemain mampu memberi nilai tambah kepada pasukan.
Sekiranya skuad Hijau Kuning berjaya merekrut pemain import dari Maghribi, Kedah bakal mengikut jejak langkah Selangor, Penang dan Sri Pahang yang pernah membawa masuk bintang dari Afrika Utara itu ke Liga Malaysia (Liga M). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram