Dari Utara ke Pantai Timur, 'Klopp Malaysia' bakal beri cabaran Liga Super 2023


  • Podium
  • Sabtu, 31 Dis 2022

Trucha sebelum ini direhatkan daripada mengendali Penang FC. — Penang FC

SEJAK lebih dua minggu jendela perpindahan Liga Malaysia (Liga M) dibuka, beberapa pasukan dilihat sudah pun mengambil kata putus mendapatkan khidmat pemain baharu bagi menguatkan benteng masing-masing.

Bukan itu sahaja, ada di antara pasukan yang sudah menandatangani khidmat ketua jurulatih baharu bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan.

Ini termasuk Kedah Darul Aman (KDA) FC, yang terbuka hati menerima bekas ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain bagi mengemudi pasukan itu.

Terbaharu, Kelantan United FC mengikut jejak langkah Kedah apabila turut mendapatkan khidmat ketua jurulatih baharu.

Perkara itu diumumkan di laman Facebook pasukan tersebut, yang mana bekas ketua jurulatih Penang FC, Tomas Trucha secara rasmi dilantik untuk mengemudi Kelantan United FC bagi musim 2023.

April lalu, Penang FC mengambil keputusan untuk merehatkan jurulatih dari Republik Czech itu, berikutan prestasi kurang memberangsangkan dalam saingan Liga Super musim ini.

tomas

Aksi Trucha ketika mengendali Penang FC. — Penang FC

Menerusi penglibatan semula Trucha dalam kejurulatihan, faktor yang boleh diambil kira termasuk menjadikan skuad Kelantan United berwajah baharu dengan corak permainan berbeza.

Selain itu, Kelantan United juga dijangka kurang mendapat tekanan di bawah kendalian Trucha.

Hal ini berikutan beliau mungkin sudah mengambil iktibar atas prestasi kurang memuaskan ketika mengendalikan pasukan terdahulu, seterusnya mengubah corak permainan lebih baik.

Malah, pembabitan Trucha ke dalam skuad itu turut mendapat sokongan pihak pengurusan, yang semestinya mahukan Kelantan United maju selangkah dalam arena bola sepak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram