Nekad angkat kaki tinggalkan kelab, 5 pemain 'flop' musim ini bakal curi tumpuan tahun depan


  • Podium
  • Selasa, 27 Dis 2022

Penyingkiran beberapa pemain dari sesebuah pasukan itu tidak bermaksud mereka tidak mempunyai kualiti.

PENGHIJRAHAN pemain bola sepak profesional dari satu kelab ke pasukan lain merupakan perkara biasa dalam dunia sukan nombor satu ini terutamanya apabila musim baharu liga bakal bermula.

Malah, ia sudah menjadi adat dalam setiap pertandingan bola sepak sekiranya pemain dipancing oleh pasukan lawan dan antara sebab mereka berhijrah adalah tawaran gaji lumayan, inginkan cabaran baharu, memburu minit permainan serta ada juga disebabkan faktor jurulatih.

Menjelang musim baharu, terdapat beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) sudah mulai rancak dalam proses membina semula kelab dengan menyingkirkan tonggak yang disifatkan kurang memberi sumbangan dan membawa masuk pemain lebih berkualiti.

Penyingkiran beberapa pemain dari sesebuah pasukan itu tidak bermaksud mereka tidak mempunyai kualiti namun kadang kala berada dalam kelab yang 'salah' kerana tidak membantu dalam mengerah tenaga bagi mengetengahkan bakatnya.

Oleh itu, ada di antara pemain yang membuat keputusan untuk berhijrah demi mengembangkan lagi potensinya dan perkara itu sebenarnya membuahkan hasil apabila mereka lebih menyerlah bersama majikan baharu.

Justeru itu, Majoriti menyenaraikan lima pemain yang membuat keputusan tepat untuk angkat kaki dari pasukan dan bakal kembali menyinar pada musim depan;

1) Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew

WhatsApp Image 2022-12-26 at 20.29.15

Muhammad Jafri meninggalkan Penang FC selepas dua musim bersama skuad Harimau Kumbang. — Facebook/PenangFC

Pemain muda, Muhammad Jafri membuat keputusan untuk berhijrah ke Sabah FC bagi saingan musim depan selepas hanya sempat menabur bakti selama dua musim bersama skuad Harimau Kumbang.

Dua musim yang suram buat Muhammad Jafri bersama Penang FC apabila pada tahun pertamanya bersama skuad Harimau Kumbang, dia hanya tampil empat perlawanan bagi saingan Liga Super.

Pada musim 2022 pula, pemain berusia 25 tahun itu lebih banyak bermain di posisi pertahanan kanan bagi memburu minit permainan namun segalanya tidak membuahkan hasil di mata penyokong.

Dalam 17 penampilan, pemain kelahiran Butterworth, Pulau Pinang itu gagal memberi persembahan yang memuaskan di Pulau Pinang dan penghijrahannya turut mendapat restu penyokong skuad Haria Penang Haria.

Penghijrahan ke pasukan Sang Badak diramal akan mengembalikan zaman kegemilangan berikutan ia merupakan pertemuan semula bersama Datuk Ong Kim Swee apabila sebelum ini dia pernah bermain di bawah kendalian jurulatih tersebut ketika mewakili skuad muda Malaysia.

2) Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim

WhatsApp Image 2022-12-26 at 20.29.01

Nik Sharif bakal memperkukuhkan jentera serangan TFC pada musim depan. — Facebook/TFC

Bermula dengan hanya sebagai pemain pinjaman, pihak pengurusan Terengganu FC (TFC) membuat keputusan untuk mengikat Nik Sharif sebagai tonggak tetap skuad Penyu bagi menghadapi saingan musim 2023.

Pemain berusia 25 tahun itu dipinjamkan dari Selangor FC selama enam bulan pada jendela perpindahan kedua musim ini dan difahamkan Nik Sharif dikekalkan bersama TFC dengan jumlah bayaran yang tidak didedahkan.

Ibarat mendapat nafas baharu pada pertengahan Jun lalu apabila Nik Sharif mulai mendapat minit permainan bersama Terengganu jika dibandingkan bersama kelab lamanya, Selangor.

Meskipun dipinjamkan pada jendela perpindahan kedua, pemain sayap itu dapat tampil dalam 25 perlawanan Liga M dan menyumbangkan tiga gol serta lima hantaran bantuan jaringan buat TFC.

Oleh itu, keputusan untuk terus kekal berkhidmat di bumi Terengganu akan menjadikan Nik Sharif seorang pemain yang bernilai dan boleh menggantikan posisi tonggak sayap, Faisal Halim.

3) Hasnul Zaim

WhatsApp Image 2022-12-26 at 20.28.48

Hasnul (kiri) merupakan pemain dari skuad Piala Presiden Pahang. — Instagram/Hasnul

Nama bintang muda Sri Pahang, Hasnul Zaim menjadi bualan hangat penyokong skuad Tok Gajah kebelakangan ini berikutan dia berada dalam senarai pemain yang dilepaskan oleh kelab dan tidak akan bersama lagi pada saingan musim depan.

Keputusan Sri Pahang melepaskan pemain berusai 23 tahun itu menaikkan darah penyokong Tok Gajah kerana dia merupakan antara prospek besar untuk pasukan itu buat jangka masa panjang.

Meskipun tiada lagi pengumuman rasmi dari kelab Perak FC, namun nama Hasnul Zaim dilihat terselit dalam senarai pemain gantian skuad The Bos Gaurus sewaktu perlawanan persahabatan baru-baru ini.

Jika dilihat dari sudut positif, langkah yang dilakukan Hasnul adalah merupakan keputusan bijak bagi membantu tonggak pertahanan itu mendapat lebih minit permainan bersama Perak FC.

Bersama Sri Pahang, Hasnul hanya diturunkan dalam lapan perlawanan dan mengumpul sebanyak 273 minit permainan sahaja.

Di bawah bimbingan ketua jurulatih baharu Perak FC, Lim Teong Kim berkemungkinan akan membantu prospek tersebut mempunyai lebih banyak minit permainan dan menjadikannya seorang pemain pertahanan yang digeruni.

4) Azmeer Aris

WhatsApp Image 2022-12-26 at 20.28.37

Azmeer akan membantu menjaga benteng pertahanan Penang FC. — Facebook/PenangFC

'There's no place like home'. Itu adalah situasi yang boleh menggambarkan penghijrahan Azmeer Aris yang kembali ke Penang FC selepas memberikan khidmatnya bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC selama satu musim sahaja.

Beraksi dengan Kedah pada 2022, pemain berusia 23 tahun itu menjadi pilihan utama di bahagian pertahanan kiri dalam 11 perlawanan selain tujuh aksi diturunkan selaku pemain gantian pada sepanjang saingan Liga Malaysia.

Keputusannya untuk beraksi kembali ke kampung halaman mendapat respons positif daripada penyokong skaud Harimau Kumbang berikutan dia merupakan antara watak penting yang membawa Penang FC mengakhiri saingan di tangga ketiga Liga Super.

Dengan pengalamannya beraksi di peringkat tertinggi Piala AFC bersama Kedah dipercayai bakal menjadi taruhan Penang FC bagi mengembalikan pasukan tersebut menjadi sebuah kelab yang digeruni.

5) Safawi Rasid

WhatsApp Image 2022-12-26 at 20.29.28

Safawi kini sedang sibuk beraksi bersama Harimau Malaya bagi kempen Piala AFF 2022. — Instagram/Safawi

Memburu minit permainan antara fakto pemain sayap pasukan kebangsaan, Safawi Rasid membuat keputusan untuk meninggalkan seketika pasukan JDT dan berhijrah ke Liga Thailand, Ratchaburi FC secara pinjaman.

Bintang berusia 25 tahun itu sebelum ini pernah mendedahkan bahawa dia sudah tidak ingin memanaskan bangku simpanan dan menginginkan minit permainan yang lebih banyak bagi membantu dia menjadi pemain berkualiti.

Musim ini bersama skuad Harimau Selatan, Safawi tampil dalam 26 perlawanan dan mencetak enam gol serta empat hantaran bantuan jaringan, selain mengumpul sebanyak 631 minit permainan.

Pengalaman Safawi beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) dengan JDT juga boleh membantu kelab kelab berpangkalan di Thailand itu.

Dengan penghijrahan ke Ratchaburi FC, penyokong bola sepak tanah air berkesempatan untuk melihat semula Safawi 'comeback' dan menjadi pemain paling diseganai dan bernilai tanah air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram