PASUKAN tercorot Liga Super 2022, Penang FC dilihat bergiat aktif sejak pembukaan jendela perpindahan dengan melakukan rombakan terhadap skuad yang dirasakan kurang menyengat.
Jika sebelum ini mereka giat menyingkirkan beberapa tonggak pasukan, skuad Harimau Kumbang kini memberi tumpuan sepenuhnya untuk membawa masuk wajah-wajah baharu.
Bekas penyerang Melaka United, Giovane Gomes dibawa masuk bagi mengetuai jentera serangan pasukan selepas mereka kehilangan khidmat pemain kelahiran Brazil, Lucas Silva.
Sementara itu, bagi memperkuatkan posisi di tengah padang pula, pihak pengurusan memilih untuk membawa masuk tonggak Kuala Lumpur (KL) City FC, Hadin Azman serta Nik Akif Syahiran Nik Mat dari Terengganu FC.
Bagaimanapun, ketika ini, khabar angin terus bertiup kencang apabila mereka dikhabarkan mula merisik khidmat pertahanan tengah kebangsaan Myanmar, Zaw Min Tun.
Min Tun (no. 3) pernah beraksi menentang skuad kebangsaan ketika Piala AFF 2018. — Agensi
Dia yang pernah menjadi antara pemain terbaik di rantau Asia Tenggara berjaya mengumpul sebanyak 75 penampilan bersama negaranya, termasuk diberi kepercayaan untuk memakai lilitan kapten.
Namun, pada pertengahan tahun lalu, pemain berketinggian 1.85m itu memilih untuk bersara dari bola sepak antarabangsa berikutan usianya yang sudah mencecah 30-an.
Berdasarkan perkongsian dari laman sesawang transfermarkt.com, Min Tun tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas kontraknya bersama kelab Thailand, Chonburi FC.
Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Penang FC berminat dan bersedia untuk mendapatkan tandatangan pemain tersebut bagi membolehkan barisan kejurulatihan menggandingkannya bersama kapten skuad, Rafael Vitor.
Penang bakal berwajah baharu untuk musim 2023 selepas melakukan rombakan terhadap skuad. — Facebook/Penang FC
Melihat kepada komen yang dikongsikan di laman media sosial, majoriti penyokong berasakan langkah tersebut adalah relevan walaupun sedikit gusar dengan kemampuan pihak pengurusan untuk menanggung gaji pemain.
"Semakin laku nampaknya jersi Penang musim depan, penyokong pun pasti akan bertambah di stadium dalam setiap perlawanan," kata Mohd Fahmi.
"Penuhlah rasanya stadium untuk musim depan, memang bagus dari segi pemasaran jika dapatkan dia ni," kata Hanarizal Hana.
"Dia ni padu, corak permainan keras dan dari segi pemasaran pula, tentu Penang FC mahu menarik minat penyokong Myanmar untuk turun ke Stadium Bandaraya," kata Mohd Fairuz Ramli.
Musim depan, pasukan yang berada di bawah kendalian Manzoor Azwira Abd Rahim itu pasti berhasrat untuk melupakan episod ngeri tahun ini selepas berbelanja dengan cukup mewah setakat ini.
Bagaimanapun, dengan cabaran yang semakin besar berikutan pertambahan pasukan, langkah untuk membawa masuk rekrut baharu sewajarnya diberi perhatian dalam usaha mereka mengekalkan tahap kecergasan pemain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram