'Lord Penang sah ke Sabah, fans sedia beri lebih masa supaya tak jadi macam Embalo'


  • Podium
  • Isnin, 26 Dis 2022

Sebahagian besar penyokong rela memberikan lebih masa buat Jafri untuk membuktikan kemampuan sebenar bersama Sang Badak. — Penang FC

PEMAIN muda berusia 25 tahun yang juga bekas penyerang Harimau Muda dan Penang FC, Jafri Firdaus Chew akhirnya disahkan bakal beraksi untuk Sabah FC musim depan.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee nampaknya mula merancang untuk mendapatkan pemain terbaik untuk mengharungi Piala AFC musim depan.

Selepas berjaya mendapatkan khidmat Darren Lok dan Irfan Zakaria, Kim Swee terus mencari pemain baharu untuk pasukannya.

Jafri bukanlah calang-calang pemain kerana pernah beraksi sebagai pemain Harimau Muda dan berjaya membantu pasukannya memenangi pingat perak dalam Sukan SEA 2017.

WhatsApp Image 2022-12-25 at 7.02.47 PM

Jafri sewaktu berasi untuk Harimau Muda B.

Selain itu, Jafri boleh beraksi di posisi serangan dan pertahanan kanan, sekali gus memberi banyak pilihan kepada Sang Badak.

Malah, kehadiran Jafri juga dilihat sebagi backup striker kepada Darren. Namun, gelaran 'Lord' itu dilihat menghantui penyokong Sabah disebabkan prestasi tidak menentunya bersama Penang FC.

Jangan jadi macam Embalo

Mengimbas kembali musim lalu, penyerang import Sabah FC, Jose Embalo yang menjadi harapan pasukan nampaknya tidak mencapai level yang dimahukan penyokong.

Selepas dikecam dek kerana prestasi tidak menentu, Embalo akhirnya dilaporkan memilih untuk meninggalkan Sang Badak atas persetujuan bersama.

Rasa trauma itu masih menyelubungi sebahagian penyokong Sabah FC bila Jafri yang juga digelar sebagai 'Lord' dipilih bersama pasukan itu.

jose-embalo

Ramai penyokong tidak berpuas hati dengan prestasi Embalo pada musim lalu.

Prestasi tidak menentu dan sering dilanda kecederaan membuatkan penyokong menganggap bahawa Jafri bukanlah pilihan yang terbaik.

Namun, ada juga yang masih menyimpan harapan terhadap Jafri kerana yakin pemain itu akan memberi yang terbaik bila beraksi di bawah Kim Swee yang pernah menjadi sifunya ketika bersama Harimau Muda.

Seorang penyokong Sabah, Ash Lee berharap supaya sesiapa sahaja pemain yang dipilih Sabah FC diberi sokongan yang padu.

"Ramai pemain yang dipilih sebelum ini sering dianggap gagal, pemain buangan, pilihan yang sia-sia disebabkan faktor kecederaan dan jarang bermain.

"Tetapi musim ini nampak mereka main dengan sepenuh hati untuk Sabah FC dan berjaya menemui rentak sehingga layak ke AFC.

"Sesiapa pun pemain yang ditandatangani Sabah FC, kita harus sokongan dan beri kepercayaan. Jangan jadi bangsa final dan lalang," katanya.

Seorang lagi penyokong, Harry Dulakim berkata, Kim Swee pasti nampak sesuatu pada Jafri hingga dipilih bersama Sabah FC musim depan.

"Kita percaya dan yakin sahaja dengan percaturan Kim Swee. Tahun depan sangat mencabar buat Sang Badak sebab kita akan bermain di peringkat yang lebih tinggi.

"Apa yang penting ialah kita terus beri sokongan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram