Selangor, Kelantan & Sabah boleh umpan permata Piala AFF 2022


  • Podium
  • Sabtu, 31 Dis 2022

Piala AFF menjadi medan untuk pemain menyerlahkan bakat bersama negara masing-masing. — Agensi

PIALA AFF yang diadakan setiap dua tahun merupakan kejohanan yang dianjurkan bagi membolehkan negara sekitar Asia Tenggara untuk berentap bagi menguji kemampuan masing-masing.

Sejak diperkenalkan pada 1996, beberapa pasukan sudah berjaya menjulang trofi itu, termasuk Thailand yang pernah memenanginya sebanyak enam edisi setakat ini.

Di samping menguji kemampuan skuad masing-masing, ia juga boleh menjadi platform kepada pemain untuk mempamerkan skil dan kepentingan buat negara masing-masing.

Bagi skuad Harimau Malaya, Piala AFF pernah menaikkan nama beberapa pemain ke tahap lebih tinggi, termasuk penyerang sensasi Safee Sali yang muncul sebagai penjaring terbanyak pada 2010.

Pada edisi kali ini pula, bintang baharu turut berjaya dikenal pasti dalam kesemua pasukan yang mengambil bahagian, sekali gus melonjakkan lagi reputasi mereka.

aff-2010-mohd-safee-saili-firman-utina-malaysia-indonesia_1muzllca6pg431ofww9wam3qzt

Prestasi cemerlang Safee (kanan) dalam kempen Piala AFF 2010 menjulang namanya. Agensi

Antara pemain yang mula membuktikan kelebihan tersendiri dalam skuad kebangsaan ialah penyerang sayap, Faisal Halim yang semakin mencuri perhatian penyokong bola sepak tempatan.

Namun, melihat kepada landskap lebih besar, terdapat pemain dari negara lain yang semakin menyerlah dalam membantu negara masing-masing untuk mara ke peringkat seterusnya.

Malah, bersempena pembukaan jendela perpindahan Liga Super, kelab-kelab Liga Malaysia boleh mencuba untuk membawa masuk import baharu untuk mengisi slot Asean bagi musim akan datang.

Berdasarkan pemerhatian teliti, tiga pemain semakin menempa nama masing-masing dalam posisi tersendiri di samping sesuai untuk disambar khidmatnya bagi membantu pasukan dalam arena bola sepak tempatan.

1. Egy Maulana Vikri (Selangor FC)

Selepas tiga perlawanan dalam Kumpulan A, Indonesia berjaya mengumpul tujuh mata yang meletakkan mereka di kedudukan kedua di samping mampu menjaringkan 10 gol ketika ini.

Antara pemain terbaik dalam skuad Garuda ketika ini ialah pemain sayap, Egy Maulana Vikri yang berjaya menjaringkan dua gol ketika berdepan Kemboja dan Brunei.

Tambahan pula, kelincahan serta kemampuannya untuk menggelecek bola sememangnya wajar diberikan perhatian dengan dia mudah mencipta peluang kepada rakan sepasukan.

Baru-baru ini, pemain berusia 22 tahun itu mencuri perhatian peminat bola sepak tempatan dan Indonesia selepas kelab Slovakia, ViOn Zlate Moravce menamatkan kontraknya pada awal Disember lalu.

Hal itu pastinya membuka mata pelbagai kelab di rantau Asia Tenggara, termasuk beberapa pasukan Liga Malaysia yang mula berebut untuk mendapatkan khidmatnya.

egy-maulana-vikri-timnas-aff

Khabar angin menyebut Maulana terbuka untuk ke Selangor FC musim depan. Agensi

Berdasarkan khabar angin yang bertaburan di media sosial, Selangor difahamkan menjadi antara kelab berminat dalam menandatangani pemain itu walaupun baru sahaja mendapatkan khidmat penyerang sayap kebangsaan, Faisal Halim.

Malah, pada 2017, skuad Gergasi Merah pernah cuba untuk membawa bintang itu ke tanah air dengan bapa angkatnya, Subagja Suihan mengesahkan perkara tersebut.

Tetapi, dengan Maulana lebih berminat untuk berkelana di Eropah, perjanjian itu tidak pernah dimeterai dengan kedua-dua pihak membawa haluan masing-masing.

Namun, selepas pemain itu tidak lagi terikat dengan majikannya, terdapat kemungkinan bahawa Selangor FC bakal terbuka untuk mendapatkan khidmatnya semula.

Persoalannya, adakah juara Piala Malaysia 33 kali itu akan mampu memancing bakat seberang itu apabila beberapa pasukan di Indonesia turut berminat untuk membawanya pulang ke negara kelahirannya.

2. Maung Maung Lwin (Sabah FC)

Kejayaan Sabah FC untuk menduduki tangga ketiga Liga Super menyaksikan mereka layak ke pentas Asia buat pertama kali sejak 1995, sekali gus mendatangkan kegembiraan buat penyokong.

Menyedari akan cabaran yang bakal dihadapi musim depan, pihak pengurusan Sang Badak tidak menunggu lama untuk meningkatkan kualiti skuad dengan memperkenalkan beberapa wajah baharu.

Penyerang Petaling Jaya (PJ) City FC, Darren Lok menjadi rekrut baharu buat pasukan selepas pemain import, Jose Embalo disahkan tidak akan lagi bersama pasukan Borneo itu.

Bagi memperkukuhkan benteng pertahanan pula, Sabah FC memilih untuk membawa masuk pemenang Piala Malaysia 2021 bersama Kuala Lumpur (KL) City FC, Irfan Zakaria.

Tetapi, kejayaan untuk mendapatkan kedua-dua pemain itu dilihat masih tidak mencukupi, apatah lagi dengan peningkatan ketara perlawanan untuk 2023.

Match Action of the AFF Suzuki Cup 2016 on 23 November 2016. Photo by Stringer / Lagardere Sports

Maung Lwin (kiri) merupakan antara wajah penting buat Myanmar kali ini. Agensi

Antara posisi yang perlu ditambah baik ialah di posisi sayap apabila mereka musim lepas hanya memiliki Saddil Ramdani, Amri Yahyah dan Taiki Kagayama sebagai pilihan sesuai.

Jadi, untuk membaiki masalah itu, pemain kebangsaan Myanmar, Maung Maung Lwin boleh dibawa masuk selepas mempamerkan satu prestasi terbaik ketika kempen Piala AFF.

Meskipun gagal membawa negaranya mara ke peringkat kalah mati, pemain berusia 27 tahun itu masih merupakan antara watak penting selepas menyumbang tiga gol dalam empat penampilan.

Ini termasuk satu jaringan menerusi sepakan percuma pada minit-minit terakhir ketika berdepan Laos di laman sendiri yang membantu pasukan berkenaan membawa pulang satu mata.

Ketika ini, Maung Lwin masih berkhidmat bersama kelab Liga 1 Thailand, Lamphun Warriors dengan dia sudah mencatatkan lima gol dalam 27 penampilan.

3. Kittipong Phuthawchueak (Kelantan FC)

Antara kesemua pasukan yang sedang berentap dalam Piala AFF 2022, Thailand dan Vietnam memiliki antara rekod pertahanan terbaik dengan kedua-dua negara mahir menyekat pihak lawan.

Namun, kredit lebih perlu diberikan kepada skuad Gajah Perang apabila mereka sudah beraksi sebanyak tiga kali, termasuk pertembungan bersama gergasi Asia Tenggara, Indonesia.

Setakat ini, mereka hanya dibolosi sebanyak sekali, iaitu dari sepakan penalti pemain naturalisasi skuad Garuda, Marc Klok ketika mereka berkongsi satu mata.

Berdasarkan pemerhatian, kecemerlangan benteng pertahanan berpunca daripada keserasian antara pemain, namun perlu kebijaksanaan secara individu tidak boleh dipandang rendah.

Penjaga gol berpengalaman, Kittipong Phuthawchuek merupakan antara tonggak yang wajar diberi pujian apabila dia bijak membaca percubaan pihak lawan selain lantang dalam menyusun rakan sepasukan.

Ketika ini, khidmat pemain berusia 33 tahun itu masih ditagih di peringkat kelab dengan BG Pathum United sedang berusaha keras untuk layak ke Liga Juara-juara AFC (ACL) musim depan.

WhatsApp Image 2022-12-30 at 21.19.06

Kittipong masih mampu mempamerkan aksi terbaik walaupun usianya sudah mencecah 33 tahun. Instagram/kittipong_phuthawchuek

Dalam 15 penampilan Liga 1 Thailand, Kittipong masih mempamerkan aksi terbaik dengan memastikan gawangnya tidak dibolosi dalam empat perlawanan.

Namun, dengan BG Pathum hanya menduduki tangga kelima, penjaga gol itu berkemungkinan terpaksa melupakan hasrat untuk kekal bersama pasukan tersebut untuk semusim lagi.

Jadi, sekiranya dia memilih untuk berkelana ke liga luar untuk pertama kali dalam kariernya, Liga Super dilihat sebagai antara destinasi terbaik ketika ini.

Tambahan pula, Kelantan FC turut dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat penjaga gol baharu selepas mereka berjaya menempatkan diri dalam divisyen teratas bola sepak tempatan pada 2023.

Persoalannya, dengan Kittipong semakin menghampiri penghujung kariernya, adakah pihak pengurusan The Red Warriors (TRW) akan terbuka untuk mendapatkan khidmatnya? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram