Kehebatan Shamie Iszuan terserlah bersama HM, 5 kelab patut sambar khidmat anak jati Sarawak


  • Podium
  • Jumaat, 30 Dis 2022

Shamie Iszuan mempamerkan aksi cemerlang ketika mewakili negara dalam pertemuan menentang Laos di Piala AFF baru-baru ini.

TIDAK dinafikan, ketiadaan pemain Johor Darul Takzim (JDT) dalam skuad kebangsaan di Piala AFF sebenarnya merencatkan sedikit aksi Harimau Malaya (HM).

Namun, jika dilihat secara positif, perkara itu juga membuka ruang kepada pemain baharu untuk dipilih dan menampilkan aksi mewakili negara.

Seorang daripada pemain yang baru pertama kali dipanggil menyertai skuad kebangsaan ialah Shamie Iszuan Amin yang merupakan bekas pertahanan Sarawak United FC.

Menerusi perlawanan menentang Laos, pemain berusia 27 tahun ini mempamerkan aksi cemerlang di posisi bek kanan sehingga mencuri perhatian penyokong bola sepak tanah air.

Malah, dia juga seorang pemain yang sangat laju, rajin dan cukup bersemangat. Sayangnya, dia masih tidak mempunyai sebarang kelab dalam Liga Super musim depan.

Ini kerana Sarawak United yang berdepan isu gaji sudah digugurkan daripada Liga Super dengan kesemua pemain kini sudah dilepaskan.

Adakah bakat dan kemampuan Shamie Iszuan patut disia-siakan begitu sahaja? Berikut Majoriti senaraikan lima kelab yang boleh menggunakan khidmat pemain ini bagi mengharungi saingan Liga Super musim depan.

azrif_nasrulhaq_-_jdt

Azrif dipinjamkan JDT ke Sri Pahang.

Sri Pahang

Selepas aksi hambar dalam liga pada musim lalu, Sri Pahang nampaknya sudah mula merencanakan strategi baharu daripada segi pemilihan pemain untuk musim depan.

Selepas Fadhli Shas dan Izham Tarmizi Roslan, Tok Gajah turut mendapatkan khidmat Azrif Nasrulhaq, pemain di posisi sama seperti Shamie Iszuan.

Namun, dengan usianya yang sudah mencecah 31 tahun, Sri Pahang mungkin boleh mengambil Shamie Iszuan sebagai pemain gantian kepada Azrif yang dipinjamkan dari JDT itu.

1690117

Alto Linus tidak disambung kontrak bersama Sabah FC untuk musim depan.

Sabah FC

Kekosongan di bahagian bek kanan skuad Sabah FC tercetus selepas pemain senior, Alto Linus difahamkan tidak disambung kontrak dan ia mungkin boleh digantikan dengan Shamie Iszuan.

Trend pengambilan muda yang dilakukan Sang Badak oleh pengemudinya, Datuk Ong Kim Swee juga nampak sesuai jika Shamie Iszuan diperkenalkan bersama.

Apatah lagi dengan Sabah FC bakal beraksi dalam Piala AFC tahun depan serta jadual yang padat memerlukan seorang pemain muda dan bertenaga untuk berada dalam pasukan dengan kemampuan mengekalkan kecergasan sepanjang musim.

WhatsApp Image 2022-12-29 at 9.06.28 PM

Kamal Azizi antara pemain tunjang dalam KL City.

KL City

Kuala Lumpur (KL) City pada tahun lalu mempamerkan aksi cemerlang bukan sahaja dalam Liga Super, tetapi juga aksi di Piala AFC 2022.

Antara pemain yang cemerlang ialah Kamal Azizi yang cukup kental dengan corak permainan keras di bahagian pertahanan.

Shamie Iszuan dilihat boleh menjadi pemain sandaran kepada Kamal Azizi apatah lagi perlawanan Liga Super untuk musim depan akan bertambah daripada 22 perlawanan kepada 28 perlawanan.

WhatsApp Image 2022-12-29 at 9.07.27 PM

Kelantan FC melakukan rombakan pemain untuk saingan Liga Super musim depan.

Kelantan FC

Bakal beraksi dalam Liga Super, pemilik Kelantan FC yang dikenali dengan nama Boszam sudah menyatakan mereka akan melakukan rombakan kelab.

Musim lalu menyaksikan skuad The Red Warriors (TRW) memberi saingan sengit walaupun banyak menggunakan pemain baharu dan muda.

Shamie Iszuan mempunyai kualiti permainan yang baik dan pengalaman bersama skuad kebangsaan mampu menyuntik elemen tambahan kepada Kelantan FC.

1835503

Hafizal (kiri) akan bersama Perak FC untuk musim depan.

Terengganu FC

Terengganu FC (TFC) sebelum ini tidak menyambung khidmat pemain pertahanan mereka, Hafizal Alias yang kemudiannya disambar Perak FC.

Shamie Iszuan dilihat mampu menggantikan Hafizal Alias apatah lagi kedua-duanya masih lagi dalam lingkungan usia yang sama.

Selain itu, ketika ini TFC hanya memiliki seorang bek kanan dalam skuad utama iaitu Adib Zainudin yang juga boleh dikatakan antara tunjang utama pasukan musim lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram