HANYA beberapa bulan sahaja lagi, Liga Super Malaysia 2023 bakal membuka tirai dengan pelbagai tarikan serta tumpuan peminat semestinya ke arah beberapa muka baharu dan perpindahan pemain pada musim depan.
Jendela perpindahan pemain yang sedang berlangsung ketika ini kian hangat diperkatakan selepas beberapa nama mula mengorak langkah lebih jauh untuk bersama pasukan pilihan masing-masing.
Tidak ketinggalan, pengurusan pasukan juga giat mempersiapkan barisan terbaik bagi menghadapi saingan akan datang untuk merebut kejuaraan dengan mempertaruhkan muka-muka baharu.
Gelaran juara yang selama ini digenggam erat skuad Harimau Selatan, bakal disaingi kuat pasukan tempatan lain selepas beberapa pemain daripada pasukan itu turut beralih arah dan meninggalkan bilik persalinan kelab Johor Darul Takzim.
Namun, warganet di laman media baru-baru ini dikejutkan dengan hantaran instastory pemain pertahanan tengah pasukan JDT, Shahrul Saad yang memuat naik gambar pemandangan Stadium Perak dari jarak jauh.
Hantaran itu seakan-akan memberi bayangan bahawa pemain yang lebih mesra digelar 'Badak' itu sudah mula merindui untuk kembali menyarung jersi negeri kelahirannya, Perak FC.
Situasi tersebut nyata mengundang pelbagai spekulasi hangat dalam kalangan penyokong pasukan The Bos Gaurus yang sentiasa menantikan kepulangan pemain kebangsaan itu.
Hantaran instastory dimuat naik Shahrul Saad mencetuskan pelbagai persoalan dalam kalangan peminat. — Instagram/Shahrul Saad
Merupakan antara pemain berpengalaman yang pernah beraksi di peringkat antarabangsa bersama skuad kebangsaan, pemain berusia 29 tahun itu juga sering disenaraikan jurulatih Hector Bidoglio sebagai kesebelasan utama pada musim lepas.
Untuk rekod, Shahrul telah membuat sebanyak 20 penampilan pada musim lepas dan gandingannya bersama Matthiew Davies dan juga Shane Lowry merupakan antara ramuan terbaik jurulatih bagi mengekang asakan pasukan lawan.
Namun, persembahan cemerlang pemain itu mula terbentuk bersama pasukan Perak ketika di bawah jurulatih Mehmet Durakovic sebelum meneruskan karier bola sepaknya bersama pasukan Harimau Selatan pada penghujung musim 2021.
Komen di Facebook dipenuhi dengan kata-kata sokongan warganet yang rata-ratanya mahukan pemain itu kembali mewakili Perak.
"Mesin kelab Harimau Selatan dah nak balik kampung tu, mesti dia terkenang zaman kegemilangan dengan Perak," kata Izzuwan Izudin.
"Apa salahnya dia nak beraksi semula dengan negeri kelahirannya, dah cukup ilmu dengan JDT boleh la sarung balik jersi Perak," jelas Mohd Fariz.
"Hati tetap di Stadium Perak, siap sedia la tak lama lagi dia balik la tu," tambah Ilyasa92.
Ada berpendapat bahawa tidak mustahil sekiranya pemain itu kembali menyarung jersi Perak pada satu hari nanti dengan hantaran dimuat naik tersebut menguatkan lagi stigma penyokong berkaitan perpindahan Shahrul Saad.
Namun, perkara itu masih belum disahkan oleh mana-mana pihak setakat ini dengan Shahrul masih segar dengan kejayaannya apabila dinobatkan sebagai pertahanan terbaik di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram