SETIAP pasukan bola sepak di Malaysia ketika ini sedang sibuk mempersiapkan barisan terbaik bagi menghadapi saingan Liga Malaysia yang bakal membuka tirai tidak lama lagi.
Situasi itu boleh dilihat menerusi percaturan rapi yang sedang dilakukan setiap pengurusan ketika ini khususnya menjelang jendela perpindahan pemain yang sedang rancak berlaku sekarang.
Kemasukan pemain baharu ke sesebuah pasukan pastinya akan disambut baik oleh penyokong setia yang sentiasa dahagakan kemenangan.
Tidak hairanlah, kelab Kelantan FC merupakan antara yang sedang sibuk melakukan persiapan pemain apabila dikhabarkan bakal membuat rombakan besar-besaran pada musim depan susulan kenyataan yang dikeluarkan pemiliknya, Norizam Tukiman baru-baru berhubung kemasukan beberapa pemain baharu dalam pasukan itu.
"Surat tawaran tiga pemain baharu TRW dah ditandatangani. Seorang penyerang, seorang pertahanan dan seorang penjaga gol.
"Insya-ALLAH, ada tiga lagi pemain lokal yang akan tandatangan bersama TRW. Satu pemain import sudah tandatangan juga pada minggu lalu," katanya menerusi laman Facebook.
Sehubungan itu, antara tiga posisi tersebut, tumpuan warganet dilihat lebih terarah kepada penjaga gawang yang dikatakan mempunyai peranan terbesar dalam sesebuah pasukan.
Namun, ia masih lagi di peringkat awal dengan pengurusan Kelantan belum membuat sebarang pengumuman lanjut berkenaan identiti pemain.
TRW dikhabarkan akan membuat rombakan besar-besaran apabila hanya dua import dikekalkan untuk musim depan. — Facebook/TRW
Meskipun begitu, rata-rata peminat sudah berteka-teki tentang pemain yang bakal menggalas tanggungjawab di posisi itu pada musim depan dan di laman Facebook menyaksikan beberapa nama sudah mula meniti di bibir penyokong dengan majoriti memihak kepada penjaga gol Kedah FC, Shahril Saari.
Pemain kelahiran negeri Terengganu itu disebut-sebut sebagai individu yang bakal menggalas tugas sebagai penjaga gawang Kelantan susulan pengalaman dan prestasi memberangsangkan yang dipamerkan semasa mewakili KDA FC.
Pernah mewakili Kedah di peringkat tertinggi Asia dalam Kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC, pengalaman Shahril perlu diakui selepas berjaya membantu pasukan Sang Kenari untuk layak ke tahap itu.
Rata-rata berpendapat bahawa pemain berketinggian 1.78 meter itu merupakan calon paling sesuai bagi mengisi kekosongan di Kelantan pada musim depan.
Ahmed Radzi berpendapat, pengalaman luas dimiliki pemain itu merupakan taruhan utama buat Kelantan jika berita kemasukan itu sahih.
"Bagus la kalau Sharil ni main dengan Kelantan, kalau daripada segi pengalaman memang dia sangat luas sebab pernah bermain di ACL," katanya.
"Ini baru betul penjaga gol yang dicari, pernah bermain di ACL," tambah Leron Jannata.
"Kedah buat kerja dalam diam, sign dulu pemain kemudian baru buat pengumuman rasmi bila tiba masanya," jelas Nzm Onexox.
Sementara itu, Norizam dalam satu kenyataannya mendedahkan bahawa pihaknya telah mengenal pasti ketua jurulatih baharu buat TRW namun enggan mendedahkan identiti jurulatih tersebut sehingga masa sesuai.
Difahamkan, Rezal Zambery sah dilantik sebagai penolong ketua jurulatih pada musim depan namun posisi ketua jurulatih kini sedang dalam proses pemilihan terakhir sebelum pengumuman rasmi dibuat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram