ISU kelewatan gaji pemain merupakan antara masalah yang sering dihadapi beberapa pasukan di Malaysia dengan tumpuan terarah kepada nasib seseorang pemain itu apabila terpaksa berputih mata daripada menerima hak yang sepatutnya.
Hal itu terjadi pada pasukan Melaka United FC (MUFC) yang dikhabarkan gagal melangsaikan hutang gaji pemainnya selama hampir enam bulan.
Sebelum ini, Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menjelaskan pihaknya menerima aduan pada 8 Ogos lalu daripada 17 pemain MUFC membabitkan pembayaran gaji bagi Jun dan Julai serta baki bayaran Januari lalu.
Menurut PFAM jumlah tunggakan gaji sebelum ini dikatakan mencecah tiga bulan kerana pemain turut tidak menerima pembayaran gaji bagi Ogos.
Namun, isu tersebut tidak terhenti di situ sebaliknya terus berlarutan ke bulan seterusnya apabila salah seorang pemain pasukan tersebut membuat kenyataan berupa perlian di laman Instagram peribadinya baru-baru ini.
Pemain pertahanan Fauzan Mohd Fauzi nyata sudah tidak mampu menahan kesabarannya selepas meluahkan kekecewaan berkaitan isu tunggakan gaji enam bulan yang dihadapi.
Fauzan Fauzi meluahkan kekecewaannya terhadap pengurusan pasukan MUFC yang gagal membayar gaji selama enam bulan. — Instagram/Fauzan Fauzi
"Berapa hari lagi nak masuk tahun 2023 mana hak kami yang tertunggak enam bulan itu, sampai hari ini sentap sepi hawau.
"Kami nak tanggung keluarga tau sekarang ni nak buat apa-apa guna duit bukan sakau duit orang sibat.
"Apa jenis manusia la korang ni bila tunduk hormat kau macam binatang masing-masing layan kau nak apa sebenarnya. Nak suruh kami cium jubo (punggung) korang baru dapat hak kami," tulisnya di Instastory.
Kenyataannya itu sekali gus membongkarkan rahsia serta masalah dalaman pasukan itu selepas sekali lagi terpalit dengan isu tunggakan gaji sejak Ogos lalu.
Dalam pada itu, penyertaan Melaka United FC dalam saingan Liga Malaysia musim depan dibatalkan susulan isu tunggakan gaji yang tergantung tidak bertali hingga ke hari ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram