DALAM saingan Liga Super musim lalu, Petaling Jaya (PJ) City FC tidak pernah jemu daripada memberi persembahan terbaik kepada penyokong bola sepak tempatan.
Pasukan ini kerap mengejutkan pihak lawan dengan semangat dan kesungguhan sepanjang 90 minit permainan di samping kepintaran ketua jurulatih, P Maniam dalam aspek taktikal.
Namun, tidak semena-mena, pada pertengahan musim orang ramai dikejutkan dengan khabar mengenai skuad The Phoenix bakal dikuburkan.
Hal itu kerana pihak pengurusan gagal mendapatkan dana bagi mengelakkan pasukan Lembah Klang itu daripada terjerumus rentetan isu kewangan.
Perkara itu akhirnya diumumkan pemilik kelab, Datuk Seri Vijay Eswaran dalam sidang media pada November lalu, sekali gus menyebabkan ramai staf dan pemain meninggalkan pasukan itu.
Tetapi, kebelakangan ini, muncul satu lagi perkhabaran di media sosial yang mengatakan terdapat pihak luar berminat untuk membeli saham majoriti PJ City FC.
PJ City FC merupakan antara pasukan yang berjaya menambat hati penonton bola sepak tempatan. — Facebook/PJ City FC
Berita itu juga disusuli dengan khabar angin yang mengatakan skuad tersebut bakal dibimbing bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan, B Sathianathan.
Bagi merungkai perkara itu, Majoriti menghubungi pengendali berumur 64 tahun tersebut untuk mendapatkan komen dan perkongsiannya akan hal terbabit.
"Memang ada perbincangan, tetapi harus kita tahu yang pemilik baharu ini tentang mengambil alih pasukan melibatkan dana dan sebagainya. Hal itu pun kita mesti buat perbincangan.
"Kalau pemilik baharu ini mampu atau tidak, pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan mengawasi perkara-perkara sebegini kerana syarat semakin ketat," katanya kepada Majoriti.
Sebelum ini, PJ City FC difahamkan bakal diambil alih kelab Liga M3, Shah Alam City dengan pihak pengurusan kelab amatur itu sudah memulakan langkah di sebalik tabir.
Namun, setakat ini, pihak MFL masih tidak menerima apa-apa permohonan untuk menyertai Liga Super yang bakal berwajah baharu dengan pertambahan pasukan.
Dalam masa sama, ketika ditanya mengenai tawaran yang diberikan pihak pengurusan baharu The Phoenix, Sathianathan berkata, dia tertarik dengan visi yang dicadangkan setakat ini.
"Idea projek yang ditampilkan oleh pemilik baharu adalah sesuatu yang saya suka kerana perancangan itu akan dilaksanakan dalam tempoh dua ke tiga tahun.
"Mereka bukan sahaja mahu memberi tumpuan kepada liga utama, tetapi juga dalam pembangunan bola sepak dengan memberi izin kepada saya untuk kawalan penuh sehingga ke peringkat akar umbi," katanya.
Musim lepas, Sathianathan mengendalikan Sarawak United FC sehingga dinasihatkan untuk mengundur diri berikutan isu kesihatan oleh badan perubatan.
Bagaimanapun, dia sebelum ini menegaskan tahap kesihatannya sudah berada di tahap lebih baik, sekali gus membuka pintu buatnya kembali ke dunia kejurulatihan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram