IBARAT 'turun kelas', demikian situasi menggambarkan keadaan membabitkan pemain pertahanan skuad kebangsaan, Dion Cools yang dikhabarkan bakal beraksi dalam saingan Liga Thailand bagi saingan musim 2023.
Mana tidaknya, rata-rata penyokong bola sepak tanah air berasakan adalah satu kerugian jika Cools tidak lagi bermain di liga Eropah yang diketahui akan menjanjikan saingan lebih kompetitif dan pengalaman menarik.
Ketika ini, Cools beraksi bersama kelab Liga Republik Czech, FK Jablonec dan dia menampilkan prestasi baik bersama pasukan itu apabila sering diturunkan sebagai pemain utama.
Khabar angin itu bermula apabila salah satu laman sukan di Thailand iaitu One Man Show memaparkan gambar Cools pada Selasa sambil meletakkan caption “Selamat datang ke Thailand tidak lama lagi”.
Terbaharu, pasukan yang dikatakan akan menggunakan khidmat pemain warisan Malaysia-Belgium itu ialah kelab gergasi Thailand, Buriram United.
"Dion Cools bakal sertai Buriram United? Buriram juga akan beraksi di pentas AFC Champions League (Kumpulan) musim depa. Uish kalau betul ada empat pemain Malaysia yang akan bermain di Liga Thailand pada musim depan," tulis risingballers.my.
Termasuk Cools, tiga pemain yang dimaksudkan akan berkelana di Thailand ialah pemain sayap skuad kebangsaan, Safawi Rasid (Ratchaburi FC), bekas tonggak Petaling Jaya City FC dikatakan berada dalam radar BG Pathum United, Kogileswaran Raj dan Liridon Krasniqi kini sedang beraksi bersama Khin Kaen United.
Ada yang mendakwa, perpindahan Cools ke Thailand hanyalah sebuah persinggahan sebelum menyertai Johor Darul Takzim (JDT) berikutan sebelum ini dia dikaitkan dengan perpindahan ke skuad Harimau Selatan untuk beraksi di Liga Malaysia (Liga M) dalam saingan musim depan.
Malah tidak kurang juga ada yang menyamakan situasi yang dihadapi Cools itu adalah skrip sama berulang kerana sebelum ini pemain naturalisasi negara, Muhamadou Sumareh juga sempat berkelana di Thailand.
"Sama SOP macam Sumareh dulu. Dia balik negeri Selatanlah. Nak mandi duit," komen penyokong, ngl.jad.
Jawapan balas Sumareh kepada penyokong yang mendakwa dia hanya mahu 'bermandi duit' dengan menyertai JDT.
Dakwaan yang dinyatakan oleh penyokong tersebut menarik perhatian Sumareh apabila dia tampil memberi komen balas dengan menulis gurauan kasar terhadap pemilik akaun Instagram itu.
"But*", balasnya ringkas.
Pada Januari 2021, pemain berusia 28 tahun itu kembali ke Malaysia, selepas empat bulan bersama kelab Liga Thailand, Police Tero FC dan selepas itu dia menyertai skuad Harimau Selatan pada Februari 2021.
Jika benar Cools akan mengalami nasib yang sama seperti Sumareh, penyokong bola sepak tanah air akan menyaksikan pemain berusia 26 tahun itu menyarung jersi Harimau Selatan, sekali gus bermain dalam kancah Liga M. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram