KETUA jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak berharap anak buahnya akan belajar daripada kekalahan 0-1 di tangan Petaling Jaya (PJ) City FC selain perlu segera memperbaiki kelemahan sekiranya ingin meraih kemenangan pada perlawanan akan datang.
Pengendali berusia 45 itu berkata, anak-anak buahnya perlu memanfaatkan setiap peluang yang diterima dan tidak mensia-siakannya sehingga membolehkan pasukan lawan mencuri peluang.
"Perlawanan ini, saya mengambil tanggungjawab ini dan tentunya memberi pengajaran kepada kami untuk memperbaiki kelemahan. Babak pertama permainan, kami banyak mengawal bola dan mencipta gerakan tetapi melepaskan peluang itu.
"Sebelum perlawanan saya sering mengingatkan, PJ City adalah pasukan yang sering bekerja keras dan sentiasa gigih berusaha memenangi perlawanan,” katanya selepas berakhir perlawanan.
Sementara itu, Aidil turut mengharapkan agar pemain Sang Kenari segera melupakan kekalahan itu dan kembali fokus mempersiapkan diri bagi pertemuan bersama Johor Darul Takzim (JDT) pada Selasa.
Dia juga mahu barisan pemainnya tidak lemah semangat, sebaliknya bangkit memperbaiki kesilapan secepat mungkin ketika berdepan juara yang baru sahaja ditabalkan itu.
"Perlawanan itu nanti bukan mudah kerana kita tahu JDT pasukan terbaik liga, tapi apa saja boleh berlaku dalam bola sepak, kami perlu membuat persediaan secukupmya dalam masa beberapa hari saja,” katanya.
Dalam masa sama, ketua jurulatih PJ City FC, P. Maniam memuji kesebelasan utamanya apabila berjaya membenam pasukan di tangga keenam itu, sekali gus membawa pulang tiga mata berharga.
Katanya, walaupun bukan mudah, komitmen yang tinggi serta semangat berpasukan mereka mampu menunjukkan prestasi terbaik bagi meraih kemenangan tersebut.
"Saya gembira dengan komitmen pemain dan bekerja keras untuk perlawanan malam tadi dan tentunya hadiah buat pihak pengurusan. Saya berpuas hati dengan persefahaman antara pemain dalam perlawanan ini,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram