Dengarnya bekas import Pantai Timur bakal jadi mesin cetak gol utama The Rhinos


  • Podium
  • Rabu, 28 Dis 2022

Skuad Sang Badak dikhabarkan bakal membawa masuk beberapa wajah baharu untuk kempen Piala AFC tahun depan. — Facebook/Sabah FC

KEJAYAAN Sabah FC layak ke Piala AFC musim depan membuktikan bahawa misi dan visi baharu kelab tersebut semakin berhasil sejak kehadiran ketua jurulatih berpengalaman, Datuk Ong Kim Swee.

Sepanjang kempen Liga Super 2022, pasukan tersebut berjaya memberi saingan kepada Johor Darul Takzim (JDT) sebagai pendahulu dengan mencatatkan kemenangan demi kemenangan.

Bukan itu sahaja, peningkatan ketara skuad Sang Badak juga mampu dikekalkan dengan menamatkan saingan di tangga ketiga selepas mengumpul 42 mata daripada 22 perlawanan.

Jadi, bagi membolehkan mereka bersaing dengan lebih baik untuk musim akan datang, persiapan sudah dilakukan sejak pembukaan jendela perpindahan Liga Malaysia awal bulan lalu.

Ketika ini, beberapa pemain sudah disambar termasuk bekas penyerang Petaling Jaya (PJ) City FC, Darren Lok dan pertahanan Kuala Lumpur (KL) City FC, Irfan Zakaria.

Bagaimanapun, penambahan itu dilihat masih belum mencukupi apatah lagi dengan kempen Liga Super dijangka akan lebih mencabar berikutan pertambahan jumlah kumpulan daripada 12 kepada 15 musim depan.

Selain itu, kejayaan mereka untuk menempatkan diri dalam pentas Asia musim depan pastinya menambah tekanan kepada pihak pengurusan bagi memastikan kecergasan pemain tidak terjejas.

311106872_2496187000521887_5838508271475950631_n

Njoku merupakan antara import terbaik dalam kancah Liga Perdana musim lalu. Facebook/Kelantan United FC

Bagi menyelesaikan isu itu, Sabah FC dikatakan sedang berusaha mendapatkan import Kelantan United FC, Njoku Jacob yang difahamkan tidak akan lagi bersama kelab tersebut.

Pemain yang boleh diturunkan di posisi tengah mahupun dalam jentera serangan itu sememangnya diburu beberapa kelab Liga Malaysia sejak pertengahan musim lepas.

Dalam 13 penampilan dalam Liga Perdana, pemain berasal dari Nigeria itu berjaya menjaringkan tujuh gol bagi membolehkan pasukan Pantai Timur berkenaan menduduki tangga kelima.

Oleh itu, statistik tersebut pastinya membawa kegembiraan kepada penyokong Sang Badak yang berharap pihak pengurusan dapat menyuntik lebih banyak perubahan terhadap skuad sedia ada.

"Kalau dia sertai Sabah FC, bolehlah dia digandingkan bersama Darren Lok dan harapnya, pasukan Kim Swee ini dapat menambah lagi penyerang berbisa," kata Oyok Kie.

"Nah, dia ini ada harapan untuk bantu Sabah FC kerana dia ini lincah dan kawalan bola pun masih baik lagi. Bagus juga kalau Kim Swee dapat dia ini," kata Yutirin.

"Bagus rasanya dia ini berbanding bekas penyerang, Jose Embolo. Bagus juga Sabah ambil import yang sudah lama bermain dalam Liga Malaysia, Sudah tentu bagus permainannya," kata Dairey Doony.

Selepas membantu skuad Kijang Hijau memburu slot ke divisyen teratas bola sepak tempatan, Njoku memilih untuk kekal bagi mengembangkan lagi kariernya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram