BAGI memberi ruang kepada ketua jurulatih baharu, Nafuzi Zain mendirikan pasukan berdasarkan acuannya, Kedah Darul Aman (KDA) FC dilihat sibuk melakukan rombakan besar-besaran.
Setakat ini, beberapa pemain baharu sudah berjaya dibawa masuk, termasuk bekas perancang Terengganu FC, Manuel Ott yang mengikut jejak Nafuzi ke Utara tanah air.
Di posisi pertahanan pula, pasukan itu juga sedang memastikan benteng mereka lebih kukuh untuk musim depan dengan membawa masuk penjaga gol kebangsaan, Kalamullah Al-Hafiz dari Petaling Jaya (PJ) City FC.
Kesemua tindakan yang diambil pihak pengurusan dilihat berjaya memuaskan hati penyokong Hijau Kuning selepas mereka terpaksa menyaksikan persembahan hambar daripada skuad Sang Kenari sepanjang tahun.
Namun, di sebalik pengambilan muka-muka baharu itu, skuad Sang Kenari terpaksa melepaskan beberapa pemain bagi membolehkan pasukan tidak terjerumus ke dalam isu kewangan.
Antara pemain yang sah tidak akan bersama pasukan ialah pemain tengah kelahiran Jordan, Mahmoud Al-Mardi selepas dirasakan tidak sesuai dengan taktikal Nafuzi.
Meskipun hanya menyertai KDA FC pada pertengahan musim, pemain berjersi no. 10 itu tidak menunggu lama untuk dijadikan tonggak pasukan apabila dia terus membuktikan kebolehannya di atas padang.
Lima gol sepanjang musim tidak cukup untuk mengekalkan Al-Mardi dalam skuad Sang Kenari. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Berdasarkan statistik musim lalu, Al-Mardi diturunkan sebanyak 12 kali dalam saingan Liga Super, yang mana dia berjaya mencipta tujuh hantaran gol di samping mencetak lima jaringan peribadi.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila terdapat beberapa kelab Liga Malaysia yang mula tertarik untuk mendapatkan khidmatnya, termasuk Negeri Sembilan FC.
Melihat kepada situasi skuad Jang musim lepas, kemasukan pemain berusia 29 tahun itu adalah relevan bagi meningkatkan keupayaan pasukan di hadapan pintu gol lawan.
Selain itu, pasukan tersebut difahamkan bakal kehilangan beberapa tonggak import, termasuk penyerang kelahiran Brazil, Gustavo Almeida yang tidak diberi kontrak lanjutan setakat ini.
Jadi, tidak hairanlah apabila khabar angin tersebut mula membanjiri ruangan media sosial dengan majoriti daripada penyokong bergembira dengan cadangan berkenaan.
Namun, walaupun kebolehan semula jadi Al-Mardi tidak boleh disangkal, terdapat tiga sebab yang bakal menyaksikan perancang tengah itu bergelut jika sertai pasukan tersebut.
Tetapi, kesemua alasan itu hanyalah berdasarkan pemerhatian awal dengan membuat penilaian ketika pemain tersebut beraksi bersama KDA FC di samping melihat kepada pendekatan taktikal Negeri Sembilan musim lalu.
1. Gaya permainan K Devan
Tidak boleh dinafikan bahawa kepulangan K Devan ke tampuk kejurulatihan skuad Jang pada 2020 berjaya membawa perubahan ketara kepada pasukan tersebut yang ketika itu berada di Liga Perdana.
Jurulatih berusia 61 tahun itu sememangnya satu figura yang cukup disegani di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan apabila dia pernah membantu pasukan tersebut menjulang trofi Liga Super pada 2006.
Malah, Devan sekali lagi membuktikan kebolehannya apabila membantu pasukan itu muncul sebagai juara Liga Perdana 2020 di samping membawa skuad Jang menduduki tangga keempat liga musim ini.
Hal itu adalah berikutan ketegasan serta percaturan yang dilakukan jurulatih terbabit dengan memastikan anak-anak buahnya cergas dan bertenaga sepanjang 90 minit permainan.
K Devan cukup terkenal dengan ketegasannya terhadap anak-anak buahnya. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Oleh itu, pendekatan berkenaan dilihat lebih sesuai dengan pemain muda yang pastinya memiliki kelebihan dari segi stamina serta kecergasan setiap kali beraksi.
Hal tersebut dapat disaksikan apabila musim lalu Devan menurunkan beberapa pemain muda, seperti Selvan Anbualagan dan Izzuddin Roslan dengan masing-masing berusia 24 tahun dan 23 tahun.
Melihat kepada usia Al-Mardi pula, perkara itu pastinya serba sedikit mengganggu rentak permainannya, lebih-lebih lagi dengan dia perlu bertungkus-lumus memberi tekanan kepada pihak lawan.
Ketika bersama KDA FC, tanggungjawab tersebut tidak perlu dipikul Al-Mardi selepas bekas ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak memberi tugasan itu kepada pemain yang lebih muda.
Tetapi, penyokong masih boleh menarik nafas lega sekiranya pemain antarabangsa Jordan itu sah menyertai skuad Jang apabila Devan terkenal dalam mengubah percaturannya.
2. Tanggungjawab berat
Selepas menempa namanya sebagai antara import terbaik Liga Malaysia, harapan daripada penyokong pastinya menggunung terhadap Al-Mardi yang mula tertarik akan kemampuannya.
Perkara itu dapat disaksikan apabila rata-rata peminat tegar Hijau Kuning mempersoalkan keputusan pihak pengurusan yang melepaskan pemain tersebut ketika awal jendela perpindahan lalu.
Jadi, sekiranya skuad Jang berjaya menyambar khidmat pemain itu, dia pasti akan membawa reputasi besar tersebut dengan perlu membuktikannya kepada penyokong.
Sekiranya Al-Mardi gagal untuk meneruskan prestasi serta sumbangan yang direkodkannya musim lalu, ia akan menjadi duri dalam daging kepada pemain itu sendiri.
Al-Mardi memiliki reputasi sebagai antara import terbaik Liga Malaysia. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Di samping itu, pencapaian menakjubkan yang mampu dicatat Negeri Sembilan FC dalam kempen Liga Super 2022 pasti diharap dapat diulangi, apatah lagi dengan slot kelayakan ke pentas Asia semakin rancak tahun depan.
Oleh itu, timbul persoalan dalam kalangan penyokong yang kurang yakin akan kebolehan pemain tersebut untuk menjadi tonggak pasukan bagi memastikan mereka mampu berada di tahap terbaik.
Bagaimanapun, dengan Al-Mardi tidak memerlukan masa yang panjang untuk menyesuaikan diri, dia dijangka akan dapat meneruskan sentuhan serta kebolehannya bersama juara dua kali Liga Super itu.
Selain itu, penyokong juga dilihat bakal memberikannya masa yang mencukupi untuk mencipta keserasian di atas padang, seperti mana yang dapat disaksikan terhadap Matheus Alves dan Yashir Pinto.
3. Kualiti rakan sepasukan
Musim lalu, Negeri Sembilan FC berjaya membariskan pemain dengan kualiti tersendiri sehingga membolehkan mereka mencabar takhta Liga Super daripada Johor Darul Takzim (JDT).
Antara pemain yang dilihat memperolehi status tonggak skuad ialah pertahanan tengah, Khuzaimi Piee dan penjaga gol, Syihan Hazmi, dengan membantu pasukan memiliki rekod pertahanan baik di samping pasukan lawan.
Kehadiran beberapa import juga dapat melonjakkan lagi kebolehan pasukan, lebih-lebih lagi duo penyerang, Gustavo dan Matheus Alves yang cukup bersemangat dalam jentera serangan pasukan.
Skuad Jang tidak memiliki lambakan pilihan di setiap posisi musim lepas. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Bagaimanapun, di sebalik kecemerlangan itu, terdapat beberapa nama yang sering disebut-sebut sebagai punca sekiranya pasukan tersebut gagal untuk membawa tiga mata penuh.
Antaranya, bekas pemain tengah, Omid Nazari yang sebelum ini diumumkan tidak akan lagi bersama kelab itu serta sebilangan lain selepas kerap melakukan kesilapan mudah.
Jadi, perkara tersebut dirasakan bakal menjejaskan reputasi Al-Mardi, sekali gus menyebabkannya bergelut untuk memberi sumbangan seperti mana yang diharapkan.
Selain itu, dengan kekurangan pilihan dalam setiap posisi, ia akan sedikit sebanyak memberi kesukaran terhadap pemain dan pasukan secara keseluruhan.
Tetapi, perlu juga diingatkan bahawa Negeri Sembilan FC juga sedang melakukan rombakan dengan beberapa wajah-wajah baharu bakal dibawa masuk ketika jendela perpindahan kali ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram