'Dia buat kerja dia, kita buat kerja kita', Faisal Halim enggan menuding jari


  • Podium
  • Rabu, 28 Dis 2022

Malaysia yang beraksi tiga perlawanan berada di tempat kedua dengan mengumpul enam mata. — Facebook/FAM

KAPTEN skuad Harimau Malaya Mohamad Faisal Abdul Halim berbangga dengan rakan sepasukan dan enggan menyalahkan pengadil selepas Malaysia tewas 0-3 kepada Vietnam pada aksi tumpuan Kumpulan B kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium My Dinh, Vietnam pada Selasa.

Mohamad Faisal berkata, pada aksi di Stadium Nasional My Dinh, barisan pemain berusaha keras untuk menandingi dan meraih keputusan positif berdepan skuad Golden Star Warriors itu tatkala banyak pihak meragui kemampuan pasukan dibentuk pada edisi kali ini.

Bagaimanapun, pemain sayap Selangor FC itu berkata, kekalahan itu berpunca daripada kesilapan pasukan negara sendiri apabila gagal memanfaatkan kelebihan beraksi menentang 10 pemain selepas penyerang Vietnam, Nguyen Van Toan dilayangkan kad merah pada minit ke-32.

"Kita tidak boleh cakap tentang pengadil (Ryuji Sato), dia buat kerjanya dan kita buat kerja kita. Pasukan mempunyai ramai pemain muda dan mereka perlu belajar, kesilapan-kesilapan yang dilakukan boleh menghukum keseluruhan pasukan.

"Tapi sebagai ketua pasukan saya tidak salahkan mereka, kita perlu beri semangat kepada mereka, apa yang penting Azam (Muhammad Azam Azmi Murad) dah buat kerja yang sangat baik dan satu kesilapan beri satu pengalaman untuk dia belajar,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Sato melayangkan kad merah kepada Muhammad Azam pada minit ke-62 selepas pengadil dari Jepun mendakwa pemain muda Terengganu FC itu melakukan kekasaran ke atas Doan Van Hau di luar padang, selain turut memberikan Vietnam sepakan penalti susulan insiden tersebut.

Kesempatan itu digunakan sebaiknya Que Ngoc Hai untuk menggandakan jaringan selepas Nguyen Tien Linh meletakkan pasukan di depan pada separuh masa pertama sebelum Vietnam melengkapkan kemenangan bergaya hasil penyudah Nguyen Hoang Duc menghampiri masa penuh.

"Kekalahan ini mengecewakan kerana kita datang untuk meraih tiga mata dan kita membuat persiapan untuk menang. Kalau tengok dari awal kita cipta peluang, kita boleh tekan mereka cuma tuah saja tiada.

"Jaringan pertama berpunca dari sepakan sudut menyebabkan kami down (putus asa) tapi bila mereka bermain 10 pemain (selepas itu) kita lebih bersemangat namun pada separuh masa kedua kita buat satu kesilapan dan dihukum. Itulah bola sepak,” kata Mohamad Faisal.

Kekalahan pasukan negara itu menyaksikan Malaysia gagal menamatkan kemarau tanpa kemenangan ke atas Vietnam sejak 2014 - tewas tujuh dan seri sekali, sementara kejayaan pada Selasa membolehkan Vietnam mendahului saingan Kumpulan B dengan mengumpul enam mata selepas dua perlawanan.

Malaysia yang beraksi tiga perlawanan berada di tempat kedua dengan turut mengumpul enam mata diikuti Singapura yang baru mengharungi dua perlawanan di tempat ketiga (enam mata) manakala Myanmar dan Laos tercorot selepas gagal mengutip sebarang mata.

Skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon seterusnya akan bertemu Singapura pada aksi ‘hidup-mati’ di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 3 Januari depan, namun Singapura terlebih dahulu akan menerima kunjungan Vietnam di Stadium Jalan Besar, Singapura Jumaat ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram