HARIMAU Malaya bimbingan jurulatih Kim Pan-gon perlu berwaspada dengan pasukan Vietnam yang bukan sahaja memiliki reputasi sebagai juara dua kali Piala AFF pada 2008 dan 2018 malah mempunyai ranking lebih baik di posisi ke-96 dunia.
Barisan pemain kebangsaan khususnya bek pertahanan dan penjaga gol perlu berwaspada dengan dua peledak berbisa Vietnam, Nguyen Quang Hai dan Nguyen Tien Linh yang dianggap berpotensi menjadi senjata pemusnah impian besar Harimau Malaya.
Selain itu, gandingan duo tersebut dengan seorang lagi tonggak penyerang, Pham Tuan Hai juga perlu diberi perhatian kerana keupayaan mereka mengucar-kacirkan benteng pertahanan negara untuk membuka ruang buat rakan sepasukan mencipta jaringan.
Dalam pertembungan Kumpulan B saingan Piala AFF 2022 di Stadium My Dinh, Hanoi pada Selasa, tanggungjawab berat bakal digalas oleh penjaga gol untuk mengemudi benteng terakhir pasukan agar tidak dibolosi dengan mudah.
Tanggungjawab berat bakal digalas oleh penjaga gol untuk mengemudi benteng terakhir Harimau Malaya. — Facebook / FAM
Tentunya cabaran itu diletakkan di atas bahu tiga penjaga gawang negara iaitu Ahmad Syihan Hazmi, Kalamullah Al-Hafiz dan Rahadiazli Rahalim.
Bagi Rahadiazli yang diturunkan dalam aksi menentang Laos yang menyaksikan Malaysia berpesta lima gol, dia berharap pasukan kebangsaan dapat meneruskan momentum kemenangan ketika berdepan anak-anak buah Park Hang Seo.
Menurutnya, dia akan memberikan persembahan terbaik sekiranya sekali lagi mendapat kepercayaan Pan-gon untuk diturunkan dalam kesebelasan utama menentang skuad Golden Star Warriors.
Quang Hai (jersi nombor 19) dan Tien Linh (jersi nombor 22) dianggap berpotensi menjadi senjata pemusnah impian besar Harimau Malaya. — Agensi
"Sesiapa sahaja yang akan menjadi pilihan coach, kami akan berikan aksi terbaik dan yang paling penting bermain sebagai satu pasukan untuk memperoleh kemenangan sekali gus membawa pulang mata penting untuk negara.
"Kalau dapat main dalam kesebelasan utama, tentunya saya akan beri yang terbaik dan teruskan usaha saya," katanya kepada Majoriti.
Rahadiazli berkata, dia akan memanfaatkan 'senjata rahsia' iaitu pengalaman beraksi di Hanoi ketika mewakili negara ke Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) dalam pertembungan dengan skuad Vietnam.
"Saya sedar game psikologi daripada penyokong Vietnam ketika berada di gelanggang lawan. Psikologi coach Vietnam ketika itu pun kuat juga.
"Tambahan Vietnam pun bukan calang-calang kerana dari segi ranking, ia antara pasukan yang terbaik.. tapi insya-ALLAH kita juga akan buat yang terbaik," katanya.
Rahadiazli memperoleh caps pertama bersama skuad kebangsaan pada perlawanan menentang Laos. — Facebook / FAM
Sementara itu ketika ditanya mengenai persembahannya ketika beraksi menentang Laos, penjaga gol muda Terengganu FC yang mesra dengan panggilan Abe berkata, dia masih belum berpuas hati dari segi prestasi permainan setakat ini.
"Saya kena belajar banyak lagi dan perbaiki kelemahan yang ada pada diri.
"Namun saya bersyukur kerana coach dan rakan sepasukan banyak membantu dan membimbing saya," ujarnya.
Untuk rekod, selepas dua perlawanan, Malaysia mendahului saingan kumpulan dengan mengumpul enam mata, Vietnam dan Singapura yang baru beraksi sekali masing-masing berkongsi tiga mata di posisi kedua dan ketiga, manakala Myanmar dan Laos di kedudukan dua tercorot tanpa mata.
Justeru, kemenangan dengan Vietnam akan mengesahkan kemaraan Malaysia ke separuh akhir dan menebus kekecewaan terkandas awal pada edisi lepas, sementara keputusan seri dapat mengurangkan tekanan pasukan yang dijadual menerima kunjungan Singapura di Stadium Nasional pada aksi terakhir 3 Januari ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram