FAM tidak akan berdiam diri kontroversi 'game' Malaysia-Vietnam


  • Podium
  • Rabu, 28 Dis 2022

Noor Azman menegaskan siasatan secara menyeluruh akan dibuat kepada AFF berikutan perlawanan itu. — Facebook/FAMalaysia Official

INSIDEN kad merah dan pemberian penalti oleh pengadil dari Jepun, Ryuji Sato kepada pasukan kebangsaan dalam aksi ketiga Kumpulan B Piala AFF 2022 menentang Vietnam hangat diperdebatkan.

Selepas ketinggalan 0-1 seawal minit ke-28, skuad Harimau Malaya menerima kelebihan selepas penyerang lawan, Nguyen Van Toan diarah meninggalkan padang pada minit ke-32.

Bagaimanapun, usaha yang cuba diatur seolah-olah tidak mendatangkan sebarang hasil apabila pertahanan kanan, Azam Azmi Murad dikatakan melakukan kekasaran terhadap pemain lawan.

Menyedari perkara itu, Ryuji tidak berfikir panjang untuk memberikan sepakan penalti kepada Vietnam di samping melayangkan kad merah kepada pemain berusia 21 tahun itu.

Penalti tersebut berjaya disempurnakan Que Ngoc Hai sebelum kubu Harimau Malaya, sekali lagi ditembusi menerusi jaringan Nguyen Hoang Duc tujuh minit sebelum wisel penamat ditiupkan.

322401995_864744388149393_8220297996447936395_n

Sharul Nazeem (kanan) cuba menyekat serangan dilancarkan pasukan Vietnam. Facebook/FAMalaysia Official

Kedua-dua keputusan tersebut disifatkan sebagai tidak adil dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan sehingga ada yang mendesak pihak pengurusan mengambil tindakan sewajarnya.

Ini termasuk meminta agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengemukakan rayuan terhadap Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) supaya melakukan siasatan terhadap Ryuji serta pembantunya.

Namun, bagi Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, pihaknya akan mengambil tindakan, tetapi siasatan lanjut perlu dilakukan untuk mengelak sebarang kekeliruan.

"Kita sedang menilai dan meniliti insiden semalam (Selasa) secara teliti daripada Jawatankuasa Penilai Pengadil FAM untuk kita menghantar surat rasmi kepada AFF dengan secepat mungkin," katanya kepada Majoriti.

Ryuji sebelum ini pernah terpalit dengan kontroversi ketika mengadili perlawanan skuad kebangsaan, iaitu ketika pertembungan bersama Vietnam dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun 2021.

Sementara itu, kekalahan tersebut turut memberikan cabaran lebih besar kepada skuad Harimau Malaya untuk layak ke separuh akhir Piala AFF buat dua edisi berturut-turut.

Mereka bakal berdepan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 3 Januari depan untuk mengesahkan naib juara Kumpulan B, sekali gus menjadi slot terakhir untuk ke pusingan seterusnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram